Di sebalik prospek positif Favelle Favco, MIDF Research semak turun untung bersih FY21-FY22 | DagangNews Skip to main content

Di sebalik prospek positif Favelle Favco, MIDF Research semak turun untung bersih FY21-FY22

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 25 Nov - MIDF Research menyemak turun unjuran untung bersih Favelle Favco Bhd. bagi tahun kewangan 2021 (FY21) sebanyak 24% berikutan prestasi kewangan yang kurang memuaskan bagi tempoh 9 bulan berakhir 30 September 2021. 

 

Malah, dalam nota kajian hari ini, firma itu juga menurunkan unjuran untung bersih bagi FY22 sebanyak 26%. 

 

"Di sebalik merekodkan pendapatan yang positif pada suku ketiga berakhir 30 September 2021, kumpulan masih berdepan risiko antaranya, tempahan yang perlahan dan penangguhan jadual disebabkan terdapat kemungkinan tercetusnya gelombang baharu COVID-19," katanya. 

 

Untung bersih Favelle Favco meningkat kepada RM10.4 juta pada suku ketiga berbanding RM4.1 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Bagaimanapun, berdasarkan suku tahun berturut-turut, untung bersihnya menyusut sebanyak 23.3% bagi suku ke suku.

 

Pendapatan bagi suku ketiga juga meningkat 4% kepada RM136 juta tetapi susut 11.4% bagi perbandingan suku ke suku kepada RM135.6 juta. 

 

Sebaliknya, pendapatan bagi tempoh kumulatif 9 bulan berakhir 30 September 2021 meningkat 10.3% kepada RM410.8 juta.

 

"Bagi tempoh itu, untung bersih meningkat 51.6% kepada 38.5 juta, tetapi masih di bawah anggaran penuh tahun kami," jelasnya. 

 

MIDF Research bagaimanapun mengulangi saranan 'beli' terhadap Favelle Favco dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.72 di sebalik semakan semula unjuran untung bersih yang lebih rendah. 

 

Firma itu yakin perolehan kontrak kumpulan akan membantu kumpulan mengekalkan untung bersihnya apabila memasuki FY22. 

 

"Kami berpendapatan harga minyak mentah semasa dalam pasaran minyak dan gas mempunyai potensi untuk meningkatkan permintaan kren luar pesisir dan limbungan kapal bagi membantu dalam peringkat penerokaan dan pembangunan sekali gus mengukuhkan nilai pesanan kumpulan. 

 

"Sehubungan itu, kami mengekalkan pandangan positif terhadap Favelle Favco berikutan kedudukan nilai pesanan yang kukuh, jumlah jualan lebih tinggi dan automasi serba lengkap dan usaha peralihan tenaga sebagai sumbangan ke arah kemampanan," jelasnya.

 

Setakat 11.27 pagi ini, harga sahamnya kekal tidak berubah pada RM2.36 sesaham. - DagangNews.com