Skip to main content

Ekonomi Malaysia dijangka pulih 2021 - Bank Dunia

 

 

KUALA LUMPUR 22  Feb. - Bank Dunia mengunjurkan ekonomi Malaysia tahun ini tumbuh antara 5.6 dan 6.7% manakala ekonomi global pula dijangka berkembang pada 4%, lapor Bernama.

 

Ketua Ahli Ekonomi bahagian Makroekonomi, Amalan Global Perdagangan dan Pelaburannya, Richard Record berkata, ekonomi Malaysia dijangka kembali mencatatkan pertumbuhan positif tahun ini bersama ekonomi global lain susulan kemajuan pelancaran vaksin yang bakal meningkatkan semula penggunaan di seluruh dunia.

 

Katanya, Bank Dunia juga menjangkakan pemberian vaksin sebahagian besarnya boleh diselesaikan pada 2021 di kebanyakan negara, yang dijangka membawa kepada pemulihan ekonomi dan permintaan serta meningkatkan perdagangan dan harga komoditi. 

 

Bagaimanapun, beliau memberi amaran risiko kepada pertumbuhan adalah kemajuan perlahan pemberian vaksin dan langkah pembendungan baharu yang boleh membawa kepada pelaksanaan lagi perintah kawalan pergerakan sambil menambah penggunaan merupakan bahagian terbesar daripada ekonomi Malaysia.

 

“Risiko kepada prospek pertumbuhan termasuklah kelewatan pelancaran vaksin yang tidak dijangka, langkah pengekangan yang tidak efektif, peningkatan bilangan isi rumah rentan dan landskap politik tempatan yang tidak menentu. 

 

“Dalam tempoh terdekat ini, dasar perlu menumpukan kepada membendung penularan dan melindungi golongan paling rentan serta membina penampan fiskal ketika keadaan ekonomi bertambah baik,” katanya. 

 

Beliau berkata demikian semasa Forum Prospek Ekonomi dan Strategik Malaysia 2021 (MESOF) secara maya bertajuk: The Post-COVID-19 New Normal – Where Do We Go From Here hari ini.
 

MESOF dianjurkan secara bersama oleh Institut Strategik KSI untuk Asia Pasik (KSI) dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur.

 

Sementara itu, seorang lagi ahli panel, iaitu Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI Global, Shan Saeed berkata, kerajaan Malaysia terus mengekalkan kestabilan makroekonomi yang bergerak pantas dan mengejutkan peserta pasaran. 

 

“Kerajaan dapat mengawal sepenuhnya ekonomi dan akan terus menyokong apabila ekonomi memerlukan. Gabungan dasar fiskal dan monetari menjadi kunci bagi pertumbuhan ekonomi dan Bank Negara Malaysia (BNM) masih ada banyak ruang untuk berbuat sesuatu dalam landskap monetari,” katanya. 

 

Mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pula, beliau mengunjurkan pertumbuhan antara 3 hingga 4% dan menjangkakan BNM mengekalkan kadar dasar semalaman pada satu hingga 1.75% pada 2021.

 

Sementara itu, Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Tinjauan Ekonomi Malaysia 2021 mengunjurkan perdagangan luar negara berkembang sebanyak 3.9% dengan eksport barangan dijangka meningkat 2.7% susulan pemulihan perdagangan dan rantaian bekalan global manakala import diunjur naik 5.3%, disumbang oleh peningkatan pelbagai jenis import.

 

“Inflasi dijangka kembali semula pada 2021 selepas aliran deflasi apabila pandemik COVID-19 telah menjejaskan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan.  

 

“Ini susulan pelancaran awal program vaksin COVID-19 yang selamat dan efektif dan peningkatan permintaan berikutan kekurangan bekalan,” katanya.  

 

Memetik Kementerian Kewangan, Mohd Uzir berkata, inflasi diunjur pada 2.5% berbanding -1.13% pada 2020, menandakan lonjakan kukuh perbelanjaan pengguna.
 

 

Mengenai tenaga buruh, beliau berkata, ia diunjurkan kekal pada 1.1% manakala kadar pengangguran diunjur menyusut kepada  3.5% pada  2021 berbanding anggaran 4.5% pada  2020, apabila ekonomi negara dijangka melantun semula tahun ini selepas mencatatkan prestasi lemah pada 2020 disebabkan pandemik tersebut. - DagangNews.com