Duopharma Biotech catat peningkatan hasil 15% kepada RM20.29 juta | DagangNews Skip to main content

Duopharma Biotech catat peningkatan hasil 15% kepada RM20.29 juta

Produk-produk perubatan terkenal keluaran Duopharma Biotech Berhad
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 17 Mei – Duopharma Biotech Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 15% pada suku pertama 2022, kepada RM20.29 juta, didorong oleh peningkatan 12% dalam hasil, berjumlah RM185.94 juta.

 

Ini menghasilkan pendapatan sesaham yang bertambah baik sebanyak 2.19 sen, berbanding 1.90 sen setahun lalu.

 

Syarikat juga mencatat keuntungan sebelum cukai 15% lebih tinggi sebanyak RM26.65 juta dalam suku pertama 2022, dipacu oleh jualan lebih tinggi kepada sektor kesihatan pengguna dan etika swasta.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, pendapatan pada suku-suku akan datang akan dirangsang oleh tender Kerajaan yang disemak semula bernilai RM375 juta untuk membekalkan Insugen-Insulin Recombinant Human Formulations.

 

Kontrak itu telah diberikan kepada Duopharma Marketing Sdn Bhd (anak syarikat milik penuh Duopharma Biotech) dan Biocon Sdn Bhd (anak syarikat milik penuh Biocon Biologics Limited, UK yang seterusnya merupakan anak syarikat milik penuh Biocon Biologics Ltd, India) untuk tempoh tiga tahun sehingga April 2025.

 

Tambahan lagi, kontrak untuk membekalkan produk farmaseutikal dan bukan farmaseutikal kepada hospital dan klinik kerajaan telah dilanjutkan selama 12 bulan sehingga penghujung 2022.

 

Syarikat juga mungkin boleh menikmati penjimatan berpotensi sebanyak lebih daripada RM10 juta apabila ia menyiapkan beberapa aset yang layak menjelang 2024, susulan pengumuman Bajet 2022 bahawa tempoh elaun pelaburan semula khas akan dilanjutkan ke tahun taksiran 2024.

 

“Kami optimistik secara berhati-hati apabila menilai prospek tahun ini memandangkan ekonomi negara bertambah baik berikutan pembukaan semula sempadan dan penarikan balik sebilangan besar sekatan COVID-19,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

 

Leonard Ariff Abdul Shatar
                         Leonard Ariff Abdul Shatar

 

 

Dalam jangka panjang tambah beliau, permintaan untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan semakin meningkat, dan penekanan berterusan daripada kerajaan terhadap sektor itu memberikan petanda baik bagi syarikat.

 

Beribu pejabat di Kuala Lumpur, Malaysia, Duopharma Biotech memiliki dan mengendalikan tiga kilang pembuatan di Klang, Bangi dan Glenmarie, Selangor.

 

Duopharma Biotech juga mempunyai anak syarikat di Filipina dan Singapura. Anak syarikat Duopharma Biotech Berhad mempunyai pejabat perwakilan di Jakarta, Indonesia. – DagangNews.com