EcoWorld Malaysia catat untung RM63.36 juta pada suku pertama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EcoWorld Malaysia catat untung RM63.36 juta pada suku pertama

Gambar : Facebook EcoWorld

KUALA LUMPUR 17 Mac - Eco World Development Group Berhad (EcoWorld Malaysia) merekodkan untung bersih sebanyak RM63.36 juta bagi suku pertama berakhir 31 Januari 2022, hanya meningkat 1.49% daripada RM62.43 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat 5.1% kepada RM533.42 juta berbanding RM507.35 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Ini didorong jualan sebanyak RM1.28 bilion bagi tempoh 1 November 2021 hingga 28 Februari 2022, meningkat 40.1% berbanding RM911 juta bagi tempoh 4 bulan pertama tahun kewangan 2021. 

 

Hasil perkongsian daripada usaha sama Malaysia, iaitu Eco Grandeur, Eco Business Park V, Eco Horizon, Eco Ardence dan Bukit Bintang City Centre (BBCC) berjumlah RM28.8 juta pada suku pertama 2022, iaitu 46.3% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Jualan dan tempahan Eco World International Bhd. (EcoWorld International) bagi tempoh 4 bulan sehingga 28 Februari 2022 pula berjumlah RM1.08 bilion.

 

EcoWorld Malaysia merekodkan kerugian sebanyak RM1.6 juta sebagai sebahagian keputusannya daripada EcoWorld International pada suku pertama, berbanding keuntungan sebanyak RM21.8 juta bagi tempoh sama 2021 disebabkan lebih sedikit unit yang dijual diserahkan kepada pelanggan di United Kingdom dan Australia pada suku semasa.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Malaysia, Datuk Chang Khim Wah berkata, prestasi kumpulan bagi tempoh 4 bulan pertama bagi tahun kewangan 2022 (FY22) amat memberangsangkan dengan jualan di kesemua 3 rantau berkembang kukuh berbanding tempoh sama tahun lalu. 

 

Katanya, ini didorong projek Iskandar Malaysia yang mencatat peningkatan 194% diikuti Pulau Pinang meningkat 110%, malah, projek di Lembah Klang turut merekodkan prestasi yang baik pada RM709 juta, yang mewakili 56% daripada jualan kumpulan sehingga 28 Februari 2022.

 

"Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang ditamatkan kerajaan pada 31 Disember 2021 juga tidak memberi kesan ketara terhadap momentum jualannya, sebalik terus dikekalkan sepanjang Januari hingga Februari 2022.

 

“Kami sentiasa mempunyai pembeli yang mencari rumah mewah dan mahu menaik taraf kediaman mereka sedia ada.

 

"Pelancaran kami sejak beberapa bulan kebelakangan ini menjurus kepada memenuhi keperluan pasaran yang lebih beraspirasi ini dan kami gembira dengan sambutan yang diterima setakat ini," katanya. - DagangNews.com