Skip to main content

Dicemuh tapi kerjaya politik tetap jadi idaman ramai

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

MEMBACA laporan mengenai senarai calon bertanding di dalam pilihan raya negeri Sabah, pasti menyegarkan mata anda. Segala macam rekod tercipta. Pertembungan enam penjuru, bermaksud enam orang menawarkan diri untuk diundi, berlaku di 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Satu lagi rekod, 11 orang bertanding merebut 1 kerusi DUN. Ini proses demokrasi. Kita tidak boleh marah. Benarkan rakyat membuat pilihan.

Konvensyen pilihan raya lazimnya pertembungan dua kumpulan perikatan parti besar iaitu parti-parti yang membentuk kerajaan semasa yang dilawan gabungan parti-parti pembangkang. Jelas dalam konteks begitu ramainya calon di sesuatu DUN, ada kalangan individu tampil sebagai calon bebas.

Daripada kaca mata pihak berkecuali dan menganalisis mengikut kaedah Merrepak, perkembangan di Sabah pada hari penamaan calon 12 September 2020 membuktikan bahawa walaupun ramai suka mencemuh ahli politik tetapi ia langsung tidak mengurangkan minat orang untuk berkecimpung di dalam bidang ini.

Zaman milenial bersenjata media sosial akan memperoleh tular yang berganda bila memperkatakan tentang apa sahaja melibatkan ahli politik, dasar yang dilaksanakan, petikan ucapan, malah tingkah laku anak bini/suami sekali turut menjadi bahan.

Biasanya bila sedemikian teruk dinilai dan diteliti di media sosial oleh generasi muda sekarang, kita beranggapan ramailah akan mengelak untuk sertai. Mungkin jika ia melibatkan pekerjaan tertentu seperti pengkritik nyanyian atau penasihat media kepada kerajaan.

Tetapi kerjaya ahli politik nampaknya kalis peluru. Katalah apa saja, cemuhlah atau belasah, orang tetap mengidam menjadi ahli politik. Kerana kerjaya ahli politik ini difahami ringkas sebagai `orang berkuasa’ yang boleh merubah naik atau baik orang-orang yang bernaung di bawahnya.

Walaupun dari semasa ke semasa akan terpampang berita mengenai ahli politik itu, ini ditahan kerana disyaki menyeleweng atau rasuah, tiada siapa menganggap kerjaya politik ini sesuatu yang harus dijauhi. Mereka ditahan sebab disyaki buat salah. Tidak semua ahli politik itu kotor, mungkin itu bisikan di telinga mereka.

Secara logiknya, kewujudan entiti seperti SPRM adalah bertujuan memastikan ahli politik tidak menyalahguna kuasa dan wang. Mungkin inilah sebab tarikan sebagai ahli politik tetap besar di hati ramai orang.

Persoalan mengenai entiti penguatkuasaan seperti SPRM ini pula tidak terlepas daripada kritikan. Semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, seorang daripada pemimpin parti dilantik sebagai pesuruhjaya. Dia dilihat berperanan memburu dan membongkar satu demi satu ahli politik lawan.

Bila kerajaan itu lenyap pada Februari lalu atas keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri, kerajaan baharu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik ketua SPRM dalam kalangan SPRM, sekali gus memastikan integriti SPRM dikembalikan kerana tidak diketuai oleh ahli parti tertentu.

Kembali kepada topik pekerjaan ahli politik yang terus menjadi idaman ramai, berikut diperturunkan jenis calon yang boleh anda nilaikan sendiri sama ada layak atau tidak untuk anda undi sebagai mewakili anda nanti, mengikut metodologi MERREPAK:
 

1. Calon Profesional
Bermaksud orang yang bukan ahli politik sepenuh masa tetapi merupakan profesional dalam bidang masing-masing, yang kemudiannya dinilai dari segi keupayaannya membawa kejayaan korporat atau pentadbiran, dan dijangka boleh memimpin parti ke arah serupa.

 

trump

RISIKO:
Tiada sokongan menyeluruh di peringkat akar umbi tetapi boleh menjana sokongan, cuma kena ambil masa. Sesetengah keputusan mungkin menjadi kemarahan kerana mirip kepada keputusan korporat. Jadi kena dapatkan nasihat dan pandangan daripada akar umbi juga.

 

2. Calon Bebas :
Ada pelbagai sebab seseorang bertanding Bebas iaitu tidak mendapat restu daripada parti asal atau dipecat atau parti baharu pun enggan menerima. Jadi kena lawan secara sendirian berhad. Ada juga apabila seseorang itu diletakkan sebagai calon kerana sekian lama bergerak atas nama pertubuhan bebas atau NGO.

 

aaa

RISIKO:
Tanpa sokongan mana-mana pihak, bermakna diri sendiri kena sediakan deposit pertandingan yang besar. Jadi, kalau undi terlalu kecil memang hangus wang pertaruhan.

 

3. Calon Kebas:
Istilah ini tidak disebut secara terang-terangan kerana ia bermaksud 'rampas’ orang lain punya mandat. Istilah ini biasanya dibicarakan oleh calon yang jadi mangsa iaitu individu yang telah dijangka dinamakan sebagai calon tetapi pada hari penamaan mendapati orang lain telah 'kebas’.

 

aaa

RISIKO:
Mungkin berlaku sabotaj daripada dalaman sebagai membalas dendam. Atau bila menang, tidak akan harmoni dengan perbalahan demi perbalahan tercetus setiap bulan. Contoh? Banyak.

 

4. Calon Diri Sendiri:
Ada mirip Calon Bebas tetapi dia dalam kategori tersendiri dan teristimewa kerana bergerak biasanya secara solo tanpa berpaksi kepada mana-mana parti dan tidak mengisytiharkan sokongan apa-apa kepada parti. Contoh ialah penulis Dare To Failed, Billi P. S. Lim yang bertanding di kerusi Parlimen Bukit Bintang pada 1999 dan 2004. Ramai melihat penyertaannya tidak lebih sebagai gimik kepada pemasaran bukunya. Buku Berani Untuk Gagal versi Bahasa Malaysia dilaporkan cukup laris ketika itu.

 

aaa

RISIKO:
Hendak kata orang seperti Billi itu terpencil, tidak boleh juga. Dari semasa ke semasa ada sahaja individu yang masuk gelanggang disebabkan tidak suka mana-mana parti. Semua tidak sebulu. Tubuh parti sendiri, tidak juga ke mana.

 

5. Calon Bidan Terjun:
Ada pelbagai definisi untuk menghuraikan istilah ini tetapi yang paling popular ialah bila pucuk pimpinan parti gagal menyelesaikan kemelut dalaman di sesuatu bahagian (kerana tidak mahu mengalah), lalu dipilih orang lain sebagai calon, untuk menjadi penyelesaian kepada pertikaian setempat.

Orang bidan terjun ini biasanya, bukan ahli politik pun. Tetapi dikira dapat diterima oleh pihak yang berebut sebagai kompromi.
 

aaa

RISIKO:
Sentiasa kena cermat dan berhati-hati dalam melaksanakan tugasnya. Ini kerana musuh politik bukan satu tapi kedua-dua pihak bertelagah yang sentiasa mencari kesilapannya bagi mengumpul bukti pilihan bidan terjun itu salah sama sekali.

 

6. Calon Payung Terjun:
Istilah ini dibenci kebanyakan ahli politik kerana mereka sebagai orang tempatan telah memberi khidmat bakti kepada masyarakat setempat sekian lama. Tiba masa pilihan raya, jasa bakti mereka tidak dinilai dan orang lain pula diisytiharkan sebagai calon. Samalah ibarat orang lain semai padi, gagak pula yang meraih hasilnya.

 

aaa

RISIKO:
Sama seperti risiko calon bidan terjun, jika berlaku perubahan pucuk pimpinan, kedudukannya pun akan berubah sebab dia dipilih jadi payung terjun oleh pucuk pimpinan lama.

7. Calon Selebriti:
Kebanyakannya bertaraf artis senja kala, yang semasa muda tidak minat berpolitik tetapi setelah mendapati makin kurang menerima undangan menyanyi atau berlakon, mula menyalahkan orang lain dan mendapati menjadi penceramah di pentas politik pun tidak kurang mewah berbanding pentas nyanyian. Oleh sebab yakin orang ramai datang semata-mata kerana populariti diri, maka pucuk pimpinan parti yakin untuk menjadikannya calon bertanding.

bbb

RISIKO:
Pucuk pimpinan bukan memilih golongan ini berdasarkan undi SMS. Mereka pun arif. Artis hendak lawan ahli politik sejati? Tipis peluang. Jadi mereka letakkan selebriti di kerusi-kerusi yang mereka sendiri tahu, susah nak menang. Kalah tidak mengapa, menang itu bonus.

 

8. Calon Langkah:
Anda kena tambah nama tempat di belakang 'Langkah...’. Misalnya, jika berlaku di Parit, ia menjadi 'Langkah Parit’. (Ini contoh sahaja. Tiada kejadian langkah melangkah di Parit).

Mengikut sejarah, makna calon 'langkah' ini ialah seseorang penyandang kerusi, meletak jawatan di pertengahan penggal dengan tujuan memberi peluang kepada orang lain bertanding di situ. Ini dengan keyakinan pengundi asal akan turut mengundi orang yang baru melangkah itu.

Tetapi sejarah juga mencatatkan aktiviti langkah melangkah ini berakhir dengan 'langkah sumbang’ atau lebih menyedihkan 'langkah terbantut’ kerana walaupun orang baru itu menang tetapi tidak dapat meraih jawatan yang diidamkan.
 

ddd

RISIKO: Pasti menjadi kes kajian pelajar sains politik di mana-mana universiti kerana keunikan kes itu dan penamatnya yang cukup aneh.

 

9. Calon Katak:

Mereka ini biasanya boleh dikenal pasti mudah, sebab ada rekod. Dari Perlis hingga ke Sabah, banyak kes seumpamanya. Ada yang menggesa agar diadakan undang-undang khusus bagi mengharamkan wakil rakyat daripada melompat parti. Masalahnya, yang bising bersuara adalah daripada kelompok yang sama menerima kemasukan wakil rakyat lompat semasa mereka hendak berkuasa dulu.

Jadi, bagaimana hendak mendapat keyakinan rakyat untuk menyokong undang-undang sedemikian? Lagi pun, jika perbuatan melompat itu membantu menguburkan kerajaan yang sarat dengan agenda membalas dendam, maka biar sahajalah orang melompat. Itu orang kata. Bukan saya.
 

ccc

RISIKO:
Ahli politik yang melakukannya hendaklah benar-benar yakin dia mempunyai sokongan padu War Lord parti. Jika tidak, mereka akan hanya melompat kosong. Tak faham tak apa. Yang utama, rakyat kena berani beritahu ahli politik bahawa rakyat menyampah dengan perbuatan melompat parti ini.

 

 
Merrepak adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu Andrea Bocelli berulang-ulang kali. Merrepak kini adalah ruangan tetap di dalam portal berita DagangNews.com.  Sebarang cadangan topik untuk bahan Merrepak, sila emel johardy@dagangnews.com