Digi gesa orang ramai waspada taktik penipuan wang | DagangNews Skip to main content

Digi gesa orang ramai waspada taktik penipuan wang

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 April - Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) menggesa rakyat Malaysia agar sentiasa berwaspada dan mempelajari cara mengenal pasti modus penipuan wang sebagai perlindungan diri. 

 

Digi menggalakkan masyarakat agar meneliti maklumat mengenai modus tersebut di laman web peringatan penipuan wang dan kongsikannya bersama keluarga serta rakan-rakan.

 

Maklumat ringkas yang disediakan di laman tersebut menekankan lima jenis penipuan wang yang sering berlaku iaitu Wangiri, Panggilan Palsu atau Memancing Data, Penipuan SMS, Penipuan Media Sosial dan Perisian Hasad (Malware), modus operandi sindiket penipuan serta cara untuk melindungi diri daripada terjerat dalam helah tersebut. 

 

Laman web ini juga menjadi platform yang membolehkan pengguna mebuat laporan kepada pihak berkuasa yang berkenaan tentang penipuan wang atau sebarang aktiviti siber yang merbahaya.

 

Dalam usaha memperkasa dan memahirkan masyarakat dengan sumber-sumber yang relevan dalam mencegah potensi risiko penipuan wang, Ketua Bahagian Kelestarian Digi, Philip Ling, menggesa rakyat Malaysia untuk sentiasa peka dan tidak mudah terpedaya.

 

"Laporan berita dalam tempoh tiga tahun kebelakangan tentang rakyat Malaysia kehilangan lebih RM1 bilion wang simpanan hasil titik peluh mereka kepada sindiket penipuan wang dalam talian menunjukkan bahawa terdapat keperluan untuk meningkatkan kesedaran dan pendidikan awam mengenai penipuan wang. 

 

Sindiket sentiasa menyasar mangsa ketika mereka lalai, apatah lagi kini apabila rakyat Malaysia mula menerima simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka. 

 

Justeru itu, kami sentiasa komited untuk terus mendidik masyarakat mengenairisiko penipuan dalam talian serta luar talian, cara melindungi maklumat peribadi mereka serta membimbing mereka supaya bijak bertindak jika menerima permintaan mencurigakan atau atau tawaran amat lumayan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Melalui kempen ini, Digi akan terus berhubung dengan masyarakat tentang keselamatan dalam talian di platform media sosialnya dan menerusi makluman SMS untuk membantu mengingatkan mereka supaya sentiasa berhati-hati.

 

Orang ramai boleh memuat turun dan berkongsi infografik ringkas mengenai kesedaran penipuan wang serta mendapatkan maklumat dan bahan lain mengenai keselamatan siber melalui portal Digi Yellow Heart Safe Internet. - DagangNews.com