DNeX, BIH bekerjasama bina loji fabrikasi wafer baharu di Malaysia | DagangNews Skip to main content

DNeX, BIH bekerjasama bina loji fabrikasi wafer baharu di Malaysia

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Mei - Dagang NeXchange Bhd. (DNeX) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Big Innovation Holdings Limited (BIH) untuk menubuhkan syarikat usaha sama bagi membina dan mengendalikan loji fabrikasi wafer 12 inci baharu di Malaysia.

 

Kemudahan tersebut mampu menghasilkan sehingga 40,000 wafer sebulan bagi teknologi 28-nanometer dan 40-nanometer.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, DNeX berkata, kedua-dua pihak sedang berunding mengenai kerjasama untuk menubuhkan syarikat usaha sama bagi melaksanakan cadangan projek tersebut.

 

Katanya, tempoh perjanjian itu adalah selama setahun bermula dari 17 Mei 2022.

 

"Sepanjang tempoh MoU ini, kedua-dua pihak akan berusaha untuk berunding bagi membuat perjanjian muktamad berdasarkan struktur cadangan projek dan butiran kewangannya," katanya. 

 

BIH, adalah anak syarikat milik penuh Hon Hai Precision Industry Co. Ltd. (Foxconn), yang merupakan syarikat tersenrai di Taiwan Stock Exchange.

 

Foxconn ialah pengeluar elektronik terbesar di dunia dan juga penyedia penyelesaian teknologi terkemuka yang secara berterusan memanfaatkan kepakarannya dalam perisian dan perkakasan untuk menyepadukan sistem pembuatan uniknya dengan teknologi baharu muncul.

 

 

Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir
Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir

 

 

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, projek tersebut membolehkan kumpulan dan negara melonjak ke hadapan dari segi kemajuan teknologi semikonduktor dan menawarkan pelbagai kesan limpahan ekonomi kepada negara.

 

Tambahan pula, katanya, kemudahan baharu itu akan menjadi kilang fabrikasi wafer 12 inci pertama di Malaysia yang dimulakan oleh sebuah syarikat bumiputera.

 

"Pembinaan kemudahan ini adalah sebahagian daripada strategi berterusan kumpulan untuk meneroka peluang baharu dalam bidang teknologi, berinovasi dan berkembang serta menangani permintaan global yang kukuh untuk semikonduktor.

 

"Malah, ia juga akan mengukuhkan lagi kedudukan DNeX dalam faundri semikonduktor dan melengkapkan perniagaan kumpulan dalam segmen ini melalui pelaburan sedia ada dalam SilTerra Malaysia Sdn. Bhd., dari segi amalan terbaik dan kecemerlangan teknologi," jelasnya.

 

Menerusi MoU itu, DNeX dan BIH akan bekerjasama untuk memutuskan lokasi kemudahan tersebut di Malaysia, struktur pembiayaan projek dan pengurusan awal serta barisan kakitangan utama.

 

Kerjasama itu dijangka tidak memberi kesan kepada terbitan dan modal saham berbayar syarikat dan pemegangan utama kumpulan.

 

Selain itu, ia juga tidak memberi kesan ketara kepada aset bersih sesaham, penggearan dan pendapatan sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022. - DagangNews.com