WARISAN ARKEOLOGI, BUDAYA DAN HIKAYAT
Intan Permata Tanah Melayu
BUKTI kediaman tertua manusia selain Afrika berusia 1.83 juta tahun lalu di Wilayah Utara Malaysia.
Rangka manusia tertua yang ditemui di Asia Tenggara di Lembah Lenggong.
Tapak kerajaan Melayu tertua hasil bukti aktiviti di Sg Batu dan Lembah Bujang.
Di ambang tahun baru 2022, saya bersama keluarga merancang untuk pulang ke Kuala Lumpur dari Langkawi. Tiba-tiba terdetik di hati untuk singgah ke Lenggong, Perak.
Saya diperkenalkan kepada Nash Jamaluddin beberapa tahun yang lepas oleh Pak Peter dari Ipoh! Pelbagai perkara menarik dan komen ‘travelog’ tentang keunikan Lenggong ini. Tetapi ada saja halangan untuk ke Rumah Tiang 16 di Lenggong. Rumah Tiang 16 menerima pelbagai pujian:
“Lenggong’s 1st and Only Heritage Boutique Accommodation!”
Nominated byRough Guides
“brimming with nostalgia and character…”
Have Halal Will Travel
“…particularly attractive spot for travelers from all around the world”
Tamu Asia
Tentunya ada sesuatu yang begitu menarik dan ini dibuktikan apabila baru baru ini, sejajar dengan Bajet 2022,, Think City, sebuah syarikat Khazanah, telah melancarkan Program Geran Pemangkin Ekonomi Budaya berjumlah RM10 juta untuk meningkatkan ‘community-based tourism’ di Wilayah Utara.
Penerokaan arkeologi dan penemuan sejarah 1.83 juta tahun di Lenggong diberi nafas baru bagi menggalak minat pada sejarah serta merancak ekonomi tempatan.
Kerajaan Melayu Tamadun Tinggi
Kedudukan Malaysia yang terletak di titik pertemuan sejarah dan geografi hasil penemuan penempatan prasejarah tertua di dunia selepas Afrika mencerminkan keberadaan evolusi manusia selama dua juta tahun yang lampau.
Selain itu, tapak arkeologi Lembah Bujang dan Sungai Batu menonjolkan bukti penempatan manusia terawal di Asia Tenggara. Ini menjanjikan potensi besar bagi Malaysia untuk dipertingkatkan sebagai sebuah destinasi warisan arkeologi antarabangsa. Kemungkinan penemuan baharu dan peluang untuk mempamerkan tapak bersejarah ini bakal memberi fokus awal kepada Lenggong, Kuala Kangsar dan Taiping.
Tiga kisah legenda dari kawasan ini adalah kisah Gangga Nagara, Kisah Puteri Lindungan Bulan dan Kisah Tun Saban dan Sultan pertama Perak…
Petikan dari kisah Gangga Nagara dari buku Lipur Lara Nusantara ini diharap dapat memberi ilham dan bayangan masa silam di Wilayah Utara dari mahawangsa lama.
Gangga Nagara
Gangga Nagara kota di Raja
Raja Linggi Shah rajanya
Di atas bukit, kota di Dinding,
Jauh sedikit dari Perak
Raja Linggi Shah Johan memandang ke arah ufuk yang kian merudum.
Langit mulai gelap, warna emas kemerahan di kaki langit begitu menyemarak sebelum mentari akhirnya terbenam.
Selalunya, inilah pemandangan paling indah di Gangga Nagara, memberikan satu ketenangan kepada Raja di kerajaan yang terletak di utara Semenanjung Tanah Melayu.
Bunga cempaka putih dan bunga melur dialun angin sepoi-sepoi bahasa, bau-bauan memukau di taman larangan menusuk panca indera mengingatkan Raja Linggi kepada kerajaan Champa, antara kerajaan Melayu terawal.
Raja Linggi mengeluh perlahan.
Lembayung senja mengingatkannya tentang bahaya yang akan tiba dari barat. Ahli nujum diraja membaca ramalan yang begitu dahsyat. Namun, mana mungkin Raja Gangga Nagara menyerah kalah begitu saja.
Pantang berundur sebelum ajal.
Bintang yang menerangi langit tiba-tiba hilang. Kata ahli nujum, huru-hara dan kematian bakal menjadi menjadi lumrah dunia Gangga Nagara apabila bala tentera bergerak tanpa henti dari barat sampai ke timur. Mereka datang mencari emas, lebih dari itu, raja mereka mencari kemenangan abadi.
Rakyat Gangga Nagara terdiri dari pedagang dan petani, penyair dan pemikir di kerajaan yang aman dan makmur. Dalam pada itu, kekayaan negeri itu terus berkembang melalui perdagangan dan khazanah bumi yang lumayan. Gangga Nagara mendapat sinaran matahari yang menyuburkan tumbuh-tumbuhan, saujana mata memandang. Pada sebelah petang, udara lembap membentuk awan indah pelbagai rupa – kadang-kala tampak seperti raksasa yang menongkah langit sebelum turun mencurah bagai air terjun dari langit, begitu lebat sekali.
Tukang cerdik pandai Gangga Nagara merenung bintang-bintang, mendengar bisikan angin dan meramalkan segala perubahan yang tidak dapat disangkal. Dari laut di barat mereka datang - Raja Syulan pengembara yang rakus, ingin memiliki segala yang ada di laluannya.
Itulah jatidiri penakluk besar - mereka datang dengan gajah, kuda dan tentera yang berjalan tidak henti, sekonyong-konyong dikejar bayangan hantu terdahulu. Raja Syulan pun tiba bersama tempikan gajah yang sama dirasuk semangat perang.
Raja Linggi tidak berputus asa, tidak meyerah kalah…
Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu. Emel : ninotaziz@gmail.com