edotco anjur Infrastructure Design Competition dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) | DagangNews Skip to main content

edotco anjur Infrastructure Design Competition dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Okt. -  Syarikat perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi terkemuka edotco Group (edotco) menganjurkan Infrastructure Design Competition yang pertama di Asia dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UCTC-UKM).

 

Ketua Pegawai Eksekutif edotco Group, Adlan Tajudin berkata, pertandingan tersebut terbuka kepada pelajar-pelajar Tahun 3, Tahun 4 dan ijazah lanjutan Kejuruteraan yang sedang menuntut di universiti-universiti di Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam, Bangladesh, Sri Lanka, Pakistan, Jepun, Korea, dan China. 

 

Katanya,  pertandingan yang bertemakan "Infrastructure for Tomorrow: Designing the Future" adalah sebahagian daripada komitmen tahunan edotco untuk menyediakan platform kepada golongan belia untuk berhubung dengan pemimpin-pemimpin industri yang berpengalaman, meraih pengetahuan tentang industri dan menerima pendedahan teknologi sambil memanfaatkan kemahiran mereka untuk mencipta penyelesaian yang inovatif. 

 

"Sebagai syarikat menara yang beroperasi di seluruh rantau ini, kami memahami betapa pentingnya usaha menggalakkan inovasi dan mendidik tentang kepentingan kemampanan dalam kalangan belia. 

 

"Melalui pertandingan ini, kami berazam untuk menerajui inovasi di samping meningkatkan kemahiran para belia di seluruh Asia. 

 

"Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan edotco untuk membangunkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa hadapan dan berkebolehan membina pelbagai teknologi generasi seterusnya untuk industri telekomunikasi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

UKM adalah rakan akademia edotco untuk menganjur dan menerajui inisiatif-inisiatif penglibatan universiti-pelajar dan kedua-dua pihak akan turut menyertai sesi-sei pementoran industri-akademia untuk melatih dan membimbing para peserta sepanjang proses pertandingan tersebut bagi memastikan hasil yang menepati jangkaan panel hakim.

 

Tambahnya, fokus teknikal pertandingan ini adalah untuk menggabungkan inovasi, kecekapan kos, kebolehlaksanaan & kefungsian, serta penyelesaian yang mesra alam. 

 

Ujarnya, institusi pendidikan memainkan peranan yang penting dalam mengasah bakat-bakat akan datang dalam bidang telekomunikasi dan pihaknya gembira untuk bekerjasama dengan UKM bagi mencipta platform untuk membangunkan kemahiran tersebut.

 

"Pertandingan ini telah dijalankan secara percubaan di Bangladesh pada tahun lalu untuk mengasah bakat dalam kalangan komuniti pelajar di negara tersebut dan telah disertai oleh 28 peserta dari 7 pasukan," katanya. -DagangNews.com