DelyvaNow sediakan khidmat hantar untuk perusahaan mikro, kecil & sederhana | DagangNews Skip to main content

DelyvaNow sediakan khidmat hantar untuk perusahaan mikro, kecil & sederhana

Hanif Wahid, CEO dan pengasas Delyva menunjukkan aplikasi DelyvaNow.
 

PETALING JAYA 31 Mei – Delyva Sdn. Bhd. hari ini melancarkan aplikasi mudah alih DelyvaNow yang berfungsi sebagai platform tempahan perkhidmatan penghantaran bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

 

Aplikasi yang membolehkan pengguna menempah, mengurus, dan diberitahu status tempahan penghantaran di mana-mana sahaja itu ditawarkan untuk telefon berasaskan Android dan iOs.

 

Delyva juga mengumumkan kerjasama dengan GrabExpress, Bungkusit, Janio, J&T Express, MrSpeedy, Ninja Van Malaysia, Lalamove, pandago dan Teleport. Perkhidmatan rakan-rakan kongsi baharu ini sudah boleh didapati dalam aplikasi mudah alih DelyvaNow kecuali Janio, pandago dan Teleport yang akan ditawarkan mulai Julai.

 

Hanif Wahid, CEO dan pengasas Delyva berkata, “Sebelum ini, pelanggan kami hanya boleh menempah menggunakan aplikasi web. Kami teruja aplikasi mudah alih DelyvaNow kini tiba untuk memberikan kemudahan dan pengalaman lebih baik kepada pengguna.”

 

Bungkusit, GrabExpress, Lalamove, MrSpeedy, dan pandago menyediakan perkhidmatan penghantaran segera; J&T Express dan Ninja Van Malaysia menyediakan perkhidmatan kiriman cepat dalam negeri, Janio menyediakan perkhidmatan penghantaran antarabangsa, dan Teleport pula menyediakan perkhidmatan penghantaran segera, kiriman cepat dalam negeri, dan penghantaran antarabangsa.  

 

“Pengguna bukan sahaja mempunyai pilihan perkhidmatan kiriman cepat dalam negeri tetapi juga pilihan perkhidmatan penghantaran segera – 5 penyedia perkhidmatan sekarang dan dua lagi pada Julai.

 

"Jika mereka berada di Ipoh, Lembah Klang, Johor Bahru, Melaka atau Pulau Pinang, mereka kini dapat memilih antara lebih daripada satu perkhidmatan penghantaran segera melalui aplikasi mudah alih DelyvaNow.

 

"Ini berguna kerana mereka dapat membandingkan kadar penghantaran dan memilih penyedia perkhidmatan yang terbaik mengikut keperluan mereka; semuanya dengan menggunakan satu aplikasi dan akaun,” jelas Hanif.

 

Beliau menyambung, “Bayangkan, dalam keadaan penyedia perkhidmatan tiba-tiba tiada pada saat-saat terakhir, pengguna dapat segera memilih penyedia perkhidmatan yang lain menggunakan aplikasi kami. Jadi, perniagaan tidak akan terganggu dan pelanggan menerima tempahan pada masanya.”

 

Sebelum adanya 9 rakan kongsi baharu ini, Delyva sudah mempunyai Aramex, AsiaXpress, CJ Logistics, DHL eCommerce, FGV Transport, Matdespatch, Pos Laju, dan Pos Flexiprepaid dalam platform tempahan penghantarannya. Delyva terus mencari rakan-rakan kongsi baharu.

 

DelyvaNow ialah platform tempahan dalam talian untuk perkhidmatan penghantaran bagi PMKS. Pengguna dapat membandingkan kadar dan memilih perkhidmatan yang memenuhi keperluan mereka.

 

Aplikasi membantu pengguna menjimatkan masa dan wang serentak bagi perkhidmatan kiriman cepat ke destinasi tempatan dan antarabangsa. Selain penghantaran bungkusan, DelyvaNow juga menawarkan PosMoto, perkhidmatan mengangkut motosikal rumah ke rumah dalam Semenanjung Malaysia.

Delyva, diasaskan pada 2019, dan orang ramai boleh melayari www.delyva.com untuk maklumat lanjut.  - DagangNews.com