eKelas Usahawan Maxis latih lebih 1,000 usahawan dalam pembangunan digital sejak 2021 | DagangNews Skip to main content

eKelas Usahawan Maxis latih lebih 1,000 usahawan dalam pembangunan digital sejak 2021

Lebih 1,000 usahawan wanita meraih manfaat daripada program jangkauan komuniti Maxis
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 20 Mei –  eKelas Usahawan Maxis telah berjaya melatih lebih daripada 1,000 usahawan untuk mengguna pakai platform digital secara lebih kukuh, sejak dilancarkan pada tahun 2021.

 

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis, Mariam Bevi Batcha berkata, eKelas Usahawan, program jangkauan komuniti Maxis, disasarkan kepada usahawan wanita terutamanya daripada komuniti B40 untuk melengkapkan mereka dengan alatan dan kemahiran digital untuk membantu mereka dalam perniagaan.

 

Beliau berkata, kemahiran digital amat penting bagi semua aspek masyarakat dan memainkan peranan sebagai pemacu inklusif sosial.

 

Menurutnya, program ini terdiri daripada beberapa siri bengkel digital dengan pendekatan praktikal untuk melengkapkan usahawan dengan modul seperti kemahiran asas pemasaran, fotografi digital, penulisan dan perancangan kempen pemasaran dan pengiklanan dalam talian dan media sosial.

 

“Kami amat berbesar hati melihat program ini mendapat sambutan sejak pelancaran kami tahun lepas, dan juga memberi manfaat kepada ramai usahawan wanita.

 

“Kami telah melihat secara langsung bagaimana mereka menggunakan kelebihan kemahiran pemasaran digital asas untuk perniagaan mereka. Inilah maksud eKelas Usahawan, dan kami berharap lebih ramai wanita di seluruh negara mendaftar untuk tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Orang ramai yang ingin turut serta, sama ada usahawan sedia ada atau bakal usahawan amat digalakkan untuk mendaftar secara percuma di https://www.maxis.com.my/en/about-maxis/corporate-responsibility/.

 

Sementara itu, Maxis juga sedang berbincang dengan rakan kongsi lain untuk menarik lebih ramai usahawan terutamanya wanita menyertai dan memanfaatkan program tersebut.

 

Bengkel eKelas Usahawan diadakan secara maya melalui webinar awam bersama rakan latihan Maxis dan sokongan daripada sukarelawan Maxis sendiri, mSquad jika diperlukan.

 

 

Mariam Bevi Batcha
       Mariam Bevi Batcha

 

 

Maxis juga telah bekerjasama dengan pelbagai NGO dan agensi Negeri termasuk PACOS Trust Sabah, Yayasan Hijrah Selangor, Yayasan Kebajikan Negara, dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar, yang telah menyokong program ini dengan urusan logistik serta mengenal pasti peserta untuk sesi khusus.

 

Seorang usahawan yang pernah menyertai program ini, Rosila Mohd Rosidi, Pengasas DokiDoki Okonomi berkata, bengkel ini telah membantunya memperoleh pemahaman yang lebih baik tentang fungsi dan petua pemasaran pada platform dalam talian.

 

Katanya, matlamat yang ditetapkan semasa program juga mengajar dan mendorong peserta untuk memantau prestasi dengan berkesan dari semasa ke semasa.

 

“Saya amat mengesyorkan pemilik perniagaan kecil di seluruh negara untuk menyertai eKelas Usahawan,” katanya.

 

Bagi Nur Azmaliza Abdul Rahmat, pengajaran dan pembelajaran melalui bengkel eKelas sangat mudah difahami. Ia juga relevan dengan situasi semasa yang menggalakkan pendigitalan.

 

Sementara itu, Fazila Ismail, Pengarah Zahin Travel berkata, beliau menghadiri webinar semasa musim PKP sebelum ini.

 

“Program ini mengajar saya asas pemasaran digital yang penting untuk perniagaan beroperasi semasa wabak pandemik. Saya mendapat banyak pengetahuan dan rakan baharu. Terima kasih, Maxis dan semua yang terlibat kerana membantu usahawan,” ujarnya. – DagangNews.com