KUALA LUMPUR 7 April - Konsep Al-Wasatiyyah atau kesederhanaan yang didukung Universiti Al-Azhar telah terbukti berjaya mendepani cabaran pemikiran ekstremisme dan keganasan yang mampu meruntuhkan negara serta merugikan umat Islam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, konsep itu selari dengan seruan Al-Quran untuk melahirkan masyarakat yang terbuka dan bertoleransi antara satu sama lain, khususnya di Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk.
Beliau berkata, amalan kesederhanaan itu juga selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang bersifat inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.
Jelasnya, di Malaysia, lepasan Al-Azhar telah membentuk suatu jaringan dan hubungan yang berterusan antara universiti dan alumninya dan mereka diamanahkan untuk membawa risalah Al-Azhar “Ummatan Wasata” atau “Wasatiyyah” alam melaksanakan tugas mulia selaku ulama.
"Usaha ini memberi faedah kepada agenda dakwah Islamiah, pemerkasaan Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah dan juga sebagai jaringan strategik kepada Kerajaan Malaysia bagi kepentingan agama, negara dan ummah. Ulama Al-Azhar terkenal kerana memiliki pelbagai ilmu, namun sifat atau pendirian yang dipegang mereka tetap sederhana dan moderat.
"Mereka menjadi tumpuan dan rujukan dalam bidang ilmu agama dan diiktiraf sebagai bertaraf ‘alami dan muktabar. Al-Azhar Asy-Syarif juga menjadi sebuah institusi agama yang berjaya melahirkan ribuan alim ulama, dengan membawa pemikiran Wasatiyyah Islam dalam menangani pemikiran ekstremisme dan fanatisme di seluruh dunia.
"Semoga Allah S.W.T memelihara Al-Azhar Asy-Syarif dan para pendukung manhajnya," katanya ketika berucap secara dalam talian sempena Hari Al-Azhar Sedunia 2022 dan Ulang Tahun Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) Ke-10, hari ini.
Yang turut hadir, Duta Besar Mesir ke Malaysia, Ragai Tawfik Said Nasr; Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dan Presiden WOAG Malaysia, Prof Datuk Mohd Fakhrudin Abdul Mukti.
Menurut Ismail Sabri, pengaruh Al-Azhar dalam sejarah peradaban manusia memberi kesan kepada pembentukan institusi keilmuan pada hari ini.
Beliau berkata, kewujudan institusi keilmuan Islam di dunia khususnya di Malaysia, adalah hasil kurikulum pendidikan yang diasaskan oleh manhaj Universiti Al-Azhar terdahulu yang jauh ke hadapan dalam arena pendidikan atau Tarbiyyah Islamiah.
"Manhaj Al-Azhar terbukti dapat mempertahankan akidah Ahli Sunah Waljamaah daripada beberapa fahaman seperti Khawarij, Muktazilah, Syiah, Salafi, Zahiriyyah, Batiniyyah, Takfiriyyah, liberalisme, pluralisme dan beberapa fahaman yang muncul pada zaman moden ini.
"Al-Azhar menolak sama sekali aliran kafir-mengkafirkan yang dianggap menjadi punca berlaku pecah belah sesama Islam yang sekali gus menyekat pembangunan ummah.
"Kecemerlangan Al-Azhar termasuk para guru yang hebat ilmunya, kurikulum pendidikan yang bersepadu dan manhaj Wasatiyyah, sewajarnya dimanfaatkan oleh umat Islam di Malaysia dalam membina sebuah generasi berilmu yang bukan hanya cemerlang di dunia tetapi juga di akhirat," katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, majlis sambutan Hari Al-Azhar Sedunia ini amat besar ertinya kepada umat Islam di Malaysia yang banyak terhutang budi kerana sumbangan pendidikan dan pemikiran Islam universiti tersohor itu.
Beliau berkata, pastinya sambutan itu juga mengukuhkan lagi hubungan peringkat Kerajaan antara Malaysia dan Mesir dalam pelbagai bidang, khususnya pendidikan.
"Al-Azhar adalah sebuah institusi Islam yang terulung dan tertua di dunia serta mempunyai barisan para ulamanya yang muktabar dan bertaraf dunia. Kealiman dan kesepaduan ilmu para ulama Al-Azhar telah menarik para penuntut dari seluruh dunia termasuk Malaysia untuk menimba dan mendalami ilmu-ilmu agama.
"Sejak dahulu lagi, para pelajar Melayu berhijrah ke Mesir khususnya Al-Azhar untuk menuntut ilmu. Menurut rekod, orang Melayu pertama yang pernah menuntut di Al-Azhar ialah Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain Al-Fathani (seorang ulama Melayu yang terkenal di Nusantara dan Mekah) pada awal 1870-an. Sejak itu, kedatangan pelajar Melayu ke universiti ini berterusan sehinggalah ke hari ini," katanya.
Beliau difahamkan kira-kira 7,000 pelajar Malaysia sedang menuntut di Universiti Al Azhar Al-Syarif, sekali gus menjadikannya bilangan pelajar antarabangsa yang paling ramai.
"Justeru, penghargaan patut diberikan kepada Al-Azhar Al-Syarif terutamanya Fadhilah Al-Imam Al-Akbar Syeikh Al-Azhar, Prof. Dr Ahmad Muhammad Al-Tayyeb kerana sumbangan penting mereka dalam mendidik pelajar Malaysia. Alhamdulillah untuk makluman kita bersama, Al-Imam Al-Akbar telah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah pada tahun 2020," katanya. - DagangNews.com