Dasar 1% peluang kerja OKU jadi KPI semua kementerian, perlu dicapai hujung 2022 - Ismail Sabri | DagangNews Skip to main content

Dasar 1% peluang kerja OKU jadi KPI semua kementerian, perlu dicapai hujung 2022 - Ismail Sabri

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari OKU Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpu4 pada 3 Disember 2021. - Gambar Bernama

 

 

KUALA LUMPUR 4 Dis - Kerajaan menetapkan dasar 1% peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada Orang Kurang Upaya (OKU) dijadikan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi semua kementerian dan perlu dicapai pada penghujung tahun 2022, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Perdana Menteri berkata, penetapan ini adalah berikutan dasar berkenaan belum lagi mencapai sasaran setakat ini.

 

“Di dalam Bajet 2022 menyediakan peluang untuk anak muda OKU dilantik menerusi skim MySTEP (Program Pekerjaan Jangka Pendek Malaysia)  dengan menawarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 dalam syarikat berkaitan kerajaan mulai Jan 2022.

 

''Azam dan usaha ini sekali gus membantu mempercepatkan Dasar 1% OKU dalam sektor awam tercapai,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Malam Kasih OKU Keluarga Malaysia sempena Hari OKU Sedunia Peringkat Kebangsaan di sini malam ini, lapor Bernama. Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

 

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan tidak pernah sesekali meminggirkan golongan OKU, malah sentiasa mengiktiraf peranan dan kepentingan mereka terutamanya dalam agenda Keluarga Malaysia.

 

Kerajaan, katanya, menyedari dalam tempoh hampir dua tahun ini seluruh rakyat terbeban dengan ancaman pandemik COVID-19 dan golongan OKU merupakan antara kelompok yang sangat terkesan akibat wabak itu.

 

Justeru, selain menyeru OKU bersiap siaga untuk menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan ke arah fasa endemik, kerajaan katanya akan sentiasa membantu dan menyokong agar golongan ini terus kental, berdaya tahan dan bersifat anjal bagi menyesuaikan diri dengan cara hidup norma baharu.

 

"Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 lebih banyak peluang ekonomi disediakan kepada OKU melalui pelbagai platform termasuk ekonomi perkongsian dan ekonomi
digital," katanya.

 

Beliau berkata KPWKM serta agensi terlibat perlu memastikan setiap ringgit yang diperuntukkan  dalam Bajet 2022  untuk keperluan OKU dibelanjakan dengan optimum.

 

“Isu-isu berbangkit perlu diselesaikan dengan sempurna dan benar-benar sampai kepada penerima manfaat, sebagai contoh, peruntukan sebanyak RM30 juta untuk menjadikan bangunan kerajaan mesra OKU perlu direalisasikan secara holistik oleh kementerian-kementerian lain yang berkaitan.

 

Ini bagi membolehkan bangunan-bangunan terbabit mematuhi undang-undang dan peraturan yang relevan. Selain itu Pihak Berkuasa Tempatan  akan terus digalakkan untuk menerima pakai prinsip ‘Universal Design’ atau Reka Bentuk Sejagat bagi menambah baik akses kemudahan awam untuk OKU,” katanya.

 

Beliau berkata ia termasuk peruntukan-peruntukan lain yang telah diluluskan perlu dilaksanakan dengan lebih teliti, supaya usaha memperkasa OKU secara komprehensif dapat direalisasikan.

 

PM


Sementara itu, Rina berkata sehingga 30 Nov tahun ini terdapat seramai 587, 608 OKU telah berdaftar di bawah Jabatan Kebajian Masyarakat (JKM) dan kementerian akan terus berusaha supaya lebih ramai OKU dalam keluarga Malaysia mendaftar dengan JKM.

 

Beliau berkata antara Aspirasi Keluarga Malaysia di bawah kementerian adalah memperkenalkan inisiatif MyDaftar OKU dengan permohonan secara dalam talian supaya mewujudkan pangkalan data OKU dan sistem maklumat yang komprehensif.

 

Katanya pengurusan pendaftaran kad OKU melalui MyDaftarOKU akan memudahkan OKU tanpa pengisian borang secara manual, pengesahan ketidakupayaan oleh pakar, pegawai atau pengamal perubatan secara dalam talian.

 

Tema Sambutan Hari OKU pada tahun ini iaitu “Kepimpinan dan Penyertaan OKU Menuju Endemik COVID-19” yang dipilih supaya golongan OKU bersedia untuk
menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan ke arah fasa endemik COVID-19. - DagangNews.com