DNeX perkenal pakej promosi mulai 1 Januari bantu PKS | DagangNews Skip to main content

DNeX perkenal pakej promosi mulai 1 Januari bantu PKS

Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Dagang NeXchange Berhad (DNeX) melancarkan pakej promosi baharu mulai 1 Januari depan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menggunakan pendigitalan dalam perniagaan terutama menghadapi persekitaran pandemik COVID-19. 

 

Mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2021, pelanggan baharu boleh dapat memanfaatkan pengecualian yuran pendaftaran sehingga RM500 untuk semua perkhidmatan yang disediakan oleh anak syarikat milik penuh DNeX, Dagang Net Technologies Sdn. Bhd.

 

Bagi pelanggan sedia ada iaitu perkhidmatan pengisytiharan dan penyata boleh mendapat pengecualian yuran peti mel selama 3 bulan bernilai RM270 setiap peti mel mulai Januari 2021. 

 

Pengguna ePermit pula boleh memilih pelan eValue bagi membolehkan mereka mendapatkan pengecualian yuran pendaftaran tahunan sebanyak RM200. 

 

Di bawah eValue, pelanggan hanya dikenakan bayaran sebanyak RM8 terdiri daripada RM5 untuk yuran lulus permit dan RM3 yuran pentadbiran bagi setiap transaksi. 

 

Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pakej promosi ini adalah sebahagian daripada usaha syarikat untuk meningkatkan pendigitalan dalam kalangan PKS terutama yang terjejas akibat pandemik itu. 

 

Katanya, pihaknya berharap pakej tersebut dapat membantu PKS dari segi penjimatan dan mengoptimumkan kos perniagaan yang terjejas. 

 

"Wabak ini memerlukan PKS menyemak semula strategi perniagaan mereka dengan menjadikan pendigitalan sebagai komponen utama untuk bersaing dan menjimatkan kos. 

 

"Tambahan pula, mereka memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar dan memerlukan sokongan bagi memastikan perniagaan berdaya saing," katanya dalam kenyataan hari ini. - DagangNews.com