DFI perlu beri sokongan segera kepada perniagaan elak impak ekonomi jangka panjang - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

DFI perlu beri sokongan segera kepada perniagaan elak impak ekonomi jangka panjang - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul Abdul Aziz

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Institusi kewangan pembangunan atau Development Financial Institution (DFI) perlu memberi sokongan segera kepada perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro sebagai langkah menyokong usaha pemulihan ekonomi negara. 

 

Sehubungan itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyarankan supaya DFI merangka penyelesaian yang praktikal buat sektor perniagaan untuk membolehkan mereka kembali pulih dan beroperasi secepat mungkin. 

 

Katanya, ini termasuk saranan seperti penggunaan kriteria pembiayaan yang kurang membebankan.

 

"Dalam merangka strategi pemulihan ekonomi negara, Kementerian Kewangan berpandangan bahawa DFI memainkan peranan yang strategik dan penting dalam usaha negara untuk memulih dan memelihara kapasiti perniagaan yang menyediakan pelbagai peluang pekerjaan dan menyokong kehidupan rakyat Malaysia.

 

“Sokongan segera - contohnya dari segi pembiayaan - perlu diberi bagi menghindari impak ekonomi jangka panjang terutamanya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana di dalam sektor-sektor strategik termasuk sektor pelancongan, peruncitan, pertanian, infrastruktur, maritim, eksport serta industri berteknologi tinggi dan bermodal intensif,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Ujar beliau lagi, cadangan penyelesaian itu juga akan dipertimbangkan di dalam Belanjawan 2022.

 

Sejajar dengan semangat #KeluargaMalaysia, Tengku Zafrul menyarankan agar DFI memberi sokongan penuh kepada negara di dalam tempoh pemulihan ini. 

 

Ini terutamanya apabila objektif DFI adalah untuk membantu membangunkan sosio ekonomi rakyat. - DagangNews.com