Skip to main content

Dulu sinis terhadap Pelan Pemulihan Negara, kini jelas perancangan adalah tepat kata Radzi

KUALA LUMPUR 15 Okt - Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin berkata, beliau masih ingat sewaktu Pelan Pemulihan Negara (PPN) diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu Perdana Menteri, ada yang memandang sinis.

 

“Tidak kurang yang mempertikaikan pengenalan fasa-fasa dalam PPN dan juga nilai-nilai ambang.

 

“Hari ini tiada lagi negeri berada di Fasa 2. Putrajaya, Selangor, KL, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan dan Labuan pula telah berada di Fasa 4.

 

“Rentas negeri juga telah dibenarkan. Tentunya hujung minggu ini ramai yang balik ke kampung untuk melepaskan rindu kepada ibu bapa dan keluarga tercinta,” jelasnya.

 

Dalam hantaran itu, Radzi memaklumkan beliau menghadiri Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi tadi.

 

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga mengajak seluruh rakyat sama-sama doakan agar semuanya berjalan dengan baik dan teratur.

 

Menurut beliau, kini negara sedang menuju fasa endemik dan insya-Allah, dengan usaha berterusan Kerajaan dan dokongan seluruh rakyat, situasi akan kembali pulih.

 

“Kadar vaksinasi populasi dewasa juga telah mencapai 95% ketika ini.

 

“Sesungguhnya kita dapat lihat cahaya yang semakin terang dari hujung terowong,” katanya menerusi Facebook beliau malam ini. - DagangNews.com