Di sebalik prospek positif, penganalisis kekalkan saranan ‘neutral’ dan ‘pegang’ saham CIMB | DagangNews Skip to main content

Di sebalik prospek positif, penganalisis kekalkan saranan ‘neutral’ dan ‘pegang’ saham CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Walaupun PublicInvest Research optimis terhadap prospek jangka panjang CIMB Group Holdings Berhad, namun firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan 'neutral' ke atas saham kumpulan. 

 

Penarafan itu dibuat setelah mengambil kira lonjakan terhad terhadap harga sasaran (TP) yang ditetapkan oleh PublicInvest, di mana ketika ini berada pada kadar RM5.10, jelas penganalisisnya, Ching Weng Jin. 

 

Sebagai rekod, CIMB mengumumkan bahawa bank itu komited untuk memperkukuh komitmen kelestariannya termasuk sasaran kewangan lestari sehingga RM30 bilion menjelang tahun 2024. 

 

“Kumpulan telah melakar inisiatif kelestarian yang baik sejak memulakan perjalanan tersebut pada tahun 2019. 

 

“Aspek yang semakin penting dalam penilaian pelabur dan pertimbangan pelaburan, kami optimis bahawa kumpulan akan memenuhi matlamat jangka pendek 2024 berdasarkan tekad pengurusan,” kata Weng Jin dalam satu nota penyelidikan hari ini.

 

Baca : CIMB sasar kewangan lestari RM30 bilion menjelang 2024

 

Senada itu, penganalisis di HLIBResearch, Chan Jit Hoong mengekalkan saranan ‘pegang’ ke atas CIMB berdasarkan output pulangan ekuiti (ROE) yang menyakskan 1 mata peratusan lebih rendah daripada purata sejarah dan industri.

 

Walaupun CIMB diberikan skor Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) yang sederhana, namun Jit Hoong percaya bank itu akan mencatatkan gred lebih baik dalam semakan seterusnya berdasarkan komitmen kumpulan dalam aspek kelestarian. 

 

“Dalam pada itu, kami juga melihat CIMB mencatatkan peningkatan stabil dari segi kedudukan mereka dalam indeks dan penanda aras kelestarian. 

 

“Namun, harga sahamnya telah berprestasi kukuh setakat ini. Kami lebih memilih saham perbankan yang mempunyai penilaian lebih rendah, ketinggalan dan beta rendah (di mana mempunyai pemacu pertumbuhan pemulihan sama) seperti Malayan Banking Berhad (Maybank) dan Public Bank Berhad, memandangkan mereka kedua-duanya menawarkan peluang ganjaran risiko lebih baik,” jelas beliau. 

 

Setakat 10.27 pagi, harga saham CIMB menokok 3 sen kepada RM4.83. - DagangNews.com