Ekonomi Malaysia kekal dalam jajaran pemulihan | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia kekal dalam jajaran pemulihan

Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Indeks Pelopor (IP) Malaysia pada November 2020 mencatatkan 109.1 mata, meningkat 7.1% daripada November 2019 berikutan 6.3% pada Oktober 2020.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, Indeks Perusahaan Bursa Malaysia kekal meningkat secara signifikan pada bulan rujukan disokong terutamanya oleh Indeks Penjagaan Kesihatan. 

 

"Trend ini selari dengan pertumbuhan bulanan IP yang mencatatkan pertumbuhan 0.4% pada November 2020 berbanding negatif 0.7% pada bulan sebelumnya. 

 

"Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh Import Benar Semi Konduktor (0.5%) yang dipacu oleh permintaan litar bersepadu elektronik yang menggalakkan," tambah beliau dalam laporan Penunjuk Ekonomi Malaysia, IP Serentak dan Susulan bagi November 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

 

Indeks Pelopor (IP) merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan dalam ekonomi.

 

Dalam kenyataan sama, beliau memberitahu, meskipun prestasi IP lebih baik, pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri-negeri terpilih untuk mengimbangi antara kesihatan dan ekonomi serta pengagihan vaksin menimbulkan ketidakpastian di masa hadapan. 

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin 

 

IP bagaimanapun memberi harapan bahawa ekonomi kekal berada dalam jajaran pemulihan walaupun momentum pemulihan berkemungkinan terkesan.

 

"Kandungan laporan tersebut juga menyatakan bahawa Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan prestasi ekonomi semasa, meningkat 0.4% untuk mencapai 112.4 mata pada bulan rujukan daripada 112.0 mata pada Oktober 2020. 

 

"Komponen utama yang mempengaruhi peningkatan adalah Nilai Caruman Benar kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mencatatkan 0.2%.

 

"Pada masa yang sama, IS mencatatkan perubahan tahunan negatif 2.3% pada November 2020 daripada negatif 2.4% pada bulan sebelumnya," jelasnya lagi.

 

Dalam aspek ekonomi suku tahunan pula, pertumbuhan ekonomi pada suku tahun keempat 2020 dijangka perlahan berbanding pada suku ketiga tahun 2020 disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang disasarkan di kebanyakan negeri untuk mengurangkan lonjakan kes pandemik. - DagangNews.com