Digi-Cisco tawarkan penyelesaian keselamatan siber 'DNS-layer' untuk PKS | DagangNews Skip to main content

Digi-Cisco tawarkan penyelesaian keselamatan siber 'DNS-layer' untuk PKS


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Digi Telecommunications Sdn. Bhd. (Digi) telah membangunkan penyelesaian keselamatan siber berasaskan awan (cloud), Cisco Umbrella, khusus buat pelanggan mikro serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang menyediakan perlindungan penting bagi membolehkan mereka berhubung dengan selamat menerusi rangkaian Digi.

Menerusi kerjasama dengan firma keselamatan siber antarabangsa, Cisco, Digi dapat membantu PKS melindungi perniagaan mereka dengan keselamatan berasaskan Sistem Nama Domain (DNS-layer protection).

Cisco Umbrella melindungi pengguna dengan menghalang permintaan perisian jahat seperti `malware’, `ransomware’, `phishing’, `botnets’ dan sebagainya sebelum rangkaian sempat diaktifkan, sekali gus menyekat ancaman siber itu secara berkesan sebelum menembusi rangkaian.

Ketua Pegawai Perniagaan Digi, Eugene Teh berkata, sebagai rakan digital yang dipercayai PKS, pihaknya sentiasa komited dalam membantu penggiat sektor itu menerusi pelbagai aspek pendigitalan termasuk menyediakan rangkaian yang berkualiti dan selamat serta dalam masa sama melindungi perusahaan yang bergerak ke arah digital.

 

Eugene Teh
Eugene Teh

 

“Sambungan kepada internet adalah keperluan asas kepada perusahaan ketika ini dengan banyak syarikat PKS beralih kepada perniagaan dalam talian dan pendigitalan. Namun, mereka berdepan dengan risiko serangan siber terutamanya menerusi peranti mudah alih yang kebiasaannya tidak mempunyai sebarang perlindungan keselamatan tetapi digunakan secara meluas untuk mengakses data dan aset syarikat.

“Apa yang kami tawarkan bersama Cisco hari ini menepati keperluan utama untuk melindungi PKS dengan penyelesaian keselamatan siber yang penting bagi melindungi perniagaan mereka,” kata Teh dalam satu kenyataan hari ini.

Cisco Umbrella tidak memerlukan pemasangan rumit pada peranti di mana syarikat perniagaan boleh melindungi kesemua peranti seperti komputer riba, komputer meja dan peranti pintar selagi mereka terhubung dengan rangkaian internet Digi.

Senada dengan Teh, Pengarah Urusan Jualan Keselamatan Siber, APJC, Cisco, Kerry Singleton berkata, akses kepada keselamatan internet secara mudah adalah amat penting kepada semua perniagaan.

“Ia merupakan sesuatu yang sangat diperlukan dan elemen penting dalam operasi perniagaan mikro atau PKS. Dengan Cisco Umbrella, kami boleh membantu perusahaan ini untuk berhubung kepada internet dengan yakin menerusi pelbagai peranti, di mana-mana sahaja dan menyediakan mereka perlindungan keselamatan siber yang sangat efektif,” katanya dalam kenyataan sama.

Memetik data daripada Cyber Security Malaysia (CSM), sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kes keselamatan siber meningkat sebanyak 82.5%, manakala Laporan CGA terkini menyatakan secara global, satu daripada tiga percubaan serangan siber yang dilaporkan boleh disekat dengan perlindungan DNS-layer.

Cisco Umbrella menyelesaikan lebih 200 bilion permintaan DNS setiap hari, daripada lebih 20,000 pelanggan, di lebih 190 negara. – DagangNews.com