Ecoscience International peruntukan RM6 juta bagi luaskan perniagaan di Indonesia | DagangNews Skip to main content

Ecoscience International peruntukan RM6 juta bagi luaskan perniagaan di Indonesia

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Jun - RHB Securities Research menjangkakan Ecoscience International Berhad akan menggunakan RM6 juta hasil daripada penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia untuk meluaskan perniagaannya di Indonesia.

 

Firma itu berkata, daripada jumlah itu, RM5 juta akan dikhususkan untuk pembinaan kemudahan fabrikasi baharu di negara itu selepas mereka menyaksikan peningkatan permintaan untuk perkhidmatan mereka (27% daripada perolehan FY21 adalah dari Indonesia berbanding 12% pada FY20)

 

"Baki RM1 juta akan diperuntukan membeli 12 peralatan rawatan air bukan kimia untuk dipajak kepada pelanggan bagi meningkatkan kecekapan tenaga dan alam sekitar yang lebih bersih," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Ecoscience International menyasarkan perolehan sebanyak RM24.7 juta daripada penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysa, yang dijadualkan pada 18 Julai 2022.

 

Tawaran awam permulaan (IPO) Ecoscience sebanyak 112.2 juta saham mewakili 33% daripada modal saham yang diperbesarkan, terdiri daripada terbitan awam sebanyak 82.2 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan 30 juta saham sedia ada.

 

Daripada jumlah itu, 17 juta saham tersedia kepada orang ramai Malaysia, 6.8 juta kepada pengarah, pekerja dan orang yang layak, 42.5 juta saham secara persendirian dengan pelabur Bumiputera dan 45.9 juta saham persendirian dengan pelabur terpilih.

 

Firma itu mengunjurkan pendapatan FY21-FY24 dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 11.6% berdasarkan kepada perkembangan perniagaan dan margin keuntungan yang bertambah baik.

 

Firma itu percaya, perkembangan kumpulan itu akan dipacu oleh kemudahan fabrikasi termasuk segmen bekalan peralatan dan bahan manakala harga keluli semasa dilihat mengurangkan tekanan ke atas kos mereka.

 

"Pihak pengurusan menyatakan komitmen untk memberikan dividen sehingga 20% bagi dividen FY22F berdasarkan kepada harga IPO," katanya.

 

Firma itu berkata, IPO tersebut akan disenaraikan pada harga RM0.30 sesaham tetapi pihaknya menjangkakan nilai wajar (FV) sebanyak RM0.31. - DagangNews.com