Skip to main content

EcoWorld tolak cadangan bergabung dengan UEM Sunrise

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Teka-teki melibatkan gabungan dua syarikat pemaju gergasi di Malaysia terjawab.

 

EcoWorld Development Group Berhad menolak cadangan UEM Group Berhad sebelum ini untuk bergabung dengan anak syarikat miliknya, UEM Sunrise Berhad (UEMS).

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, keputusan itu diambil selepas EcoWorld mengadakan perbincangan dengan UEMS pada bulan ini dan setelah Ahli Lembaga Pengarahnya membuat penilaian teliti. 

 

“...Selepas penilaian berhati-hati oleh Ahli Lembaga Pengarah dengan perancangan perniagaan EcoWorld serta persekitaran semasa yang mencabar dengan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami membuat keputusan untuk tidak meneruskan cadangan gabungan itu dengan UEMS. 

 

“Penamatan rundingan mengenai penggabungan ini akan membolehkan EcoWorld secara aktif meneruskan usaha cadangan korporat lain yang mungkin lebih melengkapi rancangan dan strategi pertumbuhan kami sekarang.

 

“Ini juga membolehkan kami menumpukan rancangan perniagaan kumpulan syarikat untuk tahun kewangan 2021 (FY21) yang merangkumi sasaran jualan sebanyak RM2.875 bilion untuk EcoWorld, di mana 25% lebih tinggi daripada jualan sebenar, RM2.3 bilion direkodkan pada FY20,” kata Pengerusi EcoWorld, Tan Sri Liew Kee Sin dalam makluman itu. 

 

Pada Oktober 2020, Kumpulan UEM mencetuskan cadangan gabungan dengan EcoWorld yang didakwa bakal membentuk salah satu syarikat pembangunan hartanah terbesar di Malaysia dalam menawarkan kepakaran unggul untuk setiap segmen industri hartanah.

 

Baca : UEM Sunrise-EcoWorld Development Group bakal bergabung?

 

Dalam cadangan itu, UEMS berhasrat untuk menerbitkan saham baharu pada kadar 44.3 sen setiapnya dan ditukarkan untuk saham EcoWorld pada nilai 46.9 sesaham. 

 

Beberapa hari selepas itu, EcoWorld meminta untuk memberi ruang dan masa bagi mempertimbangkan cadangan berkenaan sehingga 2 Januari lalu. 

 

Baca : (ANALISIS) Hanya Khazanah yang beria-ia gabungkan UEM Sunrise-EcoWorld

 

Cadangan gabungan berkenaan telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada pihak berbeza di mana ada yang mendakwa penggabungan berkenaan meletakkan UEMS dalam kedudukan untung, sebaliknya memberi kerugian kepada EcoWorld. 

 

Baca : UEM Sunrise untung, EcoWorld rugi - Kenanga

 

Tambah Kee Sin, EcoWorld memasuki FY21 dengan permulaan yang kukuh apabila mencapai penjualan RM500 juta pada dua bulan pertama tahun kewangan semasa.  

 

Jelasnya, ini merupakan hasil yang sangat memberangsangkan memandangkan bulan November dan Disember merupakan tempoh tenang bagi sektor hartanah.

 

“Kemampuan pasukan Kumpulan EcoWorld untuk mengurus jualan ini menunjukkan betapa berkesannya mereka mengubah keseluruhan proses penjualan menggunakan setiap alat yang ada, terutama saluran media digital dan sosial, untuk berinteraksi dengan pelanggan dan menyempurnakan jualan.

 

“Kami akan terus berusaha untuk melakukan pendigitalan dan meningkatkan setiap aspek proses penjualan semasa PKP ini untuk mencapai keseluruhan sasaran yang ditetapkan untuk tahun ini.

 

“Sementara itu, bagi pihak Lembaga Pengarah, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada  UEM Group atas jemputannya untuk mempertimbangkan cadangan penggabungan dengan UEMS. Kami tentunya tetap terbuka untuk kemungkinan kolaborasi pada masa hadapan dengan UEMS, sekiranya ada peluang lain,” tambah beliau lagi. - DagangNews.com