EAG lengkapkan strategi COVID-19 KKM, bukan ambil alih kepimpinan | DagangNews Skip to main content

EAG lengkapkan strategi COVID-19 KKM, bukan ambil alih kepimpinan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Mei - Fungsi penubuhan Kumpulan Pakar Penasihat Kesihatan dan Sains COVID-19 (EAG) adalah sebagai pelengkap atau menyokong usaha Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memerangi wabak itu.

 

EAG menegaskan perkara berkenaan selepas terdapat cadangan untuk kepimpinan tertinggi KKM diambil alih oleh kumpulan tersebut.

 

“EAG dibangunkan pada 8 Februari 2021 untuk menyediakan nasihat berasaskan bukti berhubung pengurusan COVID-19 di Malaysia. 

 

“Kami tidak bersetuju dengan komen baru-baru ini yang menyatakan EAG patut mengambil alih kepimpinan tindak balas pandemik di KKM; KKM telah menjadi pusat perjuangan dalam tempoh yang sangat mencabar ini.

 

“EAG berfungsi untuk melengkapkan strategi pandemik KKM dan menyokong amalan terbaik kesihatan awam yang akan membolehkan Malaysia keluar dari wabak ini secepat mungkin,” jelas EAG dalam satu kenyataan semalam.

 

Abu Bakar Sulaiman
Abu Bakar Sulaiman

 

Menerusi laporan media, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diminta untuk memberi mandat kepada (EAG) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Kesihatan sebelum ini, Tan Sri Prof Emeritus Abu Bakar Sulaiman untuk mengambil alih kepimpinan Bilik Situasi atau Pusat Persediaan dan Respons Krisis (CPRC).

 

Rosmawati Mohamed
Rosmawati Mohamed

 

Sebagai rekod, Abu Bakar dibantu oleh lima lagi ahli EAG termasuk Ketua Akademi Perubatan Malaysia (AMM), Prof Dr. Rosmawati Mohamed; bekas Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Mary Cardosa; wakil Persatuan Doktor Kesihatan Awam Malaysia (PHPAM), Datuk Dr. Fadzilah Kamaluddin, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh dan bekas Timbalan Ketua Pengarah KKM merangkap Penaung Persatuan Kawalan Jangkitan Masyarakat Malaysia dan Penyakit Berjangkit (myICID), Datuk Dr Christopher Lee.

 

Mary Cardosa
Mary Cardosa

 

Tambahan kepada keenam-enam ahli itu, EAG berkata, pihaknya juga disokong oleh rangkaian kritikal Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) yang terdiri daripada pakar perubatan, penjagaan kesihatan dan industri. 

 

Fadzilah Kamaluddin
Fadzilah Kamaluddin

 

“Untuk mencapai tujuan ini, kami telah bertemu dengan para pemimpin KKM sejak penubuhan kami dan akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan yang relevan untuk mendapatkan rancangan jangka pendek dan sederhana dalam menguruskan COVID-19 di Malaysia.

 

Kuljit Singh
Kuljit Singh

 

“Dengan rangkaian sokongan ini, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada usaha menyeluruh masyarakat yang benar dan bersama dalam menentang COVID-19. 

 

Christopher Lee
Christopher Lee

 

“Ketika pandemik terus menular pada tahap yang membimbangkan, kita perlu terus fokus terhadap tujuan bersama dalam menyelamatkan nyawa dan mata pencarian, ” kata persatuan itu lagi. - DagangNews.com