Ekonomi lebih mengukuh beberapa bulan akan datang - Jabatan Perangkaan | DagangNews Skip to main content

Ekonomi lebih mengukuh beberapa bulan akan datang - Jabatan Perangkaan

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 April - Malaysia dilihat menuju ke arah ekonomi yang semakin mengukuh dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, isyarat berkenaan dipacu oleh prestasi peningkatan Indeks Pelopor (IP) pada Februari 2021.

 

Jelasnya, IP Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan positif pada Februari 2021 dari tahun sebelumnya.

 

"Kenaikan 8.5% kepada 111.2 mata pada bulan rujukan daripada 102.5 mata pada Februari 2020 didorong oleh Indeks Perusahaan Bursa Malaysia yang mencerminkan pertumbuhan Indeks Penjagaan Kesihatan, Indeks Pengangkutan & Logistik dan Indeks Utiliti.

 

"Perubahan bulanan IP menunjukkan trend yang sama dengan mencatatkan 1.1% pada bulan tersebut, disumbangkan terutamanya oleh prestasi yang lebih baik dalam Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain (0.6%) dan Bilangan Syarikat Baru Didaftar (0.6%)," jelasnya dalam laporan IP hari ini.

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin.

 

Laporan tersebut diterbitkan dalam Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak & Susulan bagi Februari 2021 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kadar pertumbuhan IP terlicin adalah konsisten di atas trend dan bergerak ke atas.

 

Oleh demikian, IP memberi isyarat bahawa Malaysia menuju ke arah ekonomi yang semakin mengukuh beberapa bulan akan datang.

 

Ujarnya, ia selaras dengan pelaksanaan inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) bersama dengan suntikan fiskal baharu untuk meringankan beban rakyat selain mengukuhkan semula pertumbuhan ekonomi dan merakcakkan perniagaan.

 

Pelaksanaan program vaksinasi yang dipercepat juga sangat penting untuk meningkatkan sentimen optimis sekali gus memulihkan ekonomi.

 

"Kandungan laporan juga menyatakan bahawa Indeks Serentak (IS) yang mencerminkan keadaan keseluruhan ekonomi semasa, meningkat 3.1% bulan ke bulan berbanding -0.4% pada Januari 2021.

 

"Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan ketara dalam indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (1.7%).

 

"Secara tahunan pula, IS bertumbuhan lebih baik kepada -0.2% daripada -2.2% pada bulan sebelumnya," katanya lagi. - DagangNews.com