Dolar AS mengukuh, ringgit menyusut | DagangNews Skip to main content

Dolar AS mengukuh, ringgit menyusut

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 18 Jan. - Ringgit menyusut dalam dagangan pagi ini kepada RM4.0450/0510 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Pada Jumaat, mata wang tempatan itu ditutup tinggi pada RM4.0350/0380. 

 

Menurut HLIB Research, tambahan pakej rangsangan yang diumumkan Presiden AS yang baru, Joe Biden dan ikrar Rizab Persekutuan AS akan terus menyokong dolar AS. 

 

"Ini akan menyaksikan ringgit/dolar AS berlegar antara RM4.03 hingga RM4.08 sepanjang minggu ini. 

 

"Tambahan pula, Bank Negara Malaysia pada Rabu akan membuat keputusan mengenai kadar dasar semalaman (OPR) yang pada pendapat kami, akan dikekalkan," katanya dalam nota kajian. 

 

Sepanjang tahun lalu, BNM telah mengurangkan 4 kali kadar faedah sebanyak 125 mata asas kepada paras terendah setakat ini, 1.75%. 

 

Sementara itu, AmBank Research menjangkakan ringgit hari ini diniagakan pada paras sokongan antara RM4.0112 dan RM4.0230 manakala paras rintangan antara RM4.0481 dan RM4.0595.

 

"Dolar AS kembali meningkat kepada paras tertinggi sebulan, 0.59% kepada 90.772 selepas Joe Biden mengumumkan pelan fiskal bernilai AS$1.9 trilion," katanya. 

 

Pada Khamis, Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), Jerome Powell menyampaikan mesej yang cenderung terhadap kadar faedah rendah kepada pasaran

 

Peningkatan dolar AS baru-baru ini dikekang oleh ucapan Powell semalam bahawa bank pusat AS tidak berminat untuk menaikkan kadar faedah selagi inflasi di negara itu terus rendah.- DagangNews.com