Melakar Dunia Hikayat Alam Melayu pada 2023, Ke Persada Dunia 2024 | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 1 January 2024

MELAKAR DUNIA HIKAYAT ALAM MELAYU PADA 2023, KE PERSADA DUNIA 2024

 

 


CEPAT sungguh setahun berlalu. Baru saja kami membuka Galeri Seni dan Buku  di GMBB di KL pada bulan Februari 2023. Inilah sudut Dunia Melayu di GMBB penuh dengan karya seni, kral dan buku-buku Hikayat kami. 

 

Hikayat Fandom sememangnya ditubuhkan bertujuan memperkasa, memelihara dan mempromosi hikayat dan cerita rakyat. Ia mencerminkan niat murni menonjolkan kekayaan sastera dan legenda kita kepada rakyat Malaysia dan dunia melalui penerbitan berkualiti bertemakan warisan ini.

 

Buat pertama kali, kami mengambil bahagian dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, satu pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan. Di PBAKLlah, buku Mutiara Kata Alam Melayu diperkenalkan.

 

Mutiara Kata Alam Melayu memetik kebijaksanaan 1400 tahun Dunia Melayu, memaparkan kebijaksanaan raja abad ke-7 Yang Dapunta Sri Jayanasa, HAMKA, Syed Naquib Al Attas, Allahyarham Ungku Aziz, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Jose Rizal serta peribahasa dan pantun kita.

 

 

hikayat

 

 

Ini satu pengalaman baru juga kerana sebelum ini, kami menumpukan penerbitan buku pada buku cerita bertemakan Hikayat. Untuk mendekati generasi muda, Hikayat Fandom juga menerbitkan HF KomiK: Bentala Naga.

 

Dunia Hikayat semakin melangkau jauh.

 

BENTALA NAGA DI ITALI

Pada bulan Julai, Bentala Naga: A Makyong Tale telah berjaya diterbitkan dalam bahasa Itali iaitu BENTALA: Regina Dei Naga - Una Leggenda Mak Yong membawa cerita rakyat kita ke persada antarabangsa. Penerbit LetterarieMenti mengotakan janji menerbitkan Malaysian Hikayat Series di Roma Italy dan menghadiahkan penerbitan antarabangsa sulung di Frankfurt.

 

Sejak itu, kami baru sahaja mengesahkan terjemahan dan penerbitan dalam bahasa Jerman oleh syarikat Daltas, Jerman.

 

Alhamdulillah, ramai anak muda mula mengenali hikayat, mengejar satu dunia yang telah hampir dilupakan. Penulis baharu bertemakan hikayat semakin rancak mengambil ilham dari hikayat membuka dunia baru masing-masing, tidak seperti lebih 15 tahun yang lampau masa From The Written Stone dan HIKAYAT From The Ancient Malay Kingdom mula diterbitkan dahulu.

 

 

hikayat

 

 

Masa itu ramai meminati Hikayat lama kita. Ada juga yang menyarankan saya menukar tema penulisan. Kini begitu berbeza.

 

Dengan sokongan  MOTAC, Think City, dan GMBB  Hikayat Fandom Folklore World: A Storyteller Guild, telah dilancarkan di GMBB di Kuala Lumpur dan dihadiri lebih 150 tetamu yang terdiri daripada para penerbit, penulis, dan komuniti budaya. Rata-rata banyak pihak menyokong dunia yang ingin kami perjuangkan.

 

Kami secara aktif mula mengumpul tukang cerita demi menghimpunkan legenda yang boleh dirakam, dikongsi dengan generasi muda, memberi inspirasi kepada kandungan kreatif seperti video, filem, seni grafik, dan penerbitan.

 

Kepentingan tukang cerita dalam melakar naratif membentuk identiti dan jatidiri sebagai rakyat Malaysia. Storyteller Guild memberi penghargaan kepada tukang cerita yang menyumbang kepada pemeliharaan dan pembangunan seni.

 

Tahun ini, demi meraikan Makyong yang diiktiraf sebagai barometer seni dan kesusasteraan lisan kita di UNESCO, tukang cerita pertama diangkat ke Storyteller Guild ialah Fatimah Abdullah dari Dunia Makyong.

 

Hikayat Fandom turut menghasilkan ratusan karya seni oleh Ariyana Ahmad, Walid Muhammad dan Dani Warguide dalam buku-buku terbitannya untuk mengimbas kembali dunia Kepulauan Melayu yang telah lama menghilang. 

 

PELANCARAN BUKU DRAGONLORE DI JERMAN

DRAGONLORE: Dari Timur dan Barat diterbitkan - antologi 24 kisah naga oleh 14 penulis pemenang anugerah dari Kanada, China, Jerman, Georgia, Itali, Indonesia, Malaysia, Filipina , Turki dan UK bersempena Tahun Naga 2024. Buku ini terpilih menyertai 30,000 karya seni dan kesusasteraan untuk diarkibkan di bulan pada tahun hadapan di bawah projek LUNAR CODEX.

 

Buku ini yang mengambil inspirasi kehebatan dunia Naga seluruh dunia telah dilancarkan di Konsulat Malaysia di Frankfurt Jerman pada bulan Oktober dan merupakan salah satu buku terbaik pernah kami hasilkan diiktiraf penerbit dari pelbagai negara.

 

 

hikayat

 

 

Pada waktu ini, perbincangan sedang dijalankan untuk membawa buku ini ke China, Australia, Azerbaijan dan Filipina.

 

Pada bulan November, persembahan budaya tahunan Hikayat Fandom berlangsung di GMBB dengan sokongan MOTAC, JKKN, Think City dan MyCreative.

 

Paduan yang indah antara muzik, ekspresi budaya dan penceritaan menjadi intipati yang selari dengan ekspresi Hikayat Fandom - menggabungkan dunia Sastera dań seni budaya nutuk melancarkan Hikayat Fandom Folklore World.

 

Satu usaha yang membabitkan seluruh keluarga di mana Rudy menguruskan acara, Inas dan Ilena membuat persembahan tarian, Ilena dan Sharmein Arissa menguruskan jaula buku kami, dań Ikesha serta Nabilah menguruskan kanak-kanak di Hikayat Fandom Folklore World denga aktiviti lukisan. Khairul pula membuat persembahan trompet instrumental lagu rakyat Puetri Santubong dan Ulek Mayang serta lagu P Ramlee.

 

Sepanjang tahun saya sempat  memberikan enam pembentangan - tiga dengan IIUM dan ISTAC, satu bersama FINAS, mengetuai persatuan PERSALIMA di LISAN XII di Jakarta dan satu sesi bersama anak muda,  ASCENDANCE, membimbing remaja menjadi pemimpin! Ini mungkin salah satu sumbangan yang paling bermakna tahun 2023.

 

 

hikayat

 

 

Apakah perancangan 2024? 

Tentunya,  kami ingin membawa dunia Hikayat semakin jauh. Cita-cita sendiri ingin menghasilkan buku puisi yang sudah terkumpul dari belasan tahun. 

 

Dan akhir sekali, menerbitkan novel Leyla & The Empire yang telah ditulis sejak tahu 2020!

 

Semoga tercapai segala Impian 2024. - DagangNews.com

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb

 

Portfolio Tags