DNeX namakan semula kapal FPSO kepada Excalibur, bakal dilengkapi dengan keupayaan elektrik | DagangNews Skip to main content

DNeX namakan semula kapal FPSO kepada Excalibur, bakal dilengkapi dengan keupayaan elektrik

Majlis menamakan semula kapal FPSO Excalibur diadakan di Pelabuhan Nigg, Scotland, United Kingdom yang dihadiri wakil dari DNeX dan Ping, baru-baru ini.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Dagang NeXchange Bhd. (DNeX) menerusi anak syarikatnya, Ping Petroleum UK PLC menamakan semula kapal penyimpanan pengeluaran terapung dan pemunggahannya (FPSO) kepada Excalibur, yang sebelum itu dikenali sebagai Sevan Hummingbird.

 

Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, FPSO itu  dinamakan semula sebelum penggunaannya dalam Pembangunan Avalon.

 

Katanya, langkah seterusnya adalah untuk mengubah suai FPSO dengan keupayaan elektrifikasi, disokong oleh turbin angin luar pesisir terapung khusus yang dibina khas untuk keperluan Avalon.

 

"Excalibur boleh menjadi penanda aras untuk operasi huluan yang lebih hijau dengan penggunaan teknologi turbin angin yang menggerakkan seluruh kemudahan pengeluaran. 

 

"Ini adalah peristiwa penting bagi Pembangunan Avalon dan tepat pada masanya kerana kami secara progresif bergerak ke hadapan dengan peralihan tenaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir
Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir

 

 

Pada awal Julai lalu, Ping menerima penghantaran FPSO daripada syarikat pengangkutan tenaga marin, Teekay Corporation.

 

Ditauliahkan kali pertama pada 2008, Excalibur menjangkau diameter 60 meter dengan kapasiti penyimpanan sebanyak 270,000 tong minyak. 

 

Ia boleh mengeluarkan kira-kira 25,000 tong sehari, disokong sehingga 47 kakitangan luar pesisir.

 

Ping telah memuktamadkan perancangan pembangunan konsep dan memulakan kerja-kerja kejuruteraan utamasebagai persediaan untuk menyerahkan Pelan Pembangunan Medan Avalon, dengan Keputusan Pelaburan Akhir (FID) dijangka akhir tahun ini.

 

Konsep pembangunan yang dicadangkan membolehkan Ping mengembangkan dan mempelbagaikan portfolionya untuk mengeluarkan aset dengan mematuhi sepenuhnya sasaran pengeluaran dan pengurangan pelepasan di UK.

 

Sehubungan itu, Syed Zainal Abidin menyifatkan kumpulan berbangga menjadi pemilik aset baharu dan bersedia untuk maju dalam projek huluan sulung kumpulan, bermula pada tahap yang bersih sejajar dengan strategi pertumbuhan DNeX dan Ping.

 

"Malah, DNeX dan Ping juga optimis dengan prospek Pembangunan Avalon," katanya. -DagangNews.com