Skip to main content

Deklarasi Kuala Lumpur 2020 tekad pulihkan impak COVID-19

Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan ucapan dalam Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM).

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Seluruh negara anggota ekonomi Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bersepakat dan bertekad untuk terus menjalin kerjasama dalam memulihkan Asia Pasifik daripada wabak COVID-19 dan impaknya kepada ekonomi.

 

Dalam laporan penuh Deklarasi Kuala Lumpur 2020 itu, ekonomi APEC menanam tekad untuk membawa rantau berkenaan ke arah pemulihan dan pertumbuhan ekonomi yang kuat, seimbang, inklusif, lestari, inovatif dan kukuh.

 

"Keselarasan tindakan dan kerjasama kita adalah lebih penting berbanding sebelum ini dalam mengatasi cabaran COVID-19 serta merialisasi dan mencipta peluang untuk kemakmuran sejagat.

 

"Kami telah menyelaraskan usaha kami mengikut keutamaan iaitu meningkatkan naratif perdagangan dan pelaburan; penyertaan ekonomi inklusif menerusi ekonomi digital dan teknologi serta memacu kelestarian inovatif," jelas deklarasi berkenaan hasil persepakatan ekonomi APEC selepas Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) malam tadi.

 

Dalam aspek memerangi dan mengurangkan kesan pandemik COVID-19, deklarasi berkenaan menekankan kerjasama untuk menggunakan kesemua dasar yang sedia ada dalam menyokong tindak balas yang inklusif, berkesan dan berterusan terhadap COVID-19 sekali gus meminimumkan kesannya terhadap kehidupan masyarakat.

 

APEC 2020

 

Dalam penyeliaan pemulihan ekonomi, deklarasi tersebut memberi penekanan terhadap kepentingan untuk meningkatkan kemampanan fiskal dan ketelusan dalam menyokong ketahanan pertumbuhan ekonomi jangka panjang dan keperluan pembiayaan masa hadapan.

 

"Kami mengakui bahawa perlunya sokongan pembangunan ekonomi dalam memerangi COVID-19. Kami juga mengalu-alukan penubuhan platform digital terkini untuk menyelaraskan perkongsian maklumat tindak balas dasar berkaitan COVID-19.

 

"Kami memuji kepelbagaian usaha dan sokongan berterusan selain menyumbang sumber tambahan ke seluruh rantau APEC untuk memerangi wabak dan menyokong pekerja-pekerja dan sektor-sektor melalui proses pemulihan ekonomi," tambah deklarasi itu lagi.

 

Menyentuh keutamaan dalam meningkatkan naratif perdagangan dan pelaburan, deklarasi itu menyatakan keperluan yang lebih tinggi dalam mendorong persekitaran perdagangan dan pelaburan di rantau tersebut.

 

"Kami menyedari pentingnya persekitaran perdagangan dan pelaburan bebas, terbuka, adil, tanpa diskriminasi, telus dan dijangka untuk mendorong pemulihan ekonomi dalam tempoh mencabar.

 

"Dalam hal ini, kami menegaskan kembali sokongan kami terhadap peraturan yang disepakati Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dalam menggalakkan aliran perdagangan antarabangsa," ujar deklarasi itu.

 

Deklarasi Kuala Lumpur 2020 turut menggariskan dua keutamaan lain iaitu penyertaan ekonomi yang inklusif melalui ekonomi digital dan teknologi serta memacu kelestarian inovatif. - DagangNews.com
 

APEC 2020