Dunia yang dilakar bahasa dan budaya | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 18 March 2024

DUNIA YANG DILAKAR BAHASA DAN BUDAYA

 

"Bahasa adalah jiwa bangsa. Ketika bahasa itu hilang, maka hilanglah juga budaya kita."

Usman Awang

 

 

Dan jika budaya itu hilang, siapalah kita?

 

Berdasarkan salasilah Hikayat Merong Mahawangsa, serta penemuan relau besi Sg Batu, terbukti bahawa Dunia Melayu telah wujud ribuan tahun dari zaman ke zaman.

 

Kegemilangan tamadun seperti Kerajaan  Kedah, Langkasuka dan Srivijaya dapat dilihat melalui ketinggian bahasa dan keindahan budaya serta kegiatan perdagangan dan perhubungan antarabangsa yang ada pada zaman lampau. 

 

Bukti peninggalan bahasa terdapat di prasasti atau batu bersurat lama lebih 1,000 tahun dahulu dalam bahasa Melayu Kuno. Tidak tertakluk kepada tulisan yang digunakan samaada Rencong, Kawi, Pallava atau Jawi, bahasanya tetap bercirikan Melayu Kuno, Klasik atau Asli. 

 

Justeru, kesenian dan kebudayaan Melayu tersimpan melalui warisan kitab-kitab lama seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, dan Panji Semirang mengingatkan kita tentang keagungan kerajaan lama seperti Kedah, Daha, Kuripan, dan juga Kerajaan Cham.

 

Dari Sumpah Palapa, tercatat antara lain Pahang, Palembang dan Tumasik. Diikuti dengan Zaman Kesultanan Melaka, Perak dan Johor. Setiap kerajaan pada zaman itu mempunyai catatan tersendiri seperti Hikayat Seri Kelantan. 

 

 

hikayat

 

 

Kearifan dan kebijaksanaan para ilmuan Dunia Melayu pula tertulis dan termaktub untuk tatapan dan bekalan ‘anak cucu’ melalui manuskrip lama seperti Hukum Kanun, Kitab Bedil dan Kitab Tib.

 

Kesinambungan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang tersebut terzahir melalui semangat jitu masyarakat Melayu memastikan bekalan ilmu ini diperturunkan dari generasi ke generasi. Bidang sastera, ilmu bedil, perubatan tradisional, seni bina, ilmu maritim, dan undang-undang adalah antara bidang yang menjadi kegemilangan Dunia Melayu.

 

Malah, keunggulan dan kekayaan intelektual masyarakat Melayu dapat dilihat melalui warisan ilmu dan kebudayaan yang telah dibawa sepanjang zaman, menjadikan Dunia Melayu sebagai satu bangsa yang terkenal di rantau ini dan diiktiraf dunia purba, termasuk dunia Arab, Mesir, Hindi, Turkiye dan juga Jepun dan China. Malangnya kita mudah lupa dan membelakangkan hal ini. 

 

Oleh itu, mari kita renungkan kembali, dan selami hati nurani mereka yang berjiwa besar. Kita lihat kata hikmah dari HAMKA, Syed Naquib Al Attas, Prof Emeritus Muhammad Hj Salleh dan Usman Awang yang merupakan antara tokoh-tokoh besar yang menyumbang kepada kesusasteraan Dunia Melayu, keilmuan, khususnya dalam bidang bahasa dan budaya Melayu. 

 

Buya HAMKA, seorang penulis dan ulama terkenal Indonesia yang lahir pada tahun 1908, telah menulis pelbagai buku yang mencetuskan semangat dan jati diri, menyedarkan anak muda kepentingan berjiwa besar, mengenal budaya.

 

Beliau pernah berkata, "Bahasa adalah jembatan budaya, modal peradaban, dan jiwa bangsa." Sesungguhnya, penulisan HAMKA dibaca seluruh Nusantara, oleh pemerintah, orang bisnes, guru-guru, pengurus besar, alim ulamak dan anak muda di zaman 70an. 

 

Saya berasal dari Pahang dan nama Pak Sako juga begitu mendalam kesannya dengan novel-novel yang luarbiasa dan tersirat sesuatu dendam yang membara.

 

Novel Putera Gunung Tahan, contohnya, membangkitkan perasaan patriotik dan menyedarkan kita dari impian lena. Pak Sako terang-terangan mengkritik penjajah dengan semangat berapi.

 

 

hikayat

 

 

Di kala kita disepit kiri kanan, dan bahasa serta budaya seolah-olah diketepikan, kita perlukan seorang ‘Pak Sako’ untuk menyedarkan kita. 

 

Syed Naquib Al Attas yang tersohor juga pernah mengingatkan kita, "Ketika bahasa menurun, bangsa pun akan merosot keruntuhan akhlak akan berlaku."

 

Sebab itulah, Mutiara Kata dari Alam Melayu, selari dengan jiwa raga dan naluri kita, diterbitkan untuk memberi aspirasi pada anak muda. Ia dikumpulkan untuk mengambil iktibar dari kemahiran berfikir aras tinggi yang jelas tersinar dalam manuskrip lama kita dan seluruh pendita dan cerdik pandai dunia Melayu lebih 1400 tahun yang lampau. Jose Rizal. Ungku Aziz. Ki Hadjar Dewantara. 

 

Warisan bangsa ini tersurat dalam lebih 10,000 manuskrip menjadi khazanah di lebih 150 Muzium dan Perpustakaan tersohor dunia di Malaysia, Indonesia, Belanda, Rusia - tidak kurang dari  60 negara serata dunia.

 

Salatus Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Hang Tuah dan Kitab Bedil diiktiraf sebagai Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

 

Antara contoh tertua Bahasa Melayu adalah Batu Bersurat Kedukan Bukit di Palembang, bertarikh 605 Tahun Saka, bersamaan dengan 683 M (Masihi). Dahulu dan sekarang, kekuatan kita bersama akan ditentukan dalam kelestarian Bahasa. Budaya. Bangsa.

 

 

Batu Bersurat Kedukan Bukit
Batu Bersurat Kedukan Bukit di Palembang

 

 

Inilah bait-bait bahasa dari tokoh yang amat menghargai nilai bahasa dan budaya Melayu serta berusaha untuk mempertahankannya agar warisan budaya bangsa terus dijaga dan diwarisi oleh generasi akan datang.

 

Dunia Melayu yang dilakar bahasa dan budaya halus dan tinggi, pantun dan puisi, gurindam dan lagu jiwa bangsa - janganlah dibiarkan hilang. Dan diganti dengan yang lain.- DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb

 

 

Portfolio Tags