Menghargai Keindahan Kesenian Orang Asal | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 07 Aug 2021 08:56 AM

Menghargai Keindahan Kesenian Orang Asal

 

 

Hari Orang Asal Antarabangsa diraikan pada 9 Ogos setiap tahun. Kepentingan sebenar kebudayaan dan kesenian jauh melangkaui manfaat ekonomi.

 

Dua dekad yang lalu. Saya masih terkenang perjalanan saya ke Cameron Highlands. Begitu indah Cameron Highlands yang saya ingati dan rindui di kala kita tidak dapat bergerak bebas masa ini. 

 

 Ada sudut tertentu di jalan yang panjang dan berliku itu di mana saya pasti tidak ketinggalan akan singgah untuk membeli cenderamata setelah puas membeli teh dan strawberi. Terdapat deretan kedai di mana kita boleh mendapatkan pasu, kraf ukiran kayu, bakul anyaman, madu asli dan lain lain hasil kraftangan yang unik. Ini adalah kedai-kedai yang mempamerkan kraf orang asal. 

 

Menurut UNESCO, budaya seni visual dan sektor kraf merupakan sumbangan ketara kesenian yang memanfaatkan ekonomi, sosial dan budaya secara mendalam. ‘Sustainable Development Goals’ sedunia memerlukan pembangunan kesenian untuk mendukung aspirasi SDG ini.

 

Bagi kita di Malaysia ini merangkumi hasil kesenian individu dan masyarakat Orang Asal  iaitu masyarakat Pribumi, Melayu Asli dan Melayu di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. 

 

Kini, dalam mengharungi cabaran COVID-19, saya membayangkan bagaimana masyarakat Orang Asal sedang menghadapi cabaran ini? Bagaimana kita terus mempertahankan warisan tradisi mereka serta hikayat lama zaman berzaman Orang Asal? Atau adakah ia akan hanyut ditelan zaman? 

 

Baru-baru ini, saya menyiapkan manuskrip Lipur Lara Nusantara II dan telah memilih untuk memasukan legenda Iban Kumang dan Keling dalam antologi itu. Banyak kisah legenda sebegini menjadi khazanah kita dan patut diketengahkan. 

 

 

hikayat
KAUM wanita Mah Meri menarikan tarian memohon kemakmuran tahun baru.

 

 

Kenapakah hasil kesenian begitu penting?

Penghasilan kesenian melibatkan individu kreatif yang dapat melebarkan manfaat pencarian sara hidup untuk keluarga, masyarakat dan ada juga, ke seluruh komuniti.  Yang mahir boleh melatih anak muda dan mereka yang memerlukan seperti ibu tunggal dan golongan OKU dan masyarakat terpinggir.  

 

Lebih utama, golongan ini mulai menilai kehidupan yang lebih bermakna - jati diri yang bersemangat,  maruah dan harga diri, kesinambungan budaya, ‘connectivity’ antara generasi, aktiviti yang sihat, daya kreatif dan pengiktirafan masyarakat. Kesemua ini merupakan ‘chain reaction’ dan faedah pembangunan sosio-ekonomi tidak ternilai.

 

Oleh itu, kita tidak boleh sama sekali mengukur pelaburan ke dalam budaya dari segi ROI ekonomi sahaja.  

 

Penyertaan masyarakat dalam bidang kesenian meningkatkan perpaduan sosial dalam masyarakat, menggalakkan hidup gaya sihat dan kesejahteraan. Fungsi seni dan kraf melangkaui aspek ekonomi - ia tertanam dalam kehidupan seharian, kesinambungan keluarga, adat tradisional dan juga kerohanian.

 

Bagi ramai penggiat kesenian dan kraf, merekalah yang mewakili kesinambungan masa lalu, masa kini dan masa depan.

 

Peranan pembangunan sosial 

Selalunya, di dalam masyarakat orang asal pribumi, wanita asli, belia dan kanak-kanak akan mendapat manfaat daripada banyak seni dan kraf tradisi. 

 

Program-program yang telah sedia ada menjadi pemangkin strategik cara untuk menampung kehidupan. Manfaat ekonomi melalui kepentingan pelancongan dan kegiatan kebudayaan memainkan peranan utama.

 

Terdapat faedah tidak nyata dan yang nyata. Penggunaan sumber semula jadi oleh penggiat itu sendiri positif, kerana ia menyediakan insentif untuk orang Asal untuk menggunakan pengetahuan ekologi mereka untuk menguruskan sumber-sumber secara mampan. 
 

 

hikayat
Pelbagai hasil kraftangan yang disukai pelancong asing dan juga tempatan.


 

Manfaat ekonomi

Orang Asal mendapat faedah kewangan daripada penjualan seni dan kemahiran mereka yang menggalakan aliran pendapatan ke dalam masyarakat. Bukan sahaja penggiat kraf individu memperoleh pendapatan melalui menjual seni mereka, ahli-ahli masyarakat yang lain juga mendapat manfaat.

 

Mereka yang berjaya menambah mata pencarian berkongsi pendapatan tunai mereka dengan ahli keluarga menggunakan pendapatan untuk membeli makanan dan keperluan asas serta simpanan asas. Dengan cara ini, pendapatan yang diperoleh daripada seni membina masyarakat. 

 

Khususnya, pendapatan yang diperolehi daripada seni dan kraf jualan juga sering merupakan satu-satunya sumber pendapatan persendirian.  Ini bakal memberi kesan ekonomi yang sangat bermakna. 

 

Manfaat Sosial 

Penglibatan dalam aktiviti seni boleh memberi kesan positif kepada kesihatan dan kesejahteraan rakyat. Peranan Pusat Kesenian dan Kebudayaan menggabungkan aspek ekonomi, sosial dan kebudayaan, semuanya yang akan memberi faedah besar kepada penggiat kesenian Pribumi serta orang Melayu  dan masyarakat, secara amnya. Ini adalah jalinan ikatan  antara identiti masyarakat kepada  identiti lnegara. 

 

Selain dari manfaat sosial, kesenian  menyediakan manfaat budaya kepada masyarakat yang lebih luas, memudahkan kepelbagaian budaya, dan menyediakan satu 'jambatan' untuk rakyat keseluruhannya mengenal, memahami dan mencintai budaya pribumi.

 

Contohnya di Australia, rakyat Australia menerima Aboriginal Art sebagai identiti Australia yang paling unik, menyatukan seluruh Australia. Di Malaysia, budaya dan kesenian Orang Asal  memberikan kekuatan identiti untuk Malaysia. 

 

 

M. Tarmizi M. Norawi Kumang Gawai
Gadis Kumang Iban (Ratu Cantik Iban). Gambar - M. Tarmizi M. Norawi

 

Kepentingan keseluruhan 

Terdapat bukti kukuh bagaimana kesenian dan kebudayaan memberi impak dan manfaat ekonomi, sosial dan kebudayaan yang besar. Kesejahteraan bersama memerlukan keindahan budaya.

 

UNESCO sudah mengiktiraf Makyung dan keris sebagai khazanah kesenian Negara kita. Kesenian Orang Asal, Melayu Asli dan Melayu seperti Mek Mulung, Mah Meri, Kadazandusun, Iban, Melanau, Melayu Sarawak dan sebagainya  patut ditambah dan mendapat pengiktirafan serta-merta. 

 

Marilah kita memperkaya dan mengekalkan budaya pribumi, dan menggalakkan budaya tradisional ini kepada masyarakat yang lebih luas di Malaysia dan ASEAN dan kepada seluruh dunia. 

 

Sejujurnya, saya tidak pasti hasil kesenian orang asal dapat dipertahankan. Saya juga tidak pasti samada kedai sederet di Cameron Highlands itu masih ada lagi. Namun, kita mestilah serius dan terus mempertingkatkan apresiasi dan kesinambungan budaya kesenian orang asal di negara kita.  

 

 

hikayat

Hari Orang Asal  Antarabangsa diraikan pada 9 Ogos 2021, Isnin ini.

 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

Klik di sini untuk koleksi DARI HIKAYAT KITA