NOVEL KLASIK SEMARAKKAN BANGSA
Benarkah novel boleh membentuk seseorang karyawan? Sejarawan? Patriot? Anak bangsa?
Bukan semua suka membaca novel. Apatah lagi untuk membaca novel yang agak serius. Memang kita akui, membaca novel di zaman ini bukanlah sesuatu yang mudah. Kena duduk bersendirian, dua hingga empat jam. Kadang kala lebih lama. Minda melayan minda. Lebih baik membaca ‘handphone’.
Namun jika buku yang dibaca, setiap ayat yang dijalin indah, begitu menyentuh hati, ia akan mengubah Sang Pembaca, iaitu anda, buat selama-lamanya.
Bergelut dengan kehidupan. Membuka dunia yang anda yakin begitu ‘familiar’ namun sebenarnya terdapat banyak ‘kebenaran’ yang melapisi satu sama lain. Memberi persepsi baru. Sentuhan lama.
Dari kecil saya menyukai buku pelbagai genre. Daripada genre fiksi sains seperti Dune ke siri ‘thriller’ dan buku motivasi, akhir ini saya kembali pada novel klasik dari penulis tersohor negara seperti Pak Sako dan Shahnon Ahmad yang saya pernah baca sejak zaman remaja.
Minggu ini mari kita selami sebahagian buku yang menyentuh jatdiri dan membuatkan saya merasa bangga sebagai anak bangsa.
PUTERA GUNUNG TAHAN oleh Pak Sako
Novel Putera Gunung Tahan karya Pak Sako adalah sebuah karya yang penuh mistik berbentuk satira menyampaikan kesedaran pemikiran anak bangsa. Secara khusus novel ini merupakan satu kritikan terhadap penjajah yang dianggap rakus, tidak bertamadun dan tidak beradab.
Namun kritikan mesti disampaikan secara halus demi penerimaan semua dan dibenarkan untuk diedar. Penyampaiannya agak bersahaja begitu berani pada mulanya dan akhirnya berubah menjadi 'thriller' bagi pembaca.
Pak Sako atau nama sebenarnya, Ishak Haji Muhammad berasal dari Pahang. Beliau menulis Putera Gunung Tahan pada tahun 1938 membayangkan sindiran tajam kepada pihak British. Dia berkata tentang buku ini,
“Seorang yang telah membaca buku ini sekali lalu tentulah sedar akan apa dia kewajipan-kewajipannya terhadap tanahair, bangsa dan adat resamnya…”
Ia tertumpu pada watak utama, Ratu Bongsu yang begitu yakin tidak akan membiarkan walau setitik tanah bumi bertuah diambil pihak British. Sifat tamak haloba penjajah sehingga mahu merampas Puncak Gunung Tahan itu mencetuskan kemarahan Ratu Bongsu. Buku ini melambangkan sifat patriotisme, semangat cintakan bangsa dan tingginya ilmu dan adab bangsa Melayu.
RANJAU SEPANJANG JALAN oleh Shahnon Ahmad
Ranjau Sepanjang Jalan, karya epik Dato Shahnon Ahmad, merupakan buku novel Bahasa Melayu moden yang pertama bagi saya yang berumur 12 tahun pada ketika itu. Karya Sasterawan Negara yang berasal dari Kedah ini penuh dengan adegan menyayat hati mengingatkan saya pada novel Pearl S Buck The Good Earth.
Novel post-Merdeka ini diterbitkan pada tahun 1966 berkisar tentang kehidupan pesawah padi di Kampung Banggol Dedap, Sik, Kedah yang serba daif.
Pada zaman ia ditulis, Malaysia sedang membangunkan ekonomi melalui Rancangan Malaysia Pertama.
Kaum petani digalakkan untuk meningkatkan sektor pertanian dengan pelbagai dorongan kerajaan. Novel ini mempamerkan kedegilan Lahuma yang berpegang pada adat dan tidak mahu mengubah cara serta akibat tindakannya itu.
“Anak-anak kita perlu makan siang malam. Tak ada nasi anak-anak kta akan mati. Makan kita bergantung pada sawah. Pakaian bergantung pada sawah. Sakit atau sihat bergantung pada sawah. Mati hidup bergantung pada sawah.
Sawah nadi besar kita sejak datuk nenek dahulu lagi. Ia mesti dipupuk dan dijaga. Biar siapa datang menyerang, kita wajib melawan. Biar siapa datang mengacau, kita wajib melawan. Biar datang seribu musuh, kita mesti lawan. Itulah hidup kita.”
‘But nothing is black and white…’ Sikap manipulasi masyarakat dicerminkan Ketua Kampung begitu relevan hingga ke hari ini.
Isu masyarakat seperti penyakit kemurungan, dan pandangan masyarakat serta takdir menambah derita keluarga yang ditinggalkan Lahuma.
Novel ini mendapat pengiktirafan antarabangsa dan telah diadaptasi kepada filem di Malaysia dan Kemboja.
IMAM oleh Abdullah Hussain
“Benar. Benar. Teman yang paling baik ialah buku. Dia boleh menemani kita ke mana saja yang kita mau pergi. Dia teman yang paling setia,” ujar Haji Mihad – Abdullah Hussain, Imam, 1995.
Imam merupakan novel yang telah ditulis oleh Sasterawan Negara yang ke-8, Abdullah Hussain Dilahirkan di Yan, Kedah. Novel ini padat tentang isu-isu seperti hal-hal ugama dan amalannya, pemikiran masyarakat Melayu, arah tuju sesebuah komuniti dan sebagainya.
Bab pembuka terus menjadi premis konflik - mengejar harta dunia mungkin menggoncang aqidah dan menukar watak komuniti apatah lagi individu. Novel ini sebenarnya menelanjangi sifat Melayu yang kadang kala begitu jumud apabila dipengaruhi ‘mob factor.”
Haji Midad yang ingin membawa perubahan yang tidak disenangi walaupun begitu banyak kualiti yang menjadikannya ehsan yang mulia budi pekerti.
Kesimpulan tragis membuatkan kita berfikir, di manakah akhlak bangsa?
Ketinggian nilai karya klasik
Apabila membaca karya klasik yang begitu tinggi nilainya, kita bakal memperoleh pelbagai pengajaran.
Ada begitu banyak lagi karya yang ingin disebutkan. Memadai saya senaraikan kegemaran saya di sini.
Ranjau Sepanjang Jalan Shannon Ahmad
IMAM, Abdullah Hussein
Tenggelamnya Kapal Van Derwyck, HAMKA.
1515, Faisal Tehrani
Tulang Tulang Berserakan Usman Awang
Hari Terakhir Seorang Seniman Datuk Anwar Ridhwan
Tembok Tidak Tinggi oleh A Samad Ismail.
Putera GUNUNG TAHAN Pak Sako
Anak Mat Lela Gila, Pak Sako
Tawarikh Cinta, Nisah Haron
Apabila membaca novel klasik begini kita dapat menyelami keseluruhan pengalaman yang ditonjolkan melalui penceritaan dan mendalami pengajaran hidup tanpa melalui derita dan kepahitan itu sendiri.
Perasaan cinta dan kasih pada bahasa ibunda juga tersemai apabila ianya diperkasa martabatnya yang kini semakin hanyut ditelan arus kemodenan.
Keindahan bahasa. Keperitan bercinta. Persuratan takdir.
Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu. Emel : [email protected]