Dunia kreatif GMBB, Continuum oleh Raja Ahmad Aminullah
RAJA AHMAD AMINULLAH, yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Ungku melancarkan buku beliau berjudul Continuum di The Grey Box, GMBB Mall.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di hadapan khalayak lebih 200 orang keluarga, rakan dan kenalan. Majlis disempurnakan dengan ulasan Sasterawan Negara, Prof Muhammad Haji Salleh yang dikatakan memberi komentar begitu tajam dan tepat.
Saya tidak dapat hadir pada waktu pagi kerana berada di Pusat Konvensyen KL demi tugasan di mana PERKESO melancarkan SKSSR. Sebaik saja selesai, saya ke GMBB kerana Galeri Hikayat Fandom baru dibuka di GMBB Mall dua minggu yang lepas.
Apabila sampai, suami saya Rudy mengingatkan untuk pergi ke majlis pelancaran buku, sekurang-kurangnya bertemu penulis, Pak Ungku.
Pak Ungku berjumpa dengan Rudy sehari sebelumnya dan menceritakan bahawa dia mengenali Arwah Encik, ayah saya. Jadi saya bergegas turun ke The Grey Box di GMBB.
Saya bertemu dengan Kiridaren Jayakumar, rakan dan penerbit buku dari Biblio. Biblio Lit telah menerbitkan Continuum, dan ia adalah sebuah buku puisi!
Ia merupakan sebuah buku yang sangat cantik, dari kulit buku, reka bentuk, dan sudah tentu puisinya.
Saya terasa terkilan tilak dapat bertemu ramai kenalan di majlis itu - termasuk mentor Prof Muhammad Haji Salleh, Mohamad Jamalee dari The Patriots dan peguam, Lukman Sheriff serta Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Khair Ngadiron.
Namun saya bersyukur dapat bertemu orang kampung pencinta sastera, Ahmad Nizam Hamid dan pembikin filem, Mansor Bin Puteh. Seorang lagi rakan lama, The Journey Man, Waraqah Naufal Abdullah aka Johnny masih ada dan saya mengingatkannya untuk melawat Hikayat Fandom di Tingkat 1.
Satu majlis yang membawa pemain dunia sastera ke GMBB - Syabas!
Hebat dunia kreatif GMBB
GMBB ni memang satu mall berkonsep hebat dipenuhi ruang santai dan kedai-kedai bertemakan daya kreatif Malaysia.
Itulah sebabnya Majlis Pelancaran buku ini diadakan di sini. Di GMBB, ada ramai penerbit buku, pelukis, pengkarya arca dan pembuat kraf seperti batik serta penulis seperti saya membuka ruang mempamerkan daya kreativiti dan menambah rezeki masing-masing.
Antara kedai paling menarik adalah Fusion Wayang Kulit Tintoy Chuo, Museum of Picture Book Art (Penerbit buku Linda Tan), EmilaTopia (Galeri pelukis tersohor Emila Yusof), TANOTI yang mempamerkan kraf dari Sarawak.
Setelah berfikir selama setahun, saya dan suami mengambil keputusan untuk membuka Hikayat Fandom - Art, Books & Lifestyle Galeri bagi memperkenalkan buku-buku serta ilustrasi Siri Hikayat Fandom dan penerbitan lain untuk memastikan Dunia Hikayat Melayu juga menjadi sebahagian dari komuniti kreatif di GMBB.
Pada masa ini, pameran Master of Disguise berlangsung di Tingkat 3, satu pameran fotografi unik alam serangga yang memang sesuai untuk semua terutamanya kanak-kanak.
Sebenarnya, GMBB ini memang sesuai untuk kanak-kanak membuka minda kepada alam kreativiti dan imaginasi.
Selain kedai buku yang amat bersesuaian, ada sudut permainan seperti congkak, batu seremban, ting ting, dan bermacam-macam lagi. Terdapat sesi membuat pelbagai kraf, melukis dan sudut swafoto yang pelbagai.
Paling menarik juga bulan Februari ini Pameran 16 ARTIS GOMEN dari UITM Melaka di Tingkat 1 berhampiran Hikayat Fandom. Lukisan cat air, acrylic, karya pelbagai media dan arca metal menjadi daya tarikan hingga 28 Februari nanti. Di Tingkat 4 pameran bersempena Hari Valentine, Pameran Eternal Love oleh Master Yap bertemakan bunga Rose.
NOSTALGIA Komuniti di GMBB ini mengingatkan saya era Retro 1970an dan 1980an yang begitu muhibah.
Di sini, semua pengkarya berbilang kaum amat mesra dan saling bantu membantu menjayakan komuniti ini. Inilah keunikan dan kejayaan GMBB yang sebenarnya.
Dunia kreatif membawa kami bersama-sama mengenali seni dan budaya serta keunikan masing-masing berkarya.
Saya sebenarnya pergi berjumpa Pak Ungku selepas majlis pelancarannya atas sebab nostalgia dan peribadi jua - beliau mengenali arwah ayah saya, pada tahun 1970aan.
Pak Ungku menceritakan kisah arwah Encik di mana sekumpulan pelajar Universiti Malaya pada masa ketika itu begitu tertekan dan telah ‘tunjuk perasaan’.
Arwah Encik yang merupakan seorang ahli ekonomi, ahli politik dan ‘businessman’ membuka ruang di pejabatnya untuk pelajar mengadu, berbincang dan bertukar pendapat.
Saya dapat merasakan saya mewarisi semangat ini dari arwah Encik untuk mempersembahkan Hikayat kepada dunia - inilah cara semangat patriotisme saya diterjemahkan.
Terima kasih Pak Ungku atas perkongsian kisah arwah Encik saya, seorang insan bernama Abdul Aziz Salehuddin. Secebis memori dari kehidupan terdahulu.
Dan untuk sebuah inspirasi! Sebuah buku puisi… satu karya yang mesti saya pertimbangkan untuk masa hadapan.