Skip to main content

AS digesa guna pakai agenda pelaburan, perdagangan lebih aktif dengan ASEAN - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berada di Washington bersama pemimpin ASEAN untuk menghadiri sidang kemuncak selama dua hari dengan Presiden AS, Joe Biden. - Gambar PMO

WASHINGTON D.C 13 Mei - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa Amerika Syarikat (AS) mengguna pakai agenda pelaburan dan perdagangan lebih aktif dengan ASEAN, yang sekali gus akan memberi manfaat kepada Washington daripada segi ekonomi dan strategik.

 

Perdana Menteri yang berada di Washington bersama pemimpin ASEAN untuk menghadiri sidang kemuncak selama dua hari dengan Presiden AS, Joe Biden, menjelaskan beberapa kekecewaan yang dirasai Asia selepas AS keluar daripada pakatan perdagangan serantau pada 2017 ketika bawah pentadbiran bekas Presiden, Donald Trump.

 

Beliau berkata, AS adalah rakan penting ASEAN sebagai pelabur langsung asing terbesar dan rakan dagang kedua terbesar, dengan perdagangan dua hala mencecah nilai AS$308.9 bilion pada 2020.

 

Beliau memberitahu sebuah forum perniagaan AS dan pemimpin ASEAN yang lain, pandemik COVID-19 telah menunjukkan dengan jelas kepentingan perdagangan antarabangsa, dan jalinan rantaian bekalan serantau.

 

"Oleh itu, AS harus mengamalkan agenda pelaburan dan perdagangan lebih aktif dengan ASEAN, yang akan memanfaatkan AS dari segi ekonomi serta strategik," katanya, di sini, semalam.

 

Ismail Sabri turut merujuk penguatkuasaan inisiatif Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) disokong China, yang dilihat ASEAN sebagai wadah penting untuk merancakkan aktiviti ekonomi dan perniagaan serantau melalui pengurangan ketara halangan perdagangan.

 

Beliau berkata, kira-kira 6,200 syarikat AS beroperasi di ASEAN, yang mana kebanyakannya menggunakan rantau itu sebagai platform pengeluaran untuk eksport serantau dan seterusnya, menurut Reuters.

 

 

pm

 

 

"Bagi memajukan pertumbuhan mereka, saya menggalakkan perniagaan AS untuk memanfaatkan FTA (perjanjian perdagangan bebas) terbesar, dengan pasaran meliputi 15 negara, terdiri daripada 2.3 bilion atau hampir satu pertiga daripada populasi global serta Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia, sekali gus memanfaatkan peluang pelaburan yang luas," katanya.

 

Pada sidang kemuncak secara maya bersama ASEAN, Oktober tahun lalu, Biden dilaporkan berkata, Washington akan memulakan perbincangan mengenai pembangunan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) untuk meningkatkan pembabitan dengan rantau itu. - DagangNews.com