Hikayat lama melestarikan Bahasa dan Budaya Melayu | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 26 Mar 2022 08:00 AM

Hikayat lama melestarikan Bahasa dan Budaya Melayu

 

 

 

BUDAYA Melayu memberi kita kekuatan serantau.  Melalui bahasa dan budayalah kita saling mengenali persamaan yang membawa pada perpaduan. Menjalin silaturrahim.

 

Dari Riau ke Patani, Champa ke Singapura,  Maynila ke Melaka…

 

Bahasa dan Budaya Melayu ini  indah dan tidak boleh dibiarkan luput dari ingatan, pasti  kekal segar menonjolkan keunikan berpaksikan Dunia Alam Melayu.  Tetapi dengan peredaran zaman dan penampilan media masa serba serbi baru, budaya Melayu semakin pupus ditelan zaman 2walaupun Bahasa Melayu bertahan.

 

Hikayat lama dapat memainkan peranan memperkenalkan dan memperkasa bahasa dan budaya.   Ini adalah kerana kekuatan tradisi lama bermula dengan pengenalan. Dari pengenalan timbul kehebatan. Dari kehebatan datang keunggulan.

 

Dari Hikayat lama seperti Hikayat Awang Sulong Merah Muda, Hikayat Merong Mahawangsa serta Syair Bidasari, Syair Ken Tambuhan, Panji Semirang, timbullah perasaan ingin tahu dan kasih pada Bahasa Melayu. Kini, penulisan Hamka, Usman Awang dan Prof Muhammad Haji Salleh contohnya meledakkan Bahasa Melayu serantau Nusantara.

 

Bahasa Melayu

Tunggak budaya bermula dengan bahasa Melayu yang telah digunakan di rantau ini hampir 2000 tahun yang lampau. Bahasa Melayu merupakan Bahasa Kebangsaan di Malaysia, dan juga Brunei, Indonesia (Bahasa Indonesia), Singapura dan digunakan di beberapa negara Asia Tenggara yang lain.

 

Menurut statistik, penutur bahasa Melayu dianggarkan berjumlah 300juta  di Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura. Selain ini bahasa Melayu juga digunakan  oleh orang Melayu di Selatan Thailand, Selatan Filipina, Selatan Vietnam, Kemboja dan Afrika Selatan. Di mana saja ujudnya diaspora orang berketurunan Melayu, ujudlah Bahasa Melayu sedikit sebanyak di situ.  Oleh kerana minat dalam rantau Kepulauan Melayu dan Asia Tenggara, ada juga segolongan kecil yang mempunyai minat mendalam di Belanda, Rusia, China, Jepun dan Korea di mana terdapat universiti yang mengkaji Bahasa Melayu secara serius.

 

Ini menjadikan Bahasa Melayu antara 10 bahasa paling digunakan di dunia hari ini.

 

Keberadaan bahasa

Antara contoh tertua Bahasa  Melayu adalah Batu Bersurat Kedukan Bukit di Palembang, bertarikh 605 Tahun Saka, bersamaan dengan 683 M (Masihi).

 

Bahasa yang terdapat pada Batu Bersurat Kedukan Bukit tersebut ditulis dalam Bahasa Melayu Kuno dengan menggunakan  huruf Palava, selaras penyebaran agama Hindu yang kuat di Kepulauan Melayu pada zaman itu.

 

hikayat
Svasti cri cakavarsatita 605 ekadaci ​​​​​cuklapaksa vulan vaicakha daputa hyang nayik di samvau mangalap siddhayatra di saptami cuklapaksa vulan jyestha dapunta hyang marlapas dari minana Tamvar (Kamvar) mamava yang vala dua laksa ko dua ratus cara di samvau  dangan jalan sarivu tlu ratus sapulu dua vanakna datang di matada (nau) sukhacitta di pancami cuklapaksa vulan asada laghu mudita datang marvuat vanua ... Crivijaya jaya siddhayatra subhika ...

 

Terjemahan berbunyi:

Selamat bahagia pada tahun saka 605 hari kesebelas dari bulan terang bulan waisaka daputa baginda naik perahu mencari rezeki pada hari ketujuh bulan terang bulan jyesta dapunta baginda berlepas  dari muara Kampar membawa askar dua laksa dua ratus orang di perahu yang berjalan seribu tiga ratus dua belas banyaknya datang di matada dengan suka cita pada hari kelima bulan terang bulan asada dengan lega datang membuat negeri ... Seriwijaya yang berjaya, yang bahagia, yang makmur

 

 

Batu Bersurat Terengganu

Prasasti Batu Bersurat Terengganu pula ditemui selepas banjir surut di tebing Sungai Tersat (Sungai Tara), Kampung Buluh di Kuala Berang , Hulu Terengganu pada pada tahun 1887 dan dipersembhakan pada Sultan Terengganu pada tahun 1902 menjadi lambing pengamalan sistem perundangan Islam dan sumber sejarah Islam di Tanah Melayu.


 

hikayat

 


Tulisan jawi digunakan dan isi kandungan yang begitu istimewa sebagai penelitian sumber sejarah. Sebahagian Teks Batu Bersurat ini berbunyi:

 

Rasulullah dengan yang arwah santabi mereka

Asa pada Dewata Mulia Raya beri hamba meneguhkan Agama Islam.  Dengan benar bicara derma mereka bagi sekalian hamba Dewata Mulia Raya. Di Benuaku ini penentu agama RasululLah sallalLahi wassalama raja.Mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulia Raya di dalam Bumi penentuan itu fardhu pada sekalian Raja MandaLika Islam menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar. Bicara berbajiki benua penentuan itu maka titah Seri Paduka. Tuhan menduduki Tamra ini di Benua Terengganu adi pertama ada.

 

Jumaat di bulan Rejab di tahun saratan disasanakala.

 

Bahasa Melayu hari ini

Piawai Bahasa Melayu yang diwarisi hari ini adalah Bahasa Melayu Johor Riau yang berasal dari Johor dan Riau dan kini diiktiraf oleh negara di Asia Tenggara. Bahasa Melayu Johor-Riau merupakan kelahiran Bahasa Melayu moden. Di Malaysia, kita cuba menggunakan istilah Bahasa Malaysia pada tahun 1970han dan pada tahun 2000han.  Namun istilah Bahasa Melayu termaktub dalam Perlembagaan Perkara 152 iaitu "Bahasa kebangsaan ialah "bahasa Melayu".

 

Di Indonesia pula, Bahasa Indonesia yang digunakan sebagai Bahasa penyatuan seluruh negara berasal dari Bahasa Melayu Tinggi Riau dari Sumatera. Ini telah dimaktubkan dalam Undang Undang Dasar Negara Republik Indonesia Tahun 1945.   Walaupun di Indonesia terdapat terlalu banyak dialek bahasa, Bahasa Indonesia sendiri difahami oleh 90% warga Indonesia dań menjadi bahasa penghantar sistem Pendidikan di Indonesia.

 

hikayat

 

Hakikatnya Bahasa Melayu telah lama bertapak di bumi Alam Melayu ini dan tertulis dalam sekurang-kurangnya 10,000 manuskrip yang disimpan dengan baik di lebih 150 Muzium dan Perpustakaan tersohor di Kuala Lumpur, Jakarta, Oxford, London dan Leiden di  60 negara serata dunia. Ketinggian bahasa dicerminkan melalui Pantun, gurindam, syair dan Hikayat lama seperti Hikayat Hang Tuah, Syair Siti Zubaidah dan Panji Semirang. Ilmu lama juga tersimpan dalam manuskrip seperti Undang Kanun Melaka, Kitab Bedil dan pelbagai kitab lama.

 

Kitab Warisan Melayu memperkasa penggunaan Bahasa Melayu. Melalui kitab-kitab ini legasi pengetahuan ini dipanjangkan ke generasi seterusnya dan terpelihara. Yang pasti, perlu ada keazaman untuk memastikan kelestarian Dunia Melayu terjamin dan kekal asli.

 

Kekuatan kita bersama dan jati diri Dunia Melayu akan ditentukan dalam kelestarian...

 

Bahasa. Budaya. Bangsa.

 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA