ECERDC sasar pelaburan komited RM4 bilion | DagangNews Skip to main content

ECERDC sasar pelaburan komited RM4 bilion

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

DUNGUN 14 Mac - Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menyasarkan pelaburan komited sebanyak RM4 bilion yang bakal mewujudkan lebih 2,800 pekerjaan baharu dan 250 peluang keusahawanan di Terengganu serta RM2 bilion pelaburan yang akan direalisasikan pada tahun 2022. 

 

Bagi merealisasikan sasaran tersebut, ECERDC akan mempromosikan Terengganu secara agresif sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif melalui misi pelaburan, webinar pelaburan serta penglibatan dengan pihak berkepentingan. 

 

Antara pelaburan yang disasarkan untuk di komited pada tahun 2022 adalah dalam pengeluaran keluli, tenaga, hartanah dan logistik.

 

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Terengganu di Dungun baru-baru ini, memuji usaha ECERDC dalam menarik pelaburan. 

 

Beliau berkata, dengan strategi ekonomi yang tepat dan pembangunan infrastruktur pengupaya, Terengganu sememangnya sebuah destinasi pelaburan yang menarik. 

 

Ahli-ahli ICC juga dibawa melawat program empower ECER-Mekar di Dungun selepas mesyuarat ICC diadakan di mana mereka menyaksikan program keusahawan yang dijalankan dengan kerjasama Yayasan Petronas. 

 

 

ECERDC
Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Terengganu di Dungun baru-baru ini

 

 

Antara kursus yang dijalankan termasuklah Digitalpreneur (i-Trader), Tailorpreneur, Spa dan Kecantikan dan Bakeri & Pastri.

 

Tahun ini, ECERDC menyasarkan untuk melatih seramai 1,200 pelajar di 30 buah sekolah di bawah Program Latihan Akademik empower ECER manakala program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER pula akan melatih 450 peserta di Terengganu.

 

Dengan kejayaan program perintis Aplikasi Web ACES I4.0 yang dijalankan tahun lepas, Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES) yang ditubuhkan oleh ECERDC mengorak langkah ke hadapan dan melatih peserta yang berminat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di bawah program ACES-ECER Jobs Train & Place. 

 

 

ECERDC

 

 

Program itu menyasarkan untuk melatih sekurang-kurangnya 800 peserta di ECER dilatih dengan sasaran kadar penempatan pekerjaan sebanyak 80%. Sehingga kini, 145 peserta dari Terengganu telah dilatih dan berjaya bekerja dalam industri ICT.

 

Pada masa sama, ECERDC kekal fokus dalam menyokong Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (PENJANA) melalui program PENJANA-ECERDC bagi memastikan kebolehpasaran tenaga kerja ECER yang terjejas akibat pandemik baru-baru ini. 

 

Sehingga kini, 4,218 peserta telah dilatih di Terengganu dan 91% telah memperolehi pekerjaan dengan purata pendapatan bulanan sebanyak RM2,300. Pada tahun ini, 400 peserta lagi dijangka akan dilatih di bawah program yang sama.

 

 

ECERDC

 

 

Selepas melawat program empower-ECER Mekar, Dr Ahmad Samsuri dan ahli-ahli mesyuarat ICC turut melawat projek Tanjung Buatan di Teluk Lipat di mana mereka diberi taklimat oleh ECERDC dan Jabatan Landskap Negara tentang potensi aktiviti ekonomi dan rekreasi di sepanjang tanjung buatan. 

 

Terdapat 4 lagi tanjung yang masih diperingkat pembinaan dan dijangka siap pada Oktober 2022. Setelah siap pembinaan, 8 tanjung yang dibina oleh ECERDC ini akan melindungi pinggir pantai sepanjang 9.7 kilometer sehingga ke Sungai Sura.

 

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, pihaknya telah mengambil peluang ini untuk membawa anggota mesyuarat ICC melawat Tanjung Buatan di Teluk Lipat yang dibangunkan untuk perlindungan pantai serta melihat potensi pertumbuhan masa hadapan. 

 

 

ECERDC

 

 

"Tanjung Buatan di Teluk Lipat akan dibangunkan untuk aktiviti pelancongan seperti taman riadah dengan aktiviti sukan air, kedai-kedai dan juga lokasi cadangan taman RV perintis yang bakal menjadi daya tarikan utama kawasan tersebut serta meningkatkan aktiviti ekonomi penduduk setempat," katanya.

 

Projek-projek lain yang sedang diusahakan oleh ECERDC di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, ialah pembangunan KTCC Promenad Fasa 1, Taman Biopolimer Kerteh (KBP) Fasa 4, bangunan PKS Fasa 1B di KBP, serta Jalan Lapangan Terbang Kuala Terengganu Pakej 2. - DagangNews.com