DNeX catat perolehan RM239.5 juta bagi 2020 | DagangNews Skip to main content

DNeX catat perolehan RM239.5 juta bagi 2020

 

 

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Dagang NeXchange Berhad (DNeX) merekodkan perolehan yang lebih rendah pada suku keempat berakhir 30 Disember 2020 berjumlah RM63.3 juta berbanding RM87.3 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, kumpulan merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATNCI) sebanyak RM15.1 juta pada suku tersebut berbanding kerugian bagi tempoh sama 2019 berjumlah RM3.7 juta. 

 

Sebelum ini, DNeX telah mengumumkan laporan tahun kewangan akhir bertukar dari 30 Disember kepada 30 Jun. Penyata kewangan diaudit selepas ini adalah bagi tempoh 18 bulan bermula 1 Januari 2020 hingga 30 Jun 2021.

 

Bagi tempoh 12 bulan berakhir 31 Disember 2020, kumpulan merekodkan perolehan lebih rendah berjumlah RM239.5 juta berbanding RM290.5 juta bagi tempoh sama 2019 disebabkan pengurangan hasil daripada segmen teknologi maklumat. 

 

Setakat ini, volum trafik jatuh 2.5% susulan kelembapan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

 

Namun, pengurangan ini diimbangi perolehan yang lebih tinggi menerusi segmen tenaga, meningkat 22.7% tahun ke tahun kepada RM73.8 juta berbanding RM60.1 juta, dipacu oleh prestasi lebih baik menerusi unit perkhidmatan dan perdagangan.

 

Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, kumpulan kini menuju ke arah pertumbuhan lebih baik seiring dengan pelaburan strategik yang akan memperkukuhkan perniagaan teras kumpulan dalam kemudahan perdagangan, integrasi sistem dan khidmat runding serta tenaga. 

 

"Kami juga berada dalam kedudukan yang baik sebagai rakan digital bagi perniagaan dan agensi kerajaan bagi meningkatkan kecekapan proses. 

 

"Sehubungan itu, kami akan terus mengejar peluang dalam pendigitalan termasuk inisiatif MyDigital yang diumumkan minggu lalu bagi mempercepatkan transformasi digital dalam kalangan sektor awam dan swasta di negara ini," katanya dalam kenyataan. 

 

Beliau berkata, dengan pemulihan harga minyak mentah global melebihi paras AS$60 setong, cadangan pengambilalihan 60% kepentingan dalam Ping Petroleum Ltd. akan menyumbang secara positif kepada kumpulan. 

 

Tambahan pula, katanya, kejayaan DNeX menerusi konsortium membida penjualan SilTerra Malaysia Sdn. Bhd. menjadi pencapaian penting kepada kumpulan memandangkan permintaan kukuh cip semikonduktor di peringkat global. - DagangNews.com