Ecomate sasar kumpul modal sehingga RM16.2 juta melalui IPO | DagangNews Skip to main content

Ecomate sasar kumpul modal sehingga RM16.2 juta melalui IPO

Ketua Pegawai Kewangan Korporat M&A Securities Sdn. Bhd., Gary Ting (dari kiri) bersama Pengarah Urusan Ecomate Holdings Bhd., Jason Koh Jian Hui; Pengarah Eksekutif, Koh Cheng Huat dan Pengerusi, Tan Sri Datuk Hussin ketika pelancaran prospektus Ecomate hari ini.

 

 


KUALA LUMPUR 15 Okt. - Ecomate Holdings Bhd., menyasarkan untuk mengumpul sehingga RM16.2 juta menerusi langkah tawaran awam permulaan (IPO). 

 

Syarikat pengeluar perabot sedia dipasang (RTA) yang berpangkalan di Muar ini bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd pada 8 November 2021.

 

IPO yang merangkumi terbitan awam sebanyak 49 juta saham-saham baharu pada harga 33 sen sesaham,
dijangka dapat meningkatkan modal pasaran syarikat itu kepada RM115.5 juta.

 

Pengarah Urusannya, Jason Koh Jian Hui berkata, hasil IPO itu akan digunakan untuk pelan pengembangan syarikat terutamanya membeli mesin dan peralatan sebanyak RM6 juta.

 

Selain itu, katanya ia juga termasuk pembinaan kilang ketiga yang menempatkan 3 kemudahan barisan pengeluaran tambahan dan satu blok asrama berkembar empat tingkat (RM2 juta) serta pembelian bahan mentah (RM5.3 juta).

 

"Baki sebanyak RM2.9 juta pula akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian tersebut," katanya dalam kenyataan selepas pada majlis pelancaran prospektus syarikat sempena IPO yang diadakan hari ini. 

 

Sementara itu, dari segi agihan 49 juta saham baharu itu, ia menyaksikan Ecomate menawarkan sejumlah 17.5 juta saham kepada rakyat Malaysia. 

 

Sebanyak 8.75 juta saham pula diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan individu layak yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat.

 

Selebihnya, sebanyak 22.75 juta saham melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Ecomate ditubuhkan pada 2016 turut berorientasikan eksport menumpukan pengeluaran produk perabot RTA meliputi aspek reka bentuk, pengeluaran pembangunan selain aktiviti pemasaran dan jualan.

 

Syarikat itu menawarkan pelbagai produk perabot yang tidak hanya terhad kepada meja kopi, meja konsol, rak buku serta almari pakaian dan dieksport ke lebih 30 negara merentasi 6 benua iaitu Asia, Eropah, Amerika Utara, Australasia, Afrika dan Amerika Selatan.

 

Jian Hui berkata, syarikat optimis terhadap prospek masa depan ketika ia terus melonjakkan rancangan pengembangan agar seiring dengan aliran tempahan yang kukuh, terutama melalui saluran jualan e-dagang membabitkan perabot jenis RTA.

 

“Buat masa ini, syarikat giat memenuhi tempahan tertunda yang banyak memandangkan syarikat tidak beroperasi ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan penuh sebelum ini,” katanya.

 

M&A Securities Sdn. Bhd. merupakan penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi langkah IPO tersebut. - DagangNews.com