DNex, Cerulean Winds bekerjasama kendali turbin angin terapung bagi Pembangunan Avalon di UK | DagangNews Skip to main content

DNex, Cerulean Winds bekerjasama kendali turbin angin terapung bagi Pembangunan Avalon di UK

Ping menyasarkan untuk menghubungkan FPSO kepada turbin angin luar pesisir terapung. - Gambar dari laman web offshore energy (sumber : Ping Petroleum)
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Dagang NeXchange Bhd. (DNeX) menerusi unitnya, Ping Petroleum UK PLC memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Cerulean Winds Limited untuk memulakan inisiatif kerjasama bagi menyediakan turbin angin terapung luar pesisir khusus untuk Pembangunan Avalon di Laut Utara Tengah, United Kingdom (UK). 

 

Di bawah Perjanjian itu, Ping dan Cerulean Winds merancang menubuhkan syarikat usaha sama untuk menggunakan dan mengendalikan turbin angin terapung, yang akan menjana tenaga untuk kapal Punggahan dan Simpanan Pengeluaran Terapung (FPSO) Sevan Hummingbird yang diperoleh Ping pada awal Julai lalu.

 

Ping menyasarkan untuk menghubungkan FPSO kepada turbin angin luar pesisir terapung khusus bagi menggerakkan kemudahan itu sekali gus meminimumkan penggunaan diesel dan gas bahan api serta pelepasan gas rumah hijau yang berkaitan di perairan UK.

 

Projek inovatif dan perintis itu akan menjadi salah satu kemudahan pengeluaran minyak dan gas pertama yang memenuhi sasaran pengurangan pelepasan oleh Kerajaan UK seperti dipersetujui dalam Perjanjian Peralihan Laut Utara pada Mac 2021.

 

Malah, Ping dan Cerulean Winds juga akan berusaha mencapai terma berhubung perjanjian pembelian tenaga bagi Pembangunan Avalon dengan syarikat usaha sama tersebut.

 

 

DNEX
Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir (berdiri dari kiri) pada majlis memeterai MoU yang diadakan di London dan disaksikan oleh Setiausaha Negara bagi Perniagaan, Tenaga dan Strategi Perindustrian UK, Kwasi Kwarteng.

 

 

Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, Ping ketika ini sedang memperhalusi konsepnya untuk mengintegrasikan FPSO dengan turbin angin luar pesisir untuk Pembangunan Avalon, dengan kelulusan Pelan Pembangunan Lapangan dan Keputusan Pelaburan Akhir (FID) disasarkan pada akhir tahun ini.

 

Katanya, Ping sedang memuktamadkan perancangan pembangunan konsep selepas menyiapkan kerja-kerja kejuruteraan utama bagi menyerahkan Pelan Pembangunan Lapangan Avalon. 

 

"Selain itu, Ping akan memohon lesen inovasi di bawah pelesenan Inovasi dan Nyahkarbon Minyak dan Gas Bersasar (INTOG) daripada Crown Estate Scotland.

 

"Lesen ini membolehkan kami mengendalikan dan menggunakan turbin angin luar pesisir terapung khusus untuk Pembangunan Avalon," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pembangunan yang dirancang itu membolehkan Ping mengembangkan dan mempelbagaikan portfolio pengeluaran aset selain menyokong keselamatan tenaga UK dan sasaran sifar bersih.

 

Ping juga baru-baru ini telah diberikan lanjutan selama 19 bulan oleh NSTA kepada penggal kedua lesen P2006 yang merangkumi Avalon.

 

Ini membolehkan syarikat mempunyai masa tambahan untuk mengoptimumkan dan mendapatkan kelulusan kawal selia penuh bagi Pelan Pembangunan Lapangan Avalon.

 

Dengan jumlah anggaran pemulihan sebanyak 23 juta tong minyak, pengeluaran dari medan Avalon dijangka mula beroperasi pada pertengahan 2025. - DagangNews.com