Disney+ Hotstar, Netflix masih belum cukup 'kuat' buat Astro | DagangNews Skip to main content

Disney+ Hotstar, Netflix masih belum cukup 'kuat' buat Astro

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Penyertaan Disney+ Hotstar pada Jun lalu dilihat kurang mencukupi untuk menampung kedudukan Astro Malaysia Holdings Bhd. memandangkan wajah 'Astro baharu' belum lagi menampakkan hasil. 

 

Malah, menurut CGS-CIMB, ini juga termasuklah perancangan untuk membawa Netflix dalam perkhidmatan televisyen berbayarnya dalam tempoh beberapa minggu akan datang. 

 

"Orang ramai masih belum melihat penambahan nilai yang dibawa oleh Astro setakat ini. Tambahan pula, kebanyakan perkhidmatan video on demand (SVOD) yang mahu diedarkan dalam pasaran Malaysia belum menampakkan hasil. 

 

"Sebelum ini, kami berhati-hati terhadap hasil daripada 'Astro baharu' yang hanya boleh direalisasikan selepas ia mengintegrasikan perkhidmatan televisyen berbayar dengan 15 langganan SVOD menjelang akhir 2021/2023," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Bagi suku kedua berakhir 31 Julai 2021, untung bersih Astro susut 34.8% kepada RM87.13 juta berbanding RM133.65 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala perolehan juga susut kepada RM1.06 bilion berbanding RM1.09 bilion.

 

Bagaimanapun keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) bagi separuh pertama tahun kewangan itu meningkat kepada RM228.37 juta berbanding RM207.49 juta bagi tempoh sama tahun lalu manakala perolehan pula sebanyak RM2.12 bilion, lebih rendah daripada tempoh sebelumnya, RM2.14 bilion.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Henry Tan berkata, walaupun Astro merekodkan peningkatan 10% PATAMI bagi tempoh separuh pertama ini, tetapi sekatan pergerakan dan kos kandungan yang tinggi daripada siaran Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan UEFA EURO 2020 menjejaskan untung bersih pada suku kedua.

 

 

Baca : Untung bersih Astro Q2 susut 34% kepada RM87.13 juta 

 

 

Berdasarkan prestasi kewangan itu, CGS-CIMB mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) antara 6 hingga 18% yang mana sebahagian besarnya mencerminkan pendapatan langganan yang rendah. 

 

Firma itu juga mengekalkan saranan 'tambah' bagi saham Astro dengan harga sasaran pada RM1.50.

 

"Sebenarnya, kami lebih optimis dengan prestasi kewangan Astro pada separuh kedua apabila ekonomi dibuka semula. 

 

"Ini akan membantu merancakkan semula jualan pengiklalan dan membawa kembali langganan komersial yang mana premis mereka terpaksa ditutup ketika tempoh sekatan pergerakan," tambahnya.

 

CGS-CIMB juga menjangkakan Astro akan kembali merekodkan prestasi kewangan mencapai paras sebelum pandemik selewat-lewatnya pada tahun kewangan 2024 dengan pendapatan purata setiap pengguna (ARPU) yang lebih tinggi selepas membawa semua perkhidmatan penstriman dalam portfolionya.

 

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, perbelanjaan pengiklanan (adex) dan pendapatan langganan komersial yang kembali pulih dijangka meningkatkan pendapatan Astro pada separuh kedua ini. 

 

"Selain itu, prospek jangka panjang syarikat ini juga bergantung kepada kedudukannya dalam pasaran Over- The-Top (OTT) sebagai peneraju pengagregat dalam perkhidmatan penstriman dan segmen beli-belahnya yang semakin berkembang. 

 

"Pada masa sama, ia turut mengambil kira kadar penembusan bagi golongan milineal yang kurang diberi perhatian menerusi pelancaran sooka dan usaha berterusan Astro untuk meningkat pengalaman pengguna dan rangkaian produknya," jelasnya. 

 

Firma itu bagaimana mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Astro dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.41. 

 

Setakat 9.35 pagi ini, saham Astro susut 1 sen kepada RM1.04 dengan 1.38 juta saham diniagakan. - DagangNews.com