Skip to main content

Ebit Lew patut selit dia masuk Gaza, suruh pikul beras...

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

PKP bersambung sambung sejak 1 Jun lepas, memang bikin ramai orang terkesima, naik berat badan, nipis keupayaan menahan marah dan dalam sesetengah kes, hilang sekejap ada sekejap tiada deria berfikir.

 

Atas kerana itulah ramai yang terlebih seronok pula mengikuti video seorang individu yang kini di Mesir terhadap Ustaz Ebit Lew (UEL). Video itu bila ditonton keseluruhannya, orang boleh mengklasifikasikannya sebagai video cemuhan semata-mata. Ini kalau kem UEL bawa naik mahkamah, memang sangkut.

 

Saya tidak akan mengiktiraf nama individu itu dalam Merrepak ini, bukan kerana faktor sememangnya dia tidak pernah dikenali selama ini atau faktor kegigihannya mahu meraih populariti dengan mencemuh UEL. Tetapi paling utama kerana faktor mahkamah di atas. Kalau naik mahkamah, tidaklah kita terpalit sama dipanggil bagi keterangan pula nanti.

 

Bila sebut cemuhan semata-mata, dari segi sudut teknikal undang-undang ialah tuduhan buruk yang dilemparkan tanpa mengemukakan bukti-bukti. Individu itu masih ada masa untuk berbuat demikian kerana seharusnya dia sedar, jika tidak ada bukti maka videonya itu menjadi fitnah. Dan video seterusnya dari dia tidak ada kredibiliti lagi, dan akan ditonton sama seperti menonton episod Mr. Bean.

 

Saya secara peribadi tidak menonton video tetapi sekadar mendengar dialog. Antara dialog dia yang dicatat pada nota ialah `tidak mahu pulang ke Malaysia selagi kerajaan hari ini berkuasa’.

 

Semua tahu dia berada di Mesir bersama kumpulan yang mendapat kebenaran khas dari Menteri Luar `kerajaan hari ini yang berkuasa’. Semua akan ketawa bila ada netizen persoalkan `ko ke luar negara siapa bagi kelulusan?’. Masa-masa PKP ini, hendak balik beraya pun tidak dibenarkan, apatah lagi ke luar negara. Dapat keizinan khas, pun masih cemuh `kerajaan hari ini’?

 

Satu lagi fakta, individu ini berada di Mesir (sementara menanti kelulusan masuk ke Gaza) kerana mengikuti kumpulan tajaan UMNO. Walaupun semua tahu parti ini sudah lafaz cerai kepada kerajaan PN tetapi lambat lagilah hendak rasmi. Menteri-menteri UMNO masih bekerja rapat dan kuat di dalam Kerajaan hari ini, khususnya membantu rakyat menangani COVID-19.

 

Atas sebab itu, orang yang isytihar tidak mahu pulang selagi kerajaan hari ini berkuasa, memang diucapkan `tak payah balik langsunglah’.

 

Ini kerana setiap rakyat yang patriotik kepada Malaysia kini sama-sama tolong menolong jiran tetangga atau sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan menerusi kempen #BenderaPutih.  

 

Duduk di Mesir itu, silalah tolong orang Arab di sana. Jangan berlagak jadi selebriti. Di Malaysia pun tak ramai kenal. Di Mesir, lagi-lagilah orang ketawakan sahaja. Lagi berat, Mesir halau keluar pula nanti.

 

Menurut catatan seorang pengulas di Twitter, kekalutan ini tercetus semata-mata kerana marahnya individu ini tidak dapat menyertai UEL memasuki Gaza (Oh ya... Gaza bukan Tanah Suci ya. Tapi Masjid al-Aqsa di BaitulMaqdis).

Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam sebelum dipindahkan ke Kaabah di Makkah. Di sini juga tempat persinggahan perjalanan mulia kekasih Allah ketika Isra dan Mikraj. Di masjid ini juga Baginda melakukan solat bersama dengan sekalian Nabi yang lain.

 

Berbalik kepada kemarahan individu itu, maka dihamburnya segala cemuhan dan sindiran membayangkan seolah-olah UEL guna kaedah tumbuk rusuk untuk memasuki Gaza, selain ambil gambar sana-sini yang `menyebabkan orang Palestin tersinggung’.

 

Memang salah Ustaz Ebit

Bab ini saya pun kecewa terhadap UEL. Kenapalah tidak dibawa individu ini? Susah sangatkah hendak selitkan dia sekali dalam kumpulan? Suruh angkat beras atau paling tidak pegang kamera, pun jadilah.

 

Kalau tidak, takkan ada cemuhan sebegini terhadap UEL. Ini salah UEL sendiri. Kan?... kan?

 

(DISCLAIMER: 2 perenggan di atas adalah ayat sarkastik khusus untuk orang yang tidak faham bahasa Melayu, termasuk perenggan Disclaimer ini)

 

Sebenarnya, kita tidak faham apa bendalah hendak marah-marah UEL dapat masuk Gaza. Kalau kumpulan individu itu dapat masuk dan UEL tidak, rasa-rasanya UEL akan keluarkan video serupa? 

 

Kita juga tidak faham dan tertanya-tanya sejak bila ada pertandingan siapa dulu, siapa dapat masuk Gaza? Dua-dua hendak berbuat amal. Tidak bolehkah kumpulan yang tak dapat masuk itu, bagi sahaja duit atau barang menerusi kumpulan yang dapat masuk. Sebab matlamat utama bantu rakyat Palestin,.. kan?... kan?

 

Yang boleh difahami, kedua-dua kumpulan ini bertolak lebih kuranglah dalam tempoh yang tidak jauh berbeza. Sama ada mereka terserempak di Piramid Mesir sementara menunggu kelulusan masuk ke Palestin, itu tidaklah siapa tahu. Tak penting pun. UEL menanti 3 minggu sebelum dapat masuk. Kumpulan individu itu khabarnya lebih lama (sampai artikel ini ditaip pun belum dapat).

 

UEL ada terbitkan satu video yang menjawab cemuhan itu malam Sabtu. Menangis lagi ustaz ini dibuat orang. Tapi kita yang `neutral’ dan terpinga-pinga dengan serangan individu itu terhadap UEL, sebenarnya tahu serangan yang diterima UEL sebelum ini tiga-empat kali lagi dahsyat.

 

ebit
Ini Ustaz Ebit menangis masa kena serangan kes terdahulu. Sekejap saja, lepas ni ustaz bangkit dan teruskan kerja biasa.

 

Namun UEL masih terus `walking tall’ dan `walk the talk’ buat kerja-kerja amal. Dalam melakukan kerjanya, memanglah beliau gunakan media sosial untuk mempromosikan aktivitinya. Ada orang tak suka. Ada orang tidak kisah. Sekurang-kurangnya kita tahu UEL pantas dan segera membantu mengatasi segala karenah birokrasi dan kertas kerja panjang berjela.

 

Bukannya UEL menyebabkan imej kerajaan buruk disebabkan kepantasannya buat kerja. Kerajaan tetap beri bantuan, meskipun tidak selaju UEL kerana jika kertas kerja tidak disediakan, jenuhlah hendak menjawab masa pegawai Jabatan Audit Negara datang melawat kelak.

 

UEL tiada keperluan dilawat Jabatan Audit melainkan dia lantik firma audit swasta. Sebab itu, UEL boleh gerak pantas dan kelihatan efisien. Ini yang kita suka. Dan ini juga kita harap lebih ramai orang akan contohi sama berbuat amal kebajikan.

 

Hal yang dicetuskan oleh individu ini sangat remeh, sebagaimana disebut oleh Sharnaaz Ahmad yang ayat-ayat bidasannya terhadap individu itu tepat dan kena lagi bergema di hati kebanyakan kita.

 

Ok Ustaz Ebit Lew, teruskan `Walking Tall’, teruskan “Walk The Talk’ dan yakinlah ustaz bahawa `You’ll Never Walk Alone’ di dalam kerja-kerja amal kebajikan ini. - DagangNews.com

 

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim sebagai Pengarang Urusan DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Cats In The Cradle - Ugly kid Joe berulang-ulang kali. 

 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.