Di Bumi. Di Samudera. Di Kayangan - Impian Dunia Melayu jadi kenyataan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 3 October 2022

DI BUMI. DI SAMUDERA. DI KAYANGAN.

IMPIAN DUNIA MELAYU JADI KENYATAAN

 

 

PADA tahun ini, akhirnya tercapai cita-cita untuk melihat Hikayat Melayu mengilhamkan pelbagai pementasan  dan penataan seni.

 

Ini satu permulaan dan diharap lebih ramai akan memberikan sokongan dan merapatkan orang ramai kepada pertunjukan seni dan budaya berdasarkan Hikayat Melayu sebagai hiburan untuk orang ramai dan tarikan pelancongan bercirikan budaya Melayu.

 

Mari kita lihat beberapa pementasan begitu baik di Kuala Lumpur bulan ini.

 

Pertama, RATU KUNING, LANGKASUKA dipentaskan di Istana Budaya sebagai satu persembahan dramatari.

 

Sudah lama kita tidak melihat dramatari dipentaskan dan ini satu olahan yang begitu berani.

 

Selama ini, sejak dua puluh tahun yang lampau, kita lebih biasa dengan persembahan muzikal atau bangsawan.

 

Namun, Adiguru Tharuwat Ismail Bakti, seorang tokoh yang pernah membawa dramatari Malaysia ke serata dunia pada zaman 1970an dan 1980an pernah mengatakan, drama tari, seperti tarian balet, adalah ‘universal’ dan mudah difahami di mana-mana kerana persembahannya tidak menggunakan dialog dan skrip. Ia berlandaskan kekuatan lakonan dan tarian. Oleh itu, dramatari Ratu Kuning memang hebat.
 

 

hikayat

 


Promosi Ratu Kuning juga luar biasa – syabas Istana Budaya dan Pengarah baru IB, Zubaidah Mokhtar. Beberapa poster dan adegan ‘suspen’ menarik minat di media sosial.

 

Penceritaan  dramatari ini berlatarbelakangkan sastera lama Hikayat Patani dan Syair Dang Sirat.

 

Syair ini  begitu indah dan sebelum ini saya mendapat perkongsian tentang Syair Dang Sirat dari Puan Zaharah Othman yang mengkaji syair ini sebagai Tesis Sarjananya di London dan diberi perhatian Dr Viktor Braginsky dari Rusia.

 

Promosi Istana Budaya berbunyi, “Sebuah Hikayat KISAH CINTA AGUNG Di Antara Keturunan Raja Sri Wangsa (Patani), RATU KUNING Dan YANG DIPERTUAN MUDA JOHOR.

 

Kesucian Bahtera Perkahwinan Yang Terbina Diduga Dengan Hasad Dan Muslihat, Hanyut Diperdaya DANG SIRAT. Demi Darjat, Onar Ditabur Sihir Durjana Meraih Kasih Yang Dipertuan Muda...”

 

Bulan ini pula kita melihat Hand Percussions Malaysia menggegarkan pentas dengan persembahan pelbagai kumpulan seperti Baizam Generation | Dhol Ambassadors | Gangsapura | Orang Orang Drum Theatre | 灵魂震 Souls Impact | Tyffin Box | Ziya Tabassian | HANDS Percussion Malaysia Team 1 & Team 2 | Gamelan Yuganada | 朱宗慶打擊樂團 / Ju Percussion Group dan lain-lain lagi dari 6 hingga 9 Oktober 2022 di Istana Budaya yang kembali menyerlah setelah begitu lama pandemik.

 

Bangga melihat kumpulan Gangsapura yang diketuai Teuku Umar Ilany memartabatkan gamelan Melayu di pentas yang begitu besar ini.


 

parafrasa

 


Pementasan muzik kontemporari pelbagai etnik ini masih mementingkan kehadiran warisan budaya seperti gamelan kerana budaya muzik dan bunyi-bunyian itu juga telah lama wujud dalam hikayat lama seperti Panji Semirang dan Hikayat Malim Deman.

 

Kehadiran Gangsapura di pentas ini membuktikan kepentingan budaya Melayu ke pentas antarabangsa.

 

HARAPAN DARI HIKAYAT KE PENTAS DUNIA

 

“Keindahan Seni Melayu. Seni dalam pakaian. Seni dalam bahasa. Seni dalam lantunan. Inilah garapan yang industri kreatif mahukan. Persembahan sempena pelancaran "Hikayat Fandom, Art, Books & Cultural Showcase" oleh Ninot Aziz dengan sokongan Yayasan Hasanah sempena ArtFAS…”

Noor Azmi Mat Said
Pengerusi, MyCreative Ventures

 

Kehadiran dan sokongan bzBee Consult sebagai tempat saya bernaung membolehkan saya terus bergiat mempromosi dan menyumbang kepada dunia seni dan budaya.


 

hikayat

 


Tahun ini saja, bzBee Consult terus aktif dalam penghasilan filem TUN FATIMAH – THE REBEL QUEEN dan juga merupakan tenaga di belakang usaha gigih melancarkan HIKAYAT FANDOM ART BOOKS & CULTURE dengan 4 pementasan khas berdasarkan novel grafik Puteri Saadong, Seri Gumum, Lagenda Bidasari dan Bentala Naga.

 

Ini secara tidak langsung membenarkan saya menggapai dua sasaran melalui satu persembahan selama 40 minit bermula dengan pengenalan oleh Zahari Hamzah, penggiat teater dengan begitu mendalami watak penglipur lara Bo, dari Legenda Bidasari.

 

Puteri Saadong dipersembahkan melalui Wayang Kulit, Bentala Naga melalui pementasan Makyung oleh tokoh Makyung hebat Fatimah Abdullah, Rosnan Rahman, dan Nurhanizah Mohd Sedik.

 

Legenda Bidasari pula memaparkan penghayatan syair oleh Dr Shafa’atussara, johan syair yang tidak asing lagi. Seri Gumum pula dipentaskan melalui dramatari yang sangat baik berdasarkan kisah dalam novel grafik.

 

Semua ini tidak akan terjadi jika saya tidak diperkenalkan pada budaya dunia Melayu sejak kecil lagi.


 

hikayat

 


Pengenalan pertama saya kepada Dunia Melayu, lagenda dan tariannya yang indah adalah ketika saya berumur lapan tahun.

 

Saya terpilih untuk menyertai produksi teater sekolah Assunta Convent Kuantan yang bertajuk Puteri Saadong. Saya adalah salah seorang penari dan dayang istana, dan Nik Harizan Nik Hasan, berkulit cerah dan berambut panjang yang cantik sebagai Puteri Saadong. Segala-galanya tentang teater terasa ajaib dan indah.

 

Saya secara semula jadi tertarik untuk mempromosikan budaya Melayu sepanjang alam sebai pelajar dan kemudiannya di alam bekerja.

 

Saya begitu terpanggil untuk berkongsi wayang kulit, gamelan yang merdu, wau yang hebat dengan rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat.

 

Mungkin sudah ditakdirkan, kerana sepanjang hidup saya sejak saya membaca cerita rakyat kita, warisan Melayu, sejarah dan hikayat serta warisan budaya begitu rapat dengan saya.

 

Apabila menceburi dunia pekerjaan, majikan saya Gina Yeo meminta saya untuk mengenali semua pengamal budaya di bandar - daripada pembuat batik, kepada pengukir kayu, artis seni tembaga, pembuat ‘chang’, dan berbagai seni lagi membawa mereka ke Melawati Country Club agar ahli-ahli dapat menghayati warisan budaya.

 

Di sini jugalah saya giat memperkenalkan zapin, endang dan gamelan serta congkak pada warga kelab dengan tunjuk ajar dari Kompleks Budaya Nasional pada masa itu.


 

hikayat

 


Semangat ini benar-benar berkembang apabila, saya bekerja di Royal Lake Club. Saya menganjurkan Sovereign Banquet dengan penuh istiadat pada tahun 1996  - Presiden pada masa itu Datuk M Feisol Hassan meminta saya mencari persembahan makyong.

 

Ketika itulah saya bertemu Allahyarham Khatijah Awang, Diva Makyong dan kami membuat persembahan makyong diRaja - dengan 14 penari dan 10 pemuzik, termasuk Adiguru Pak Nasir dan Makyung Primadona hari ini, Fatimah Abdullah.

 

Peristiwa inilah yang mengubah hidup saya.

 

Saya berazam dari saat itu untuk berkongsi Dunia Melayu yang saya cintai dengan dunia.

 

Dalam artikel Mayor For The Day, TIMEOUT KLTime, saya menyuarakan impian bahawa Malaysia memerlukan Hab di mana seni dan persembahan tradisional Melayu akan dipamerkan setiap malam 365 hari setahun. Pelancong yang datang ke Malaysia mesti menonton persembahan Malaysia ini.


 

hikayat

 


Apabila saya berkhidmat di Kelab Golf Diraja Selangor pada masa itu, terdapat hartanah yang luas mengelilingi Kelab Golf - dan saya mula impikan HUB Dunia Melayu ini.

 

Saya merancang kewujudan The Malay Arts, Recreation and Cultural HUB iaitu The Malay ARCH. Dalam masa yang sama, saya mencadangkan Festival Bercerita Antarabangsa di Gua Musang kepada JKKN.

 

Membayangkan Makyung dan Wayang Kulit berlatarbelakangkan Gua Musang yang begitu misteri dan gah dengan penataan cahaya.


 

hikayat

 


Harapan saya semua usaha ini akan menjadi kenyataan.

 

Kerana Dunia Melayu itu Unik. Klasik. Dunia Melayu, dan segala keindahannya, perlu dipamerkan kepada dunia. – DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA
Portfolio Tags