Skip to main content

Dividen bukan untuk bayar pinjaman ASB 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

Sejak 23 Disember lalu, trending di media sosial apabila rata-rata pelabur tidak berpuas hati dengan pengumuman dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) terutama dalam kalangan mereka yang membuat pinjaman ASB. 

 

Dengan agihan pendapatan hanya 4.25 sen seunit, dividen ini adalah yang terendah sejak dana itu diperkenalkan 30 tahun lalu. 

 

Hakikatnya, apa yang kita boleh harapkan daripada dividen kali ini jika mengambil kira persekitaran ekonomi yang sangat tidak sihat dengan munculnya pandemik COVID-19, kali pertama dikesan di Wuhan, China hujung tahun lalu. 

 

Hanya beberapa hari sebelum 2020 melabuhkan tirai pun, pasaran saham global masih bergelora apabila munculnya mutasi baharu virus itu di United Kingdom (UK) meskipun perkembangan vaksin sedikit sebanyak meningkatkan harapan terhadap pemulihan ekonomi. 

 

Di sebalik krisis ekonomi yang tercetus akibat wabak itu, apa yang lebih membimbangkan adalah daya tahan rakyat dari sudut kewangan. 

 

Tidak dinafikan ramai di antara kita yang meminjam untuk membuat pelaburan, termasuklah pasaran hartanah, berniaga dan juga menyertai pasaran saham atau melabur dalam dana amanah seperti ASB. 

 

Bagaimanapun, apa yang menyebabkan pelaburan itu bermasalah di kemudian hari apabila pelabur mengharapkan pulangan semata-mata untuk membiayai ansuran bulanan. 

 

Dividen ASB ini sepatutnya disimpan dan sebaik-baiknya bayar pinjaman seperti biasa, demikian menurut Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia, Mohd. Afzanizam Abdul Rashid kepada DagangNews.com. 

 

Beliau menjelaskan, jika seseorang mahu mendapatkan manfaat daripada pelaburan ASB, mereka perlu menyimpan dengan lebih lama dan jangan keluarkan dividen. 

 

"Ini membolehkan kita mendapatkan hasil daripada kesan pengganda atau compounding factor, maksudnya, pokok perlu dicampur dengan pulangan dan disimpan bersama. 

 

"Apabila dividen seterusnya diumumkan, hasilnya lebih besar memandangkan dividen itu adalah berdasarkan pokok dan hasil tambah dividen tahun-tahun sebelumnya. 

 

"Jika kita selalu keluarkan simpanan ASB ini, maka tak dapat compounding factor tersebut. Oleh itu, kita kena berdisiplin dalam simpanan ASB ini," katanya. 

 

Mohd. Afzanizam berkata adalah penting untuk meletakkan penanda aras bagi menilai sesuatu pelaburan yang dibuat. 

 

Dalam hal berkaitan ASB, penanda arasnya mungkin deposit tetap Maybank bagi kadar pulangan 12 bulan yang berada pada 1.85% setakat 20 Disember lalu

 

Jika mengambil kira keadaan ini dan situasi ekonomi semasa yang mencabar, dividen ASB pada kadar tersebut adalah kompetitif.

 

Katanya, walaupun pulangan dividen itu meresahkan hati sesetengah pihak tetapi prestasi itu masih dikira baik terutama dengan melihat kepada landskap ekonomi global yang meleset. 

 

"Selain itu, dengan kadar purata inflasi dari 1985 hingga 2019 adalah 2.5% setahun, jadi pulangan ASB ini juga melebihi kadar inflasi. 

 

"Dalam erti kata lain, kuasa beli para pelabur ASB adalah lebih apabila mereka melabur dalam ASB," katanya.  

 

Beliau turut menasihati para pelabur jika masih tidak berpuas hati, boleh membuat pelaburan dalam unit amanah yang lain atau melabur secara terus dalam pasaran saham. 

 

"Tiada paksaan dan pilihan sentiasa ada pada kita. Dalam masa sama, pastikan duit pelaburan dan keperluan kecemasan diasingkan," tegasnya. 

 

Dalam pada itu, Penyelidik Kanan Ekonomi di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Adli Amirullah berpendapat, wujudnya 2 kategori untuk menentukan sama ada pinjaman ASB yang dibuat itu adalah baik atau sebaliknya. 

 

Menurutnya, bagi kategori 1 adalah baik, jika individu itu mempunyai duit simpanan yang berlebihan atau mempunyai simpanan kecemasan sekurang kurangnya 3 bulan gaji. 

 

"Kategori 2 adalah tidak baik, jika individu tersebut tidak mempunyai simpanan kecemasan mencukupi. 

 

"Ini kerana komitmen pinjaman ASB tidak sepatutnya diambil mudah dan risikonya juga tidak bersesuaian untuk mereka yang tidak mempunyai simpanan mencukupi," katanya. 

 

Pada Oktober lalu, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) telah mengingatkan orang ramai supaya mengambil pembiayaan ASB berdasarkan kemampuan dan bukannya kelayakan yang dibenarkan pihak bank.

 

Kelayakan pinjaman biasanya dibuat berdasarkan gaji pokok dan komitmen hutang semasa, tetapi sebaliknya, walaupun pemohon layak mengambil sejumlah pinjaman, pendapatan bulanan mereka tidak mampu untuk menampung ansuran bulanan bagi tempoh jangka panjang. - DagangNews.com