Menganalisis Kesejahteraan Rakyat Malaysia
SEJAK kebelakangan ini, kita berhadapan dengan beberapa insiden yang menjadi tanda aras masyarakat kita yang seolah-olah serba-serbi kekurangan. Kurang adab. Kurang akal. Kurang ajar.
Beginilah senario semasa. Insiden yang menaikkan kemarahan dan juga kesedihan melihat keadaan masyarakat hari ini.
Bagai siamang kurang kayu.
Salah satu kejadian ialah insiden video Kelab Komedi Crackhouse yang diviralkan. Pelbagai pihak cuba menegakkan pendapat masing-masing tanpa melihat tata-susila yang dipinggirkan.
Sebelum itu, terdapat juga pengumuman mengenai kemungkinan merobohkan stadium Shah Alam kerana kegagalan dalam penyelenggaraan.
Pada masa yang sama, ada kisah pembatalan pelantikan Duta yang menjadi tanda-tanya. Banjir di Baling yang menyebabkan kehilangan nyawa - didakwa berpunca daripada ‘warga’ yang tidak bertanggungjawab. Dan yang terbaru, kes rogol tidak masuk akal.
Ini semua tanda-tanda amanat yang tidak dijaga. Oleh pemimpin. Oleh masyarakat. Oleh kaum keluarga. Kesejahteraan bersama semakin jauh dari kita.
Kita sudah biasa dengan tajuk berita politik yang lantang. Tetapi insiden-insiden ini lebih berbahaya dan berleluasa.
Keluh-kesah orang ramai bukanlah satu kekecohan semata-mata, tetapi secara amnya 'desas desus' naluri yang tidak tenteram bahawa ada sesuatu yang begitu pahit untuk ditelan dalam masyarakat kita yang semakin meruncing, namun kita tidak dapat mengesahkan puncanya yang sebenar.
Adakah kita tidak cukup berani untuk menuding jari kepada diri sendiri? Kita melihat sampah di bandar, di sungai dan di pantai yang dahulunya putih bersih. Kita melihat kekurangan dalam masyarakat - fakir miskin yang melarat. Namun, apa yang kita lakukan tentang perkara ini?
Apakah kayu ukur kesejahteraan masyarakat kita?
Tiba masanya kita mengkaji semula sistem pendidikan kita terutamanya institusi pengajian tinggi, dan peranan institusi sebegini dalam membangun dan membentuk generasi akan datang, iaitu pemimpin masa depan.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) menjadi petunjuk pendidikan di Malaysia bagi malahirkan individu berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Individu yang kita panggil Insan Sejahtera.
Simposium 20 tahun Sejahtera anjuran UIAM (2002 - 2022)
Alhamdulillah, minggu ini saya diberi tanggungjawab untuk menjadi moderator wacana bersama panel yang begitu gah – Perbincangan Meja Bulat: Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), Sejahtera Melangkaui Pandemik: Isu, Cabaran dan Hala Tuju Ke Hadapan anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bersempena Simposium 20 Tahun Sejahtera.
Bersama Rektor UIAM Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Razak, Prof Dato Ahmad Murad Merican, Dr Cordelia Mason, Sayed Munawar dan Dr James Campbell dari Australia mengambil bahagian dalam satu perbincangan yang amat rancak turut disertai Dekan Kulliyyah Pendidikan, Dr Noor Lide Abu Kassim; Dr Betsan Martin dari New Zealand, dan Dr Mastura Badzis dari UIAM yang baru kembali dari Jepun.
Terbukti daripada pelbagai perbincangan sepanjang Simposium itu, terdapat persepsi umum bahawa idea FPK terperangkap antara realiti dan aspirasi.
‘KPI’ utama FPK ialah aspirasi ‘Sejahtera’ – malangnya konsensus umum ialah selepas 35 tahun, konsep Sejahtera masih sukar untuk dihuraikan atau difahami.
Dan selagi kita tidak dapat menjelaskan konsep ini dengan baik, ia akan menjadi sukar untuk dilaksanakan, mahupun dicapai. Oleh itu, mari kita lihat, apakah FPK?
Apakah Falsafah Pendidikan Kebangsaan?
Di laman web KPM, FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN diterangkan seperti berikut:
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Sewaktu perbincangan Meja Bulat ini, Prof Ahmad Murad memberi gambaran ringkas tentang evolusi pendidikan dari segi sejarah. Kita tidak dapat menyangkal bahawa sistem pendidikan kita telah dibentuk daripada sistem pendidikan barat, yang berdasarkan nilai-nilai barat.
Keseluruhan pembangunan modul sains sosial timbul daripada penyelesaian kepada masalah yang dihadapi di Eropah, namun kami mengangkatnya secara total, membawanya ke dalam sistem pendidikan kita tanpa mengubahsuai sedikit pun.
Jadi bagaimana kita boleh mencapai Insan Sejahtera daripada pendidikan yang begitu asing dari naluri kita? Malah sistem pendidikan dibangunkan penjajah?
Adakah barat itu sentiasa lebih baik? Adakah ianya sesuai dengan naluri dan akal budi kita?
Antara perkara yang paling mengujakan yang dikemukakan pada sesi Meja Bulat ini ialah kepentingan agama dalam mencari Insan Sejahtera. Dr Campbell menekankan bahawa kesejahteraan mesti datang daripada keseimbangan rohani dan jasmani.
Intipati kerohanian ini tidak boleh diambil mudah, sebaliknya ia adalah kekunci kepada kehidupan yang bermakna. Idea ini sebenarnya membawa pendidikan balik ke asal kerana di awal ketamadunan manusia, pembelajaran agama itulah paksi ilmu.
Dari sinilah, antara ilmu terbesar dunia tercetus dari para cendiakawan dunia Arab - Perubatan. Astronomi. Algebra. Namun entah bagaimana, kita telah memisahkan agama dan pembelajaran. Satu pengajaran di situ.
Prof Dato Murad juga mengemukakan andaian bahawa kita memandang ilmu peribumi dari sudut pandangan penjajah, yang tidak mengiktiraf kearifan lokal. Dengan sangat berani, beliau bertanya, "Mengapa pengetahuan ‘indigenous’ tidak boleh dianggap ‘universal’?"
Di sini saya teringat tulisan Francois Rene Daillie. Penulis Perancis itu begitu kagum dan cintakan pantun. Dia mendapati pantun adalah sastera yang jauh lebih unggul dan halus berbanding dengan banyak bentuk puisi lain.
Dalam pengenalannya kepada buku Alam Pantun Melayu, beliau menegaskan falsafah orang Melayu untuk menyediakan makanan yang mencukupi untuknya dan keluarganya adalah sesuatu yang tidak melampaui batas membinasakan alam semula jadi - ini pada dasarnya, kehidupan yang mampan!
Dalam konsep seni bina Rumah Melayu pula, betapa hebat falsafah di mana bahan binaan yang digunakan dari persekitaran, atap dan seni bina yang memastikan keadaan nyaman, udara yang segar dengan tingkap yang luas - rumah di tengah laman untuk kanak-kanak bermain dengan yakin dalam suasana semula jadi.
Gagal diberi perhatian
Berbalik kepada topik sesi Meja Bulat, selepas sekian lama FPK diperdebatkan, Sayed Munawar menghujahkan bahawa frasa 'mencapai kesejahteraan diri' telah gagal diberikan perhatian sewajarnya oleh semua pihak.
Memandangkan ia membawa muatan maknawi dan seharusnya menjadi kompas hala tuju FPK, kegagalan ini menjadikan FPK tidak membawa natijah meski diperkenalkan sejak selama 35 tahun.
Paling penting, untuk memberi manfaat kepada masyarakat, Dr Cordelia Mason pula berkata bahawa Kesejahteraan perlu inklusif dan perlu ada kelestarian dalam pendidikan.
Untuk memastikan pendidikan selari dengan aspirasi kesejahteraan, beliau menambah ada keperluan untuk kita menceritakan kisah-kisah kita. Naratif kita. Usaha dan kayu ukur kita sendiri.
Dan dari situ, seseorang Insan Sejahtera dapat menjiwai jati diri penuh keyakinan. Kasih sayang ibu juga memainkan peranan penting untuk membentuk Insan Sejahtera.
SDG
Dalam kita mengejar pembangunan yang mampan (SDG) kita harus mempunyai hala tuju ke arah kesejahteraan.
Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli mengakhiri sesi dengan menegaskan aspirasi mencapai kesejahteraan untuk memenuhi hasrat asal FPK perlu menjadi keutamaan.
Perbincangan dan perkongsian yang diperlukan untuk mengangkat aspirasi sebagai agenda nasional mesti diteruskan dan UIAM akan memainkan peranannya dalam hal ini.
Tambah Tan Sri, Aspirasi Sejahtera itu sebenarnya cerminan Akal Budi. Bila kita fikirkan semula, akal budi merupakan terjemahan yang paling sempurna untuk ‘mind’ - dan bukannya, 'minda'. Ini dapat diterima kerana ‘mind’ bersifat ‘duality’ -'Akal Budi' sememangnya lebih tepat!
Daripada sidang Meja Bulat ini, beberapa garis panduan dapat disimpulkan sebagai titik permulaan ke arah kesejahteraan yang diharapkan akan merangsang wacana seterusnya:
1. Konsep Sejahtera mesti ditakrifkan dan diutarakan bagi memastikan aspirasi Insan Sejahtera yang melambangkan kesejahteraan rohani dan kehidupan seimbang seperti yang digariskan dalam FPK dapat dicapai;
2. Pendidikan mestilah saling inklusif dan mampan;
3. Sistem pendidikan kita mesti tertumpu kepada membangunkan cita-cita, disemai dengan akal budi dan pandangan pribumi yang universal.
4. Aspek kerohanian perlu diselitkan ke dalam lengkung tarbiah Insan Sejahtera.
Boleh dirumuskan bahawa wacana sebegini boleh membawa perubahan. Kita harus berani menangani kelemahan dalam masyarakat dan mempunyai keazaman yang diperlukan.
Kata-kata hikmat, menurut Dr Campbell, memainkan peranan penting. Mutiara katalah yang menzahirkan niat menjadi satu kenyataan.
Barulah kita dapat melihat perubahan sebenar membolehkan masyarakat kita mencapai aspirasi kesejahteraan.
Saya amat berterima kasih kepada Prof Dr Noor Lide Abu Kassim, Dekan Kulliyyah Pendidikan kerana menjemput saya sebagai moderator sesi Meja Bulat terakhir Simposium tersebut.
Ia adalah sesi yang membuka mata dan akal budi. Adalah diharapkan lebih ramai lagi akan turut serta dalam usaha mencapai Kesejahteraan Diri melalui sistem pendidikan tinggi kita untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan Negara.
Mungkin ada yang bertanya, adakah artikel kali ini sesuai dalam ruangan yang didedikasikan untuk Seni, Budaya dan Hikayat.
Tentu sekali.
Budaya itu cara hidup. Dan Kesejahteraan yang kita cari mesti menjiwai budaya.