Diarah segera kecualikan bayaran faedah, saham perbankan alami kerugian | DagangNews Skip to main content

Diarah segera kecualikan bayaran faedah, saham perbankan alami kerugian

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Kebanyakan saham perbankan diniagakan rugi dalam dagangan hari ini sekali gus mengheret turun indeks utama FBM KLCI untuk ditutup lebih rendah. 

 

Ini susulan kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengarahkan institusi perbankan untuk mengusahakan pengecualian bayaran faedah bagi penerima moratorium pinjaman bank dengan segera.

 

Ia membabitkan penerima moratorium dari kumpulan 50% terbawah daripada keseluruhan rakyat Malaysia untuk sepanjang tempoh 3 bulan pada suku keempat 2021. 

 

Kerajaan mengumumkan pakej bantuan moratorium automatik pinjaman selama 6 bulan kepada semua peminjam individu tanpa syarat termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

 

 

Baca : MOF arah institusi perbankan segera kecualikan bayaran faedah penerima moratorium

 

 

Dalam kalangan saham perbankan, Hong Leong Bank Bhd. mendahului dagangan dengan susut 34 sen kepada RM18.46 diikuti Hong Leong Financial Group Bhd. susut 24 sen kepada RM18.30.

 

Turut ditutup rendah termasuklah RHB Bank Bhd., susut 12 sen kepada RM5.35, AMMB Holdings Bhd. susut 12 sen kepada RM3.13, Public Bank susut 6 sen kepada RM4 dan Alliance Bank Malaysia Bhd susut 3 sen kepada RM2.53. 

 

Sementara itu, CIMB Group Holdings Bhd. juga susut 6 sen kepada RM4.78 diikuti Affin Bank Bhd. susut 1 sen kepada RM1.70 dan Malayan Banking Bhd. (Maybank) susut 1 sen kepada RM8.29.

 

Sebaliknya, BIMB Holdings Bhd. diniagakan tidak berubah pada RM3.98 ketika penutupan petang ini. 

 

KLCI petang ini mengakhiri dagangan pada 1,555.51 mata setelah menyusut 14.62 mata atau 0.93% dengan 4.65 bilion saham diniagakan bernilai RM3.01 bilion. 

 

Keseluruhan pasaran juga negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung pada 715 berbanding 339 manakala 424 tidak berubah dan 789 tidak diniagakan. 

 

Bagi kaunter aktif, kebanyakan saham mencatat kerugian antaranya, Kanger International Bhd. susut 0.05 sen kepada 5.5 sen diikuti KNM Group Bhd. susut 1 sen kepada 27 sen. 

 

Saham Avillion Bhd. juga mengalami kerugian dengan menyusut 1 sen kepada 14.5 sen dan Serba Dinamik Holdings Bhd. juga ditutup rendah 1 sen kepada 36 sen. 

 

Dagangan kaunter untung pula didahului dengan saham Nestle (Malaysia) Bhd. menokok 80 sen kepada RM134.80, sebaliknya, saham Kuala Lumpur Kepong Bhd. mendahului kaunter rugi susut 42 sen kepada RM20.42.

 

Sementara itu, Reuters melaporkan, pasaran saham Asia diniagakan bercampur-campur dengan dolar Amerika Syarikat (AS) dilihat stabil kerana pelabur menantikan data inflasi AS yang akan menjadi petunjuk kepada sejauh mana kedudukan ekonomi terbesar dunia itu, dan tempoh masa Rizab Persekutuan AS mula mengurangkan langkah rangsangannya. 

 

Bagi pasaran kewangan, ringgit petang ini ditutup pada RM4.1530/1560 berbanding dolar AS, lebih rendah daripada penutupan semalam pada RM4.1490/1515. - DagangNews.com