Dasar anti-rokok dikhuatiri mendatangkan kesan negatif ke atas perniagaan, kata FSGMAM | DagangNews Skip to main content

Dasar anti-rokok dikhuatiri mendatangkan kesan negatif ke atas perniagaan, kata FSGMAM

Jika Kementerian Kesihatan berhasrat untuk menghentikan orang ramai daripada merokok, tindakan pertama adalah menghentikan jualan rokok seludup.
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 29 Jun  – Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia (FSGMAM) bimbang dengan pengumuman yang dibuat baru-baru ini oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang bercadang memperkenalkan langkah melarang produk tembakau dipamerkan di tempat jualan, pembungkusan standard dan larangan jualan rokok dan vape kepada dewasa yang dilahirkan selepas 2005.

 

Presiden FSGMAM, Hong Chee Meng berkata, langkah-langkah ini pasti akan mendatangkan kesan negatif ke atas perniagaan dan kerajaan perlu melihat kesannya secara lebih meluas.

 

“Kami belum bertemu dengan Kementerian Kesihatan mengenai cadangan ini. Cadangan melarang produk tembakau dipamerkan di tempat jualan akan menambah kerumitan kepada proses perniagaan yang pada masa ini adalah jelas.”

 

“Kami perlu membuat perubahan kepada kabinet jualan yang ada sekarang – yang merupakan kos yang perlu diambil kira, terutamanya dalam keadaan ekonomi muram ini, dan kadar inflasi semakin meningkat. Ia bukanlah situasi yang ideal untuk perniagaan,” kata Hong dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Menurut Hong, larangan penjualan kepada dewasa dilahirkan selepas tahun 2005, pembungkusan standard dan larangan mempamerkan produk tembakau akan memberi kesan kepada industri dan boleh menyebabkan perdagangan rokok seludup menjadi semakin teruk, yang pada masa ini mendominasi lebih separuh daripada pasaran keseluruhan.

 

“Memandangkan Malaysia kekal sebagai negara nombor satu di dunia bagi rokok seludup, Kerajaan perlu memberi tumpuan bagi menangani masalah ini dahulu sebelum memperkenalkan tindakan baru.

 

“Situasi rokok haram sekarang adalah teruk dengan 6 daripada 10 paket rokok di pasaran merupakan rokok seludup. Memperkenalkan pembungkusan standard bagi produk tembakau akan menyebabkan satu lagi bentuk rokok haram iaitu rokok tiruan.

 

“Pada masa yang sama, rokok seludup tidak akan mematuhi syarat, dan menyebabkan pengguna menjauhi produk sah. Oleh itu, hanya perdagangan rokok seludup yang akan mendapat faedah daripada tindakan ini manakala pengguna akan terus menggunakan produk tidak sah,” katanya.

 

 

Hong Chee Meng
                                                 Hong Chee Meng

 

 

Peruncit telah melaksanakan sepenuhnya larangan jualan kepada golongan yang berusia kurang daripada 18 tahun. “Ini adalah mudah kerana kebiasaannya adalah jelas sama ada pembeli itu di bawah umur.”

 

“Walaubagaimanapun, dengan pengharaman larangan jualan kepada sesiapa dilahirkan selepas 2005, peruncit perlu memeriksa tarikh lahir termasuklah ke atas golongan dewasa,” jelas Hong.

 

“Kami bimbang dengan beban dan tanggungjawabyang akan dikenakan ke atas anggota kami. Tugas untuk memeriksa akan jatuh kepada peruncit. Mereka perlu memeriksa tarikh lahir setiap pembeli dewasa untuk memastikan sama ada mereka lahir sebelum atau selepas 2005. Selain itu, transaksi akan mengambil masa yang lebih lama dan boleh menyebabkan perbalahan dengan pembeli,” tambah Hong.

 

“Jika Kementerian Kesihatan berhasrat untuk menghentikan orang ramai daripada merokok, tindakan pertama adalah menghentikan jualan rokok seludup.

 

"Kementerian Kesihatan perlu meningkatkan penguatkuasaan dengan kuasa khas mereka di bahawa Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 sebelum memperkenalkan polisi baru yang akan membebankan perniagaan yang sah dan seterusnya meningkatkan lagi perdagangan rokok seludup di Malaysia,” kata Hong. - DagangNews.com