e-Pameran MyAssist MSME dilanjutkan hingga 4 Ogos depan | DagangNews Skip to main content

e-Pameran MyAssist MSME dilanjutkan hingga 4 Ogos depan

e-Pameran MyAssist MSME

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 5 Julai - Tempoh penganjuran e-Pameran MyAssist MSME dilanjutkan lagi hingga 4 Ogos 2021.

 

SME Corp. Malaysia berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira sambutan pengunjung yang menggalakkan sejak dilancarkan.

 

"Perlanjutan ini adalah bagi memberi ruang dan peluang kepada PKS di seluruh negara untuk terus mempromosikan dan memasarkan produk mereka secara dalam talian melalui e-Pameran di dalam portal MyAssist MSME. 

 

"Ini amat bertepatan dengan keadaan ekonomi semasa yang amat sukar berikutan pandemik COVID-19 yang masih berleluasa serta sambungan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," jelas SME Corp.

 

Sebanyak 506 pempamer daripada seluruh negara telah menyertai ePameran di dalam Portal MyAssist MSME yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 30 Jun lalu.

 

Penyertaan pameran berkenaan pertama kali diadakan secara dalam talian yang terdiri daripada PKS di seluruh negara termasuk usahawan selebriti, Kementerian dan Agensi serta Institusi Kewangan yang menawarkan pembiayaan kepada PKS.

 

Sejak pelancaran sehingga 4 Julai 2021, seramai 29,022 pengunjung maya e-Pameran telah direkodkan.

 

Portal MyAssist MSME dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 30 Jun baru-baru ini.

 

Portal berkenaan merupakan satu daripada inisiatif kerajaan untuk memudahkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mendapatkan maklumat perniagaan, khidmat nasihat dan peluang pemasaran secara dalam talian ketika negara masih berdepan penularan pandemik COVID-19.

 

Portal berkenaan merangkumi empat komponen utama iaitu pusat maklumat PKS, khidmat nasihat, padanan perniagaan dan ekspo perniagaan. - DagangNews.com