Ekonomi Malaysia disasarkan berkembang mulai separuh kedua 2021 | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia disasarkan berkembang mulai separuh kedua 2021

 

KUALA LUMPUR 10 Jun - Penting untuk rakyat memainkan peranan masing-masing dengan memastikan diri mereka divaksin melalui aplikasi MySejahtera supaya ekonomi negara mampu berkembang mulai separuh kedua tahun ini. 

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan akan berusaha melakukan yang terbaik bagi membendung penularan pandemik COVID-19 dan memastikan proses pemulihan ekonomi dapat diteruskan.

 

Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz
Tengku Zafrul Abdul Aziz

 

“Ini penting untuk memastikan ekonomi kita mampu pulih dan kembali berkembang mulai separuh kedua tahun ini,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-56, seperti dilaporkan Bernama

 

Beliau menekankan bahawa program vaksinasi yang lancar dengan lebih ramai mendapat vaksinasi mampu melonjakkan ekonomi negara. 

 

Setakat ini, Malaysia telah memberi lebih tiga juta dos vaksin COVID-19, termasuk lebih dua juta penerima memperoleh suntikan pertama. 

 

Statistik pemberian dos vaksin setakat semalam mencatatkan paras tertinggi iaitu 154,866, yang terdiri daripada 114,671 pemberian dos pertama dan 40,195 bagi pemberian dos kedua. 

 

Peningkatan secara harian tersebut secara tidak langsung menjadikan jumlah pemberian secara kumulatif meningkat hampir kepada empat juta dos.

 

Dalam perkembangan lain, kerajaan telah meluluskan RM12.06 bilion pinjaman mudah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) di mana memberi manfaat kepada 25,605 PKS. - DagangNews.com