Skip to main content

Ekonomi Malaysia catat prestasi baik meskipun ketidaktentuan ekonomi global - ahli ekonomi Bank Dunia

Perbelanjaan pengguna adalah semakin baik dan demikian juga dengan penciptaan pekerjaan yang pulih beransur-ansur.

KUALA LUMPUR 23 Jun - Ekonomi Malaysia mencatatkan prestasi yang baik ketika berdepan cabaran global, menurut ahli ekonomi utama Kumpulan Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Apurva Sanghi.

 

Menganalisis ekonomi Malaysia melalui tiga lensa iaitu makro, meso (pertengahan) dan mikro, beliau berkata Bank Dunia meramalkan ekonomi Malaysia untuk mencatatkan pertumbuhan 5.5 peratus tahun ini, lebih tinggi berbanding pertumbuhan global 2.9 peratus dan pertumbuhan serantau 4.4 peratus.

 

“Malaysia mencatatkan prestasi yang agak baik, walaupun dengan impak pandemik yang dijejaskan lagi dengan perang di Ukraine, sekatan pergerakan di China,
kenaikan kadar faedah dan kebimbangan mengenai stagflasi -- pertumbuhan rendah, inflasi tinggi -- memandangkan kita sedang diselubungi dengan ketidaktentuan,”
katanya dalam program ‘The Nation’ terbitan Bernama TV.

 

Beliau turut menegaskan bahawa perbelanjaan pengguna adalah semakin baik dan demikian juga dengan penciptaan pekerjaan yang pulih beransur-ansur.

 

Dari sudut meso, beliau berkata, berdasarkan tinjauan oleh Bank Dunia, perniagaan di Malaysia meraih peningkatan jualan secara beransur-ansur kepada tahap seperti sebelum COVID-19 berikutan bantuan kerajaan semasa pandemik.

 

“Pendirian optimis itu adalah disebabkan permintaan yang meningkat dengan mendadak, pembukaan ekonomi dan harga komoditi yang lebih tinggi,” katanya.

 

Beliau berkata, harga komoditi yang tinggi memberi manfaat kepada Malaysia memandangkan komoditi eksport negara seperti minyak sawit, gas asli cecair dan petroleum menyumbang 80 peratus daripada keseluruhan komoditi.

 

“Kedua, jika anda melihat daripada landskap geopolitik, berlaku sedikit perbezaan dalam perdagangan. (Dengan) ketegangan yang memuncak antara Amerika Syarikat (AS) dan China, dan disebabkan isu-isu berkaitan keselamatan, AS menjalankan perdagangan yang agak berlainan, dan sebahagiannya akan ke Asia Timur dan Malaysia.

 

“Ini terutamanya akan menguntungkan industri semikonduktur di Malaysia,” tambahnya.

 

Dr Apurva Sanghi 
                                         Dr Apurva Sanghi

 

 

Mengulas mengenai trend pengetatan dasar monetari di seluruh dunia, Apurva berkata mengetatkan dasar monetari atau peningkatan kadar faedah di AS berupaya dan akan memberi impak buruk terhadap pengeluaran di rantau Asia Timur, termasuk Malaysia.

 

“Terdapat beberapa faktor yang mengurangkan kesan buruk kejutan sedemikian di Malaysia. Pertama, Malaysia mempunyai kadar pertukaran yang fleksibel. Dalam tempoh kejutan luaran, kadar pertukaran yang fleksibel berperanan sebagai penyerap kejutan yang penting dan inilah peranan ringgit yang dapat anda lihat,” katanya.

 

Beliau berkata Malaysia mempunyai hutang luaran dalam denominasi dolar AS yang rendah dan rizab antarabangsa yang signifikan.

 

Beliau berkata, gabungan kesemua faktor ini akan mengurangkan impak buruk pengetatan monetari di AS dan negara-negara maju lain terhadap Malaysia.

 

Dari segi penambahbaikan, Apurva menjelaskan, Malaysia perlu menumpukan kepada pelaksanaan walaupun mempunyai strategi dan dasar yang sangat baik.

 

“Sebagai contoh, cukai barang dan perkhidmatan (GST) meluaskan asas cukai dan penjagaan kendiri kerana perniagaan perlu mengeluarkan invois untuk mendapatkan bayaran balik.

 

“GST lebih stabil berikutan ia merupakan cukai ke atas penggunaan. Pada akhirnya, kita semua adalah pengguna. Tetapi, di Malaysia, terdapat kelewatan untuk menerima bayaran balik,” katanya sambil menambah mengenai keperluan untuk memastikan sistem yang bersedia serta komunikasi berhubung sebarang pembaharuan cukai. - DagangNews.com