Dana ditawarkan 'GO+' Touch‘n Go kini patuh syariah | DagangNews Skip to main content

Dana ditawarkan 'GO+' Touch‘n Go kini patuh syariah

Dana ditawarkan 'GO+' Touch‘n Go kini patuh syariah

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangenews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Kumpulan Touch ‘n Go dan Principal Asset Management (Principal) mengumumkan dana Principal e-Cash yang ditawarkan Touch ‘N Go melalui produknya GO+ kini patuh syariah. 

 

Perkara itu menjadikan GO+ produk eWallet pertama di Malaysia yang menawarkan dana patuh syariah.

 

Ketua Pegawai Eksekuif Kumpulan Touch‘n Go, Effendy Shahul Hamid berkata, pelanggan Touch ‘N Go eWallet masih boleh mengakses pelaburan pasaran wang (money market) yang berisiko rendah melalui dana patuh syariah tersebut dengan hanya serendah
RM10.

 

Menurutnya, pelanggan juga menerima pulangan yang sama setiap hari, dan menggunakannya untuk semua transaksi yang terdapat dalam eWallet berkenaan.

 

"Ketika kami melancarkan GO +, ada panggilan dari pengguna agar dana asasnya mematuhi syariah.

 

"Kami dengar akan seruan pengguna dan dengan segeranya melakukan sesuatu mengenainya. Kami kini mempunyai produk yang lebih inklusif daripada sebelumnya, dan sesuai dengan matlamat kami untuk menyediakan perkhidmatan kewangan asas kepada
semua lapisan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan.

 

GO+ yang dilancarkan pada bulan Mac 2021 adalah langkah pertama oleh Touch ‘n Go dalam arena perkhidmatan kewangan digital.

 

Dana produk GO+ iaitu Principal e-Cash, merupakan dana pasaran wang yang diuruskan oleh Principal. 

 

Produk berkenaan direka bersama melalui kerjasama antara Touch ‘n Go, pakar dalam teknologi serta ekosistem eWallet, dan Principal yang merupakan pakar pelaburan serta pengurusan dana.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Principal Asset Management, Munirah Khairuddin berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan komitmen dalam membantu lebih ramai rakyat Malaysia menangani cabaran kewangan khususnya dalam situasi yang tidak menentu ini.

 

"Dengan adanya Principal e-Cash yang kini patuh-Syariah, kami mengalu-alukan semua pelanggan tanpa mengira latar belakang mereka untuk memulakan perjalanan pelaburan dengan serendah RM10 sahaja untuk memperolehi pulangan yang sama.

 

"Fokus kami adalah untuk menawarkan solusi pelaburan yang inklusif agar jaminan kewangan boleh dicapai oleh sesiapa sahaja.

 

“Sebagai rakan kewangan, kepakaran kami mengenal pasti tren dan keperluan para pelanggan dalam solusi patuh-Syariah telah membolehkan perniagaan serta kemampuan kami dalam pelaburan patuh syariah terus meningkat," katanya lagi.

 

Principal merupakan antara pengurus aset Islamik yang teratas di Malaysia, antara lima teratas di dunia dan sentiasa di barisan hadapan dalam menghasilkan produk dan solusi patuh-Syariah di pasaran dunia. 

 

Jumlah dana asset yang diuruskan di Asia Tenggara adalah sebanyak RM96.7 bilion, kira-kira RM30.69 bilion merupakan dana patuh syariah. - DagangNews.com