Skip to main content

Dilema Atletico Madrid buktikan pengurusan kewangan Liverpool lebih cekap

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

SATU demi satu kelab bola sepak mengumumkan keputusan kewangan masing-masing yang jelas menunjukkan semua berdepan dengan impak daripada pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

 

Industri bola sepak turut terjejas walaupun liga-liga di Eropah dibenarkan untuk meneruskan jadual perlawanan bagi musim ini yang disiarkan secara langsung di televisyen satelit. Namun, ia tidak dapat menampung kehilangan hasil daripada hari perlawanan dari segi tiket masuk stadium, jualan barangan serta penajaan.

 

Manchester United dan Tottenham Hotspur telah mengumumkan akaun masing-masing setakat Jun 2020, yang ketara menunjukkan kehilangan hasil sejak akhir tahun lalu hingga penamat musim lalu.

 

Dijangkakan keputusan keseluruhan kelab di dalam liga perdana Inggeris sepanjang tahun ini juga mencatatkan penurunan besar.

 

Liverpool yang mencatat prestasi mengagumkan sepanjang musim 2018/2019 dengan kejayaan merangkul kejuaraan Eropah keenam dan tempat kedua, menghasilkan keuntungan sebelum cukai sebanyak £42 juta (RM229.17 juta).

 

aaa

 

Catatan tersebut tidak mungkin dapat diraih musim ini ekoran COVID-19, walaupun kelab gergasi England sempat memeterai beberapa urus niaga komersial semasa pandemik, khususnya dengan Expedia.

 

Malah di sebalik cabaran-cabaran sedia ada, pemilik kelab iaitu Fenway Sports Group, tetap meneruskan rancangan meluaskan stadium Anfield yang kini memiliki kapasiti 53,000 kerusi, selain mengelak kelab daripada menanggung beban hutang.

 

Namun, keadaannya tidak sama di dalam liga-liga bola sepak lain di Eropah.

 

La Liga Sepanyol, sering diuar-uar sebagai pencabar terbesar kepada Liga Perdana Inggeris dengan kelab-kelab hebat seperti Barcelona, Real Madrid dan Atletico Madrid. Tetapi mereka juga merasai kesan akibat COVID-19. Dan kesan yang sangat besar!

 

Barcelona telah menyelesaikan rundingan pemotongan gaji para pemainnya dalam jumlah £110 juta (RM600.21 juta) manakala Atletico yang sememangnya berdepan dengan isu kewangan sebelum pandemik semakin rumit sekarang dengan beban hutang £895 juta (RM4.8 bilion). Pengurus Atletico, Diego Simeone adalah pengurus yang menerima gaji termahal di dunia iaitu £42 juta atau RM229.17 juta setahun.

 

Simeone dan skuadnya telah merelakan pemotongan gaji sebanyak 70% pada April lalu, demi untuk memastikan semua warga kelab itu tidak diberhentikan kerja. Walaubagaimana mulia sekalipun langkah yang mereka ambil itu, ia hanya langkah sementara dan Atletico berdepan masalah untuk mengekalkan pencapaian kelab semasa dan selepas pandemik berlalu.

 

aaa
Diego Simeone dijulang oleh para pemainnya.
​​​​​

Gaji besar untuk Simeone memang tidak boleh dipertikaikan, malah telah membawa hasil besar kepada Rojiblanco, lebih-lebih lagi kejayaannya membawa kelab melangkah ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah sebanyak dua kali, perlawanan akhir Liga Eropah dua kali dan Piala Super Eropah juga dua kali, dengan wang ganjaran terkumpul melebihi £250 juta (RM1.4 bilion).

 

Kontrak besar Simeone, digabung pula dengan hakikat Atletico memperoleh pinjaman bank yang lagi besar untuk kelab itu berpindah dari stadium Vicente Calderon ke stadium baharu Wanda Metropolitano pada 2017.

 

atletico
Wanda Metropolitano, rumah Atletico Madrid

 

Selain itu, kelab Sepanyol ini juga berbelanja besar untuk mendapatkan khidmat pemain terkemuka seperti Joao Felix dan Thomas Lemar. Kesemua faktor ini meletakkan Atletico berada pada kedudukan runcing untuk keluar daripada kemelut COVID-19, di sebalik pelbagai pemotongan gaji atau perbelanjaan oleh pengurusan dan pemain kelab.

 

Atletico meminjam kira-kira £178 juta dari firma Inbursa milik hartawan telekomunikasi Mexico, Carlos Slim bagi membantu membiayai pembinaan stadium mereka dengan pinjaman dijadual mula dibayar balik pada 2028.

 

Akaun terkini kelab tersebut menunjukkan ia mencatat keuntungan sebanyak £1.6 juta tetapi hutang melonjak sebanyak £17 juta manakala perolehan merudum sebanyak £28.7 juta.

 

Jika diteliti oleh ahli ekonomi, mereka akan bersetuju bahawa kedudukan kewangan Atletico bukanlah terburuk di seluruh Eropah, namun peningkatan hutang boleh menjadi beban yang tidak tertanggung oleh kelab, lebih-lebih lagi semasa COVID-19 ini.

 

Dengan penonton masih tidak dibenarkan memasuki stadium, bermakna aliran hasil tidak boleh diraih kelab dalam masa terdekat ini. Maka ia mungkin memaksa kelab menjual beberapa bintang mereka dan ini akan melemahkan kedudukan mereka sebagai satu daripada pencabar utama di Eropah.

 

aaa
Perlawanan bola sepak berlangsung tanpa kehadirian penonton semasa COVID-19.

 

Kelab-kelab yang dinaungi bilionair Arab misalnya, pasti merebut peluang ini untuk mengambil alih bintang-bintang bola sepak yang terdapat di dalam skuad Simeone ini. Liverpool belum tentu kerana lazimnya, pengurusan kelab yang diterajui Jurgen Klopp tidak `membeli-belah’ di khalayak umum.

 

Analisis ini bukan mahu mendakwa Atletico tidak mengerti menguruskan aspek kewangan kelab tetapi ini adalah contoh kelab yang baharu berbelanja besar terpaksa berdepan dengan realiti impak ekonomi teruk disebabkan COVID-19.  – DagangNews.com

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, yang merupakan Editor DagangNews.com dan bekas Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia, pada setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu Berkikis Bulu Betis berulang-ulang kali. 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud dengan `membebel'.