Datuk Seri Vida buat `due diligence' sebelum taja Perak FC | DagangNews Skip to main content

Datuk Seri Vida buat `due diligence' sebelum taja Perak FC

 

IPOH 21 Mei - Setelah menimba pengalaman menaja pasukan bola sepak Kelantan beberapa musim yang lalu, jutawan kosmetik Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman mengejutkan peminat bola sepak tempatan bila dilaporkan `sedang melakukan usaha wajar atau due diligence' ke atas Perak FC.

 

Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida adalah anak kelahiran Kelantan, namun sudah lama menetap di Perak itu, berpengalaman menaja The Red Warriors (TRW) pada musim 2015 dan 2016.

 

``Pengalaman itu sudah cukup mematangkan saya untuk lebih peka dan bersedia jika ingin melabur dalam mana-mana pasukan bola sepak negeri pada masa akan datang.

 

“Perniagaan bola agak berisiko. Bola sepak ini bermusim. Kalau ada sokongan, tidak semestinya ada pulangan dari segi pembelian jersi dan cenderahati lain. Ada orang suka bola sepak, memberi sokongan tetapi dia bukan kaki membeli apa yang kita jual atau tawarkan,” katanya kepada Bernama di Ipoh, baru-baru ini.

 

Beliau turut menarik perhatian, tiada gunanya jika pelaburan dibuat namun hasilnya tidak mencapai sasaran yang dihasratkan dan sekadar untuk mendapatkan penaja semata-mata.

 

Justeru, kesemua faktor itu perlu dikaji terlebih dahulu sebelum sebarang kata putus berbentuk hitam putih dapat dinoktahkan untuk memiliki pasukan The Bos Gaurus yang kini masih belum mempunyai ketua pegawai eksekutif sejak peletakan jawatan Rizal Ali Naizali pada 10 Mei lepas.

 

Vida antara beberapa nama dicadangkan penyokong The Bos Gaurus untuk menerajui Perak FC selain bekas Menteri Besar yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; bekas Presiden Pafa Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan bekas pengurus Perak FA Datuk Jamal Nasir Rasdi.

 

Datuk Seri Vida berkata, due diligence itu penting kerana ia melibatkan pelbagai perbelanjaan besar antaranya membabitkan gaji pemain sekali gus memerlukan pelaburan yang bijak untuk mewujudkan situasi menang-menang.

 

“Saya masih mengkaji perbelanjaan overhead, maintainance, apa yang perlu disewa beli, gaji pemain, siapa (pemain) yang sesuai untuk digilap bakatnya dan pelbagai perkara lain perlu ditanggung. Faktor kehadiran penyokong juga perlu diambil kira.

 

“Jadi kesemua ini memerlukan pelaburan bijak yang mungkin kita boleh lihat hasil sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun jika ingin memastikan ia benar-benar berbaloi,” katanya. - DagangNews.com